Mayat mangsa culik dijumpai dalam beg baju

Oleh Adha Ghazali, Norsharuddin Sapian dan Mohd Idris Sulaiman

SITIAWAN: Nasib kanak-kanak lelaki yang diculik di rumahnya di Subang Jaya, Khamis lalu, terjawab apabila mayatnya dijumpai dalam sebuah beg pakaian yang terdampar di tebing Sungai Sitiawan, dekat Lumut, pagi semalam.

Beg itu ditemui terapung dan tersangkut pada ranting pokok di kawasan hutan bakau oleh pasukan penyelamat, kira-kira satu kilometer dari tempat mangsa yang berusia tujuh tahun, dipercayai dicampak dari jambatan selepas dibunuh.

Penemuan mayat kanak-kanak itu pada jam 10.15 pagi semalam, disahkan sendiri Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Hadi Ho Abdullah, yang mengetuai operasi mencari itu.

Beliau berkata, pemeriksaan polis mendapati beg berwarna biru yang berzip itu mengandungi mayat kanak-kanak terbabit.

“Kita masih menyiasat punca kematian dan mayatnya dihantar ke Hospital Seri Manjung (HSM), sebelum dipindahkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk pengecaman dan bedah siasat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Usaha wartawan dan jurugambar membuat liputan penemuan mayat kanak-kanak itu di HSM, bagaimanapun dihalang sepasukan polis.

Budak itu dikenali sebagai Ho Ping, anak seorang pemilik ladang sayur di Cameron Highlands, dilaporkan hilang malam Khamis lalu, dipercayai diculik seorang lelaki yang ada hubungan keluarga dengannya di rumahnya di SS19, di sini, sebelum dilarikan ke Perak.

Bapa mangsa kemudian dikatakan menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang mendakwa menahan mangsa dan meminta wang tebusan RM500,000 untuk membebaskannya.

Berikutan itu, satu pasukan khas yang ditubuhkan untuk mengendalikan kes berkenaan berjaya menahan dua suspek iaitu bapa saudara mangsa berusia 28 tahun bersama teman wanitanya seorang warga China, berusia 39 tahun, pada Jumaat dan kelmarin.

Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, semalam bagi mendapat perintah tahanan reman sehingga 26 Mei ini. Perintah itu dikeluarkan Majistret Maimunah Aid di kamarnya.

Difahamkan, kedua-duanya terbabit dalam kes itu dan perintah reman diperoleh untuk membantu siasatan.

“Selepas hampir 24 jam operasi mencari membabitkan 30 anggota polis dengan bantuan Pasukan Selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Polis Marin di sekitar Sungai Sitiawan dan Lumut, bermula jam 12.30 tengah hari kelmarin, mayatnya ditemui pagi tadi (semalam).

“Bagaimanapun kita masih menyiasat motif pembunuhan mangsa,” katanya.

Sementara itu, usaha untuk mendapatkan komen keluarga mangsa di rumah mereka di sini tidak berjaya.

Selepas menunggu setengah jam di luar rumah, seorang wanita berusia lingkungan 30-an keluar dan meminta wartawan beredar kerana keluarga mangsa enggan ditemu bual.

Wanita terbabit kemudian menggantung sekeping nota bertulisan Cina di pintu pagar rumah yang berbunyi “kepada rakan-rakan wartawan, kami mohon maaf dan tidak mahu ditemuramah. Tolong jangan berhimpun di depan rumah dan jangan ambil gambar... salam sayang”.

BERITA HARIAN

0 comments: