Ibu pilu lihat baju raya tiga anak mati lemas

Oleh OPAT RATTANACHOT

SUNGAI PETANI 13 Okt. - Samaniyah Wahab, 39, ibu kepada tiga beradik yang lemas ketika mandi di tali air Kampung Ulu Mahang, Kulim, dekat sini semalam hanya mampu menangis melihat baju raya ketiga-tiga anaknya itu.

Suami Samaiyah, Mat Zuki Abd. Majid, 39, berkata, walaupun dia redha dengan kejadian tersebut tetapi isterinya itu adakalanya tidak dapat menerima hakikat yang mereka kehilangan tiga anak serentak.

“Memanglah isteri saya sedih sangat apatah lagi kehilangan tiga anak serentak. Dia juga tidak dapat terima hakikat terutama ketika orang lain bergembira menyambut hari lebaran, kami sekeluarga kehilangan orang tersayang,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini.

Semalam, kegembiraan tiga beradik Mohd. Safwan, 12; Mohd. Nasrul, 10; dan Mohd. Hafiz, 8, dari Klang pulang berhari raya di kampung nenek mereka berakhir dengan tragedi apabila mereka mati lemas di kawasan tali air Kampung Ulu Mahang, kira-kira 50 kilometer Kulim.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 petang ketika kanak-kanak terbabit dibawa oleh nenek mereka, Siti Aminah Abdullah, 48, untuk mandi kerana bekalan air paip di rumah terputus.

Kesemua kanak-kanak terbabit baru sampai ke kampung untuk berhari raya di kampung kelmarin.

Seorang lagi adik mereka, Mohd. Fikri, 4, terselamat daripada lemas kerana dipegang neneknya.

Mat Zuki yang bekerja di Seksyen 27, Shah Alam berkata, selain kehilangan tiga anak serentak itu, dia sekeluarga juga pernah kehilangan seorang lagi anak akibat penyakit jantung berlubang.

“Kini saya hanya tinggal dua orang anak iaitu Mohd. Fikri, 4, dan Nurul Aida, 4 bulan.

“Kami anggap ia satu dugaan yang amat besar lebih-lebih lagi menjelang 1 Syawal. Namun, saya terima hakikat ini kerana Tuhan lebih menyayangi anak-anak saya itu,” ujarnya.

0 comments: