3 beranak ditemui mati pada Aidilfitri

Oleh UMAVATHI RAMAYAH


Seorang jiran warga Indonesia yang hanya dikenali sebagai Siti melihat pintu rumah tiga beranak tersebut dijumpai mati di Flat Desa Ria PJS 5 / 13 Jalan Klang Lama, Selangor, semalam.

PETALING JAYA 13 Okt. – Tiga beranak ditemui mati setelah dipercayai terminum racun di kediaman mereka di pangsapuri Taman Desa Ria, Jalan Klang Lama di sini hari ini.

Mangsa, Shamsul Hadi Yaakob, 32, seorang penyelenggara stor bersama dua anaknya, Nor Malissa Nasuha, 7, dan Muhammad Fariz Hilmi, 2, ditemui di ruang tamu rumah dalam keadaan terbaring.

Ketika ditemui kira-kira pukul 2 petang, Shamsul Hadi berada dalam keadaan berlumuran darah manakala mulut anak perempuannya itu berbuih.

Difahamkan polis menemui sebilah pisau di tempat kejadian.

Polis juga turut menjumpai sekeping nota tertera ‘Maafkan abang ke atas apa yang berlaku’ dipercayai ditulis oleh mangsa kepada isterinya sebelum mati dan satu botol racun.

Isteri kepada mangsa dipercayai telah meninggalkan rumah kira-kira seminggu yang lalu berikutan perselisihan faham antara mereka.

Jiran mangsa, M. Pushpa, 29, memberitahu, sebelum kejadian itu, empat orang termasuk isteri dan bapa mertua mangsa pergi ke rumah mangsa, kira-kira pukul 1.30 petang.

“Mereka minta tukul paku untuk memecah pintu rumah mangsa selepas mendapati mangsa tidak menjawab panggilan telefon sejak pagi ini.

“Apabila mereka masuk, saya terdengar bapa mertua Shamsul menjerit kuat sambil menangis,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mereka yang baru empat bulan tinggal di pangsapuri itu dikatakan kurang bermesra dengan jiran tetapi tidak menimbulkan masalah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner (SAC II) Mazlan Mansor ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, pihaknya masih menunggu laporan lengkap siasatan kes tersebut yang buat masa ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Katanya, mayat tiga beranak itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

0 comments: