Sambutan Hari Raya hingga di angkasa lepas

KUALA LUMPUR 13 Okt. – Selepas menjalani ibadat puasa selama sebulan, umat Islam di seluruh negara meraikan ketibaan 1 Syawal dengan rasa penuh gembira dan bangga, khususnya bagi angkasawan pertama negara Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha meraikan Hari Raya di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Pencapaian gemilang Dr. Sheikh Muszaphar, rakyat Malaysia pertama untuk meneroka angkasa lepas, menjadikan sambutan kali ini sesuatu yang pasti sukar dilupakan oleh rakyat Malaysia dan juga sesuatu yang ummah di seluruh dunia boleh berbangga dengannya.

Dr. Sheikh Muszaphar berlepas dengan kapal angkasa Soyuz TMA II dari Baikonur, Kazakhstan, pada Rabu dan tiba di ISS pada lebih kurang pukul 10.50 malam hari Jumaat.

Di Bumi, umat Islam di seluruh negara daripada semua lapisan masyarakat memulakan sambutan dengan solat sunat Aidilfitri di masjid-masjid sebelum pulang untuk menyambut rakan-rakan, jiran dan sanak saudara di majlis rumah-rumah terbuka yang unik di negara ini.

Orang-orang kenamaan di seluruh negara juga mengadakan majlis-majlis rumah terbuka di kawasan masing-masing.

Di KUALA LUMPUR, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 5,000 jemaah di Masjid Negara di sini dengan diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Terdahulu, Abdullah menziarahi makam isterinya, Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood di Tanah Perkuburan Putrajaya di Percint 20. Abdullah dan keluarganya tiba di tanah perkuburan itu pada pukul 7.05 pagi dan menghabiskan masa 15 minit di situ.

Kemudian Abdullah serta isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah mengadap Seri Paduka Baginda berdua di Istana Negara bagi mengucapkan selamat Hari Raya.

Turut menunaikan solat di Masjid Negara ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa menteri Kabinet serta para duta dan diplomat asing yang beragama Islam.

Solat sunat Aidilfitri yang bermula pada 8.30 pagi itu diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara, Datuk Sheikh Ismail Mohammad yang turut menyampaikan khutbah Aidilfitri.

Selesai solat, Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri kemudiannya beramah mesra dan bersalaman dengan jemaah yang hadir.

Di KUALA KANGSAR, Sultan Perak Sultan Azlan Shah menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama rakyat jelata di Masjid Ubudiah di sini.

Raja Muda Perak, Dr. Raja Nazrin Shah, Raja Di Hilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, kerabat-kerabat diraja dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali turut sama menunaikan solat di masjid itu.

Sultan Azlan, Raja Nazrin dan Raja Jaafar kemudiannya menziarahi pusara almarhum kerabat-kerabat diraja yang terletak bersebelahan Masjid Ubudiah.

Sementara itu, Tajol Rosli menerima para tetamu sempena rumah terbuka Hari Raya di kediaman rasminya di Ipoh dari pukul 3 petang hingga 5 petang dan akan mengadakan rumah terbuka pada Hari Raya kedua di Dewan Serbaguna Gerik dari pukul 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Di KOTA BHARU, Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra ibni almarhum Sultan Yahya Petra menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Muhammadi di sini bersama Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Kira-kira 3,000 orang turut sama menunaikan solat diikuti majlis mengadap oleh rakyat jelata di Istana Balai sebelum ke Makam Diraja Langgar.

Manakala Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengadakan rumah terbuka di kediamannya di Pulau Melaka selepas menunaikan solat Aidilfitri.

Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob bersama umat Islam menunaikan solat Aidilfitri di Masjid Negeri Al-Azim yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Selesai solat, Mohd. Khalil mengadakan rumah terbuka di Istana Melaka di Bukit Beruang, dari pukul 9.30 pagi hingga 2 petang manakala Mohd. Ali pula mengadakan rumah terbuka di kediamannya di Seri Bendahara, Ayer Keroh dari pukul 10 pagi hingga 5 petang.

Di Seri Menanti, KUALA PILAH, Pemangku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tunku Naquiyuddin ibni Tuanku Ja’afar menunaikan solat Aidilfitri bersama kira-kira 1,000 orang jemaah di Masjid Diraja Tuanku Munawir.

Turut bersembahyang bersama ialah Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, anggota Exco kerajaan negeri dan anggota Dewan Undangan Negeri yang beragama Islam.

Selepas itu baginda mengadakan rumah terbuka di Istana Besar Seri Menanti dari pukul 10.30 pagi hingga 1 tengah hari.

Di KUCHING, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng menyertai kira-kira 5,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Jamek di Petra Jaya.

Turut hadir ialah Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta anggota kabinet negeri yang beragama Islam.

Selepas bersembahyang, Abang Muhammad Salahuddin dan isterinya, Toh Puan Norkiah Abdullah mengadakan rumah terbuka Hari Raya di Astana, Petra Jaya, manakala Taib serta keluarganya menerima tetamu dan pengunjung di Stadium Perpaduan, Petra Jaya.

Di KOTA KINABALU, lebih 10,000 rakyat pelbagai kaum di Sabah menghadiri Rumah Terbuka Menteri-menteri Kabinet negeri di Kompleks Sukan Likas.

Majlis diketuai oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman bersama isteri, Datin Seri Faridah Tussin yang bermula dari pukul 11 pagi hingga 2 petang.

Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmadshah Abdullah dan isteri, Toh Puan Dayang Masuyah Pengiran Japar juga hadir kira-kira pukul 1 petang bagi memeriahkan majlis.

Sementara itu, lebih 3,000 warga Kota Kinabalu yang tidak pulang ke kampung halaman, turut mengambil peluang untuk menghadiri Rumah Terbuka di Istana Negeri bermula pada pukul 11

– Bernama

0 comments: