BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

KISAH tiga lelaki mangsa terbaru ah long amat menyayat hati. Awang tidak dapat bayangkan apa lagi akan terjadi jika paparan kekejaman ah long ini masih tidak menginsafi orang ramai supaya menjauhi ceti haram.

Mereka bukan sahaja dikurung di dalam sangkar besi seperti binatang malahan leher dan kaki mereka dirantai. Layanan terhadap mereka umpama kisah hamba abdi.

Makanan pula hanyalah roti dengan air paip sebagai minuman. Tiada tilam, apa lagi selimut.

Awang difahamkan mereka dikurung sedemikian rupa bagi tempoh antara 17 hari dan 60 hari, bergantung kepada kes masing-masing.Itulah hukum rimba yang dilaksanakan oleh ah long, yang menjadi kegilaan orang ramai untuk berhutang apabila terdesak.

Peringatan pihak berkuasa termasuk menerusi kempen media massa seolah-olah tidak diambil pusing.

Memanglah benar, umpan ah long kononnya menyediakan pinjaman mudah senang mengena. Namun, perangkapnya umpama neraka apabila peminjam gagal melunaskan hutang mengikut jadual kerana terikat dengan kadar faedah yang amat tidak masuk akal.

Natijah daripada pendedahan terbaru polis ini ialah hapuskan ah long dalam kamus hidup kita.

0 comments: