Sudah dijangka - PM

Daripada: AZNAN BAKAR

SHARM EL-SHEIKH (MESIR) 21 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau telah menjangka Barisan Nasional (BN) akan kehilangan beberapa kerusi pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan sebab beliau membuat jangkaan itu, sebaliknya mengarahkan bedah siasat dilakukan bagi mengkaji secara mendalam punca kekalahan tersebut.

Katanya, walaupun kerajaan Sarawak masih mengekalkan majoriti dua pertiga tetapi kekalahan di sembilan kawasan itu adalah besar kerana dalam sejarah negeri itu, BN belum pernah tewas sebegitu besar.

``Maka kehilangan sembilan kawasan perlu dikaji sebaik-baiknya kalau ada mesej (daripada pengundi), apakah mesejnya,'' katanya pada sidang akhbar dengan wartawan Malaysia pada Forum Ekonomi Dunia mengenai Asia Barat di sini hari ini.

Ditanya kemungkinan ia berpunca daripada pengundi Cina yang beralih arah, Abdullah berkata, beliau tidak mahu mengulas lanjut tetapi tahu ada perkara yang tidak kena.

Ditanya sama ada sesuatu yang tidak kena itu telah dijangka, beliau berkata: ``Ya'' dan telah melahirkan pandangan itu kepada Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu perlu dikaji sedalam-dalamnya supaya tidak timbul salah tanggapan.

Beliau sendiri, katanya, akan bertemu dengan Abdul Taib apabila kembali ke tanah air nanti untuk mendapatkan pandangan berhubung kekalahan di sembilan kawasan terbabit.

``Kita kena buat penyelidikan melibatkan orang yang tahu apa yang sebenarnya berlaku dan barulah kita boleh membuat apa-apa tindakan untuk membetulkan keadaan,'' katanya.

Bagi tujuan itu, Abdullah juga telah meminta timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Timbalan Pengerusi BN untuk mengkaji perkara itu.

UTUSAN MALAYSIA

0 comments: