Muszaphar mulakan penyelidikan mikrob angkasa

Daripada METRA SYAHRIL MOHAMED

MOSCOW 13 Okt. – Angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor yang kini berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) telah memulakan sesi penyelidikan mikrob di angkasa.

Pengarah Program Angkasawan Negara, Kolonel Dr. Zulkeffeli Mat Jusoh berkata, penyelidikan itu dilakukan sebaik sahaja roket Soyuz yang membawa Sheikh Muszaphar serta dua krew lain selamat mendarat di ISS pada pukul 6.50 petang semalam (10.50 malam waktu Malaysia).

‘‘Ia dimulakan dengan penyelidikan mikrob di angkasa dan kemudiannya mengenai sel di angkasa.

‘‘Pada hari ini, penyelidikan berhubung mikrob dan sel masih berterusan dan beliau akan berehat seketika sebelum menyambung semula tugas yang dipertanggungjawabkan itu,’’ katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Roket Soyuz TMA-11 kini berada pada jarak 350 kilometer dari Bumi. Ia bercantum selepas berada di orbit selama kira-kira 47 jam dan mengelilingi Bumi sebanyak 700 kali.

Rabu lalu, Malaysia mencatat sejarah apabila misi menghantar angkasawan pertama ke angkasa berjalan lancar dan selamat.

Sheikh Muszaphar akan berada di stesen itu selama sembilan hari sebelum pulang ke Bumi bersama angkasawan-angkasawan lain yang kini telah pun berada di ISS.

Di ISS, Sheikh Muszaphar akan menjalankan tiga eksperimen berkaitan sel barah, bakteria dan pengkristalan protein.

Mengulas lanjut, Zulkeffeli berkata, pada hari seterusnya, Sheikh Muszaphar akan memfokus kepada penyelidikan-penyelidikan lain seperti makanan di angkasa dan pengkristalan protein.

‘‘Beliau kini dalam keadaan yang baik. Pasukan penyelidik termasuk Kapten Dr. Faiz Khaleed akan membantu beliau melakukan penyelidikan melalui sistem komunikasi di Pusat Kawalan Misi (MCC),’’ tambahnya.

– Mingguan

0 comments: