ISU ISU AKHBAR CINA

ISU ISU AKHBAR CINA

Kenapa asyik ‘goreng’ isu lama?

TAJUK dalam ruangan Sembang-sembang Rakyat akhbar China Press pada 26 Mei lalu (Selasa): Kenapa Asyik Goreng Isu Lama? membincangkan perkembangan politik yang kerap mengaitkan isu kewujudan sekolah Cina dan Tamil di negara ini.

Sekolah Cina dan Tamil dikatakan tidak membawa kebaikan terhadap perpaduan rakyat, hanya sekolah dalam satu bahasa pengantar baru boleh mencapai perpaduan.

Sebenarnya isu ini sudah bertahun-tahun ‘digoreng’ oleh ahli politik, dan sentiasa menyentuh perasaan masyarakat Cina, sehingga melimpah-limpah air liur yang dicurahkan kerana isu ini.

Kemunculan semula isu ini, datang daripada desakan yang lebih berunsur politik. Dengan menggoreng isu ini, kedudukan seseorang boleh meningkat, orang yang lebih besar menyebutnya, kata-katanya menjadi lebih kuat ‘bunyinya’.

Selepas bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Musa Hitam berundur daripada pentadbiran kerajaan, ramai pemimpin UMNO dan Ketua Pemuda menggoreng isu ini, adakala dilepaskan ‘berapi-api’.

Selain mendedahkannya di dalam surat khabar, mereka cuba melihat respons masyarakat Melayu. Kini, yang suka menggoreng isu ini ialah mereka daripada blog yang agak terkenal.

Mereka berpakat memberi tekanan kepada kerajaan agar melaksanakan sekolah dalam satu bahasa pengantar. Mereka juga kata Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil ibarat pekong yang boleh memberi kesan buruk kepada perpaduan.

Sejak bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, kemudian Perdana Menteri sekarang Datuk Seri Najib Tun Razak sampai kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin – semuanya ada membuat keputusan terhadap isu ini, bahawa pihak kerajaan kekal dengan dasar pendidikan yang sedia ada.

Ini bermakna, sasaran mereka yang ‘menggoreng’ isu ini ialah kepada pihak pemerintah, cuma kita bimbang pihak pemerintah terlupa kewujudan mereka ini.

Muhyiddin bertemu pertubuhan

Cina tanpa kehadiran parti politik

Akhbar Sin Chew Daily pada 26 Mei 2009 dengan tajuk halaman hadapannya ‘Tan Sri Muhyiddin Bertemu Pertubuhan Cina Tanpa Kehadiran Mana-Mana Parti Politik’ melaporkan pertemuan Timbalan Perdana Menteri dengan tujuh pemimpin pertubuhan Cina mengenai pelbagai isu, terutamanya pendidikan.

Tujuan Muhyiddin tidak menjemput pemimpin dan ahli politik dalam pertemuan itu dengan harapan tiada gangguan dan memberi peluang kepada pemimpin pertubuhan berbincang dan mendengar pandangan mereka sendiri.

Laporan khas yang disediakan oleh wartawan Sin Chew Daily, Chen Yu Zhen mencatatkan empat perkara penting untuk pertemuan tersebut: (1) Mengajar bahasa Inggeris dalam pelajaran Matematik dan Sains; (2) Mengiktirafkan Sijil Peperiksaan Seragam (Sekolah Menengah Cina); (3) Menambahkan bangunan dan peruntukan Sekolah Rendah Cina dan (4) Kekurangan tenaga guru Sekolan Rendah Cina.

Dalam laporan ini juga, Timbalan Perdana Menteri dikatakan amat mengharapkan pertemuan itu lebih ikhlas dan telus serta dapat merapatkan hubungan kedua-dua pihak.

Pada masa yang sama, pihak pertubuhan Cina boleh menyampaikan pendapat mereka dengan lebih lancar dan tidak perlu bimbang atau takut. Pertemuan yang berlangsung selama satu setengah jam itu merupakan julung kali diadakan.

Bagi Timbalan Perdana Menteri jika ada wakil pertubuhan Cina yang membantah dasar pembelajaran dan pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, perbahasan dan perbincangan yang terperinci boleh diadakan agar ada penyelesaiannya yang baik.

Menurut laporan ini lagi, pemimpin parti politik yang dianggotai majoriti kaum Cina, seperti MCA yang dipimpin oleh Datuk Ong Tee Keat dan Parti Gerakan oleh Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon tidak dijemput hadir.

0 comments: