Elak isu biasiswa daripada jadi punca syak wasangka kaum

Elak isu biasiswa daripada jadi punca syak wasangka kaum

PERSOALAN biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) saban tahun diperkatakan. Titik noktah isu ini nampaknya belum ditemui.

Puncanya kerana ada sesetengah pihak cuba bangkit atas dasar kononnya untuk membela pelajar daripada kaum masing-masing yang berhak mendapat biasiswa JPA.

Kita sudah membaca tuntutan ahli Kabinet tidak lama dulu yang meminta kaedah pemberian biasiswa JPA dibuat secara meritokrasi.

Kelmarin ada cadangan daripada Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia supaya biasiswa kerajaan itu diberi kepada pelajar cemerlang dalam bidang akademik dan aktiviti kokurikulum.

Tetapi ia mendapat reaksi berbeza daripada pihak lain. Kerana tumpuan pemimpin masyarakat negara ini hanya kepada pelajar cemerlang terutama yang mendapat deretan 'A' dalam sijil peperiksaan.

Pemikiran kita lebih banyak 'A' bermakna hebat dan bijaksana pelajar berkenaan.

Dalam konteks pemberian biasiswa JPA, semua pihak kena lihat objektif asal pemberian bantuan kewangan untuk melanjutkan pelajaran kepada 'pelajar terpilih'.

Jangan kita lupa kekecohan tahun lalu mengenai kuota agihan biasiswa 55 kepada Bumiputera dan 45 bukan Bumiputera.

Pelbagai seruan meminta kerajaan mengkaji semula peningkatan jumlah biasiswa kepada bukan Melayu. Ada cadangan agar jangan dikurangkan biasiswa untuk orang Melayu tetapi peratusannya ditambah sesuai dengan komposisi kaum majoriti negara ini.

Isu biasiswa JPA memang boleh menjadi sensitif kerana ia melibatkan kaum. Kita tentu faham bahawa tidak ada isu perkauman jika ia tidak membawa kepada ketidakadilan kepada kaum lain.

Sebab itu jalan terbaik dan supaya tidak menimbulkan rasa tidak puas hati antara kaum, kuota biasiswa bagi Bumiputera perlu dikekalkan seperti dulu manakala bagi bukan Bumiputera dibuat melalui peruntukan baru.

Kita tidak kisah kerajaan hendak menolong kaum lain tetapi hak Bumiputera tetap hak mereka seperti terkandung di dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Kaum Bumiputera tidak akan menyokong dasar kerajaan yang tidak mempertahankan dasar Bumiputera. Jangan kita kompromi dalam soal pemberian biasiswa kepada pelajar Bumiputera.

Peruntukan biasiswa baik berdasarkan meritokrasi atau kecemerlangan 9A boleh mendorong perasaan tidak puas hati Bumiputera kerana bimbang pengurangan bilangan pelajar kaum ini memperoleh biasiswa JPA akan meluaskan perbezaan bilangan profesional dengan kaum bukan Bumiputera.

Kerajaan perlu tegas dan mempunyai pendirian yang kukuh. Formula lebih adil harus dirangka dengan mengambil kira komposisi Bumiputera dan bukan Bumiputera supaya agihan lebih adil dan memuaskan hati semua pihak.

Hakikatnya biasiswa perlu diberi kepada mereka yang berkelayakan dan memerlukannya tanpa mengira kaum.

Memang tidak dinafikan bahawa terdapat kaum bukan Bumiputera yang memerlukan tajaan biasiswa. Sebab, kemiskinan melibatkan semua kaum. Jadi, jika ada kelayakan dan keperluan, sudah tentu mereka harus diberi biasiswa.

Kerajaan kena selesaikan masalah ini yang sekian lama menjadi punca perasaan tidak puas hati dan dan syak wasangka antara kaum di negara ini.

0 comments: