Iqbal pelajar Melayu pertama pendebat terbaik Asia

SHAH ALAM 21 Mei - Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Iqbal Hafiedz Ahmed Bazari mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pelajar Melayu pertama dari Malaysia meraih gelaran pendebat terbaik Asia baru-baru ini.

Iqbal Hafiedz, 26 tahun, pelajar Fakulti Pengajian Perniagaan Antarabangsa UiTM dipilih sebagai pendebat terbaik dalam Pertandingan Debat Antara Universiti Seluruh Asia di Langkawi, Kedah yang diadakan selama seminggu bermula 6 Mei lepas.

Beliau berkata kejayaan yang diraihnya sangat bermakna kerana beliau mampu menewaskan 263 orang pendebat dari seluruh Asia dalam pertandingan berprestij itu dan melayakkannya membawa pulang hadiah sebuah trofi serta wang tunai RM1,000.

``Kejayaan ini memang saya nantikan dan ia menebus kekecewaan pasukan UiTM yang tewas di peringkat separuh akhir. Saya bangga kerana ia mengangkat nama anak Melayu dan Malaysia di peringkat antarabangsa,'' katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sebanyak 11 negara menyertai pertandingan debat tahunan itu seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Bangladesh, India, Korea Selatan, China, Jepun, Filipina, Brunei dan Singapura.

Iqbal Hafiedz, sebelum ini pernah mengharumkan nama negara dengan mewakili Malaysia ke Program Pendidikan Forum Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) pada November 2004 dan terbabit dalam Program Perkhidmatan Keagamaan Belia bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mempromosikan Keamanan Dunia dan Keharmonian Pelbagai Agama 2002 di Wilayah Phre, Thailand.

Beliau yang sudah sinonim dengan pertandingan debat antara universiti di negara ini turut membantu pasukan UiTM muncul julung kali sebagai johan Piala Debat Diraja ke-9 menerusi pasukan debat Bahasa Inggerisnya pada Disember tahun lepas.

Menurutnya kejayaan itu turut dikongsi bersama rakan sepasukan iaitu Danial Amir dan Adiba Shareen Syed Abdul Rashid Al'Ayubi (masing-masing pelajar Fakulti Undang-Undang) yang menjadi pendebat ke-5 dan ke-4 terbaik keseluruhan dalam pertandingan yang sama.

Iqbal Hafiedz berkata selepas ini pasukan debat UiTM akan menyertai Pertandingan Debat Australasia di New Zealand Julai ini dan berazam untuk mengharumkan nama UiTM dan Malaysia sekali lagi.

Selain itu, UiTM turut mencipta kejayaan berganda apabila Fay Sarah Mustafa Kamal pelajar tahun akhir Diploma Fakulti Pengajian Perniagaan telah dinobatkan sebagai Juara Pidato Asia yang diadakan serentak dengan pertandingan debat itu.

UTUSAN MALAYSIA

0 comments: