Minggu semarakkan sastera

Oleh Hafizahril Hamid


DALAM menghayati pembangunan yang semakin mekar, masyarakat secara umumnya menyatakan pelbagai pandangan dan persepsi tentang kepentingan berkarya dalam mewarnai dunia sastera negara.

Ada yang menyatakan pengamal sastera perlu radikal dalam menyampaikan idealisme mereka. Terdapat kelompok yang memandang sastera sebagai sesuatu yang tidak lagi relevan dalam kepesatan pembangunan dan dunia teknologi maklumat.

Namun walau apa pun pandangan dan cita rasa yang pastinya kemeriahan berkarya dunia sastera tidak akan surut malah akan terus subur dan mekar mengikut kesesuaian zaman dan melangkaui pemikiran.

Oleh itu dalam memperkatakan soal memperkayakan dunia sastera, peranan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) yang telah dimulakan sejak tahun 1985 pastinya tidak boleh dikesampingkan.

HSKU yang digerakkan atas kesedaran memartabatkan warisan sastera di kalangan masyarakat oleh akhbar yang mendukung bahasa ibunda dan kesusasteraan Melayu akan melalui proses perkembangan dan penambahan pada tahun ini yang dilihat relevan dengan nilai-nilai kesusasteraan itu sendiri.

Sejak Hadiah Sastera ini diwujudkan ia bukan sahaja telah menjadi medan untuk berkarya tetapi juga sebagai penyubur seni sastera sepanjang zaman. Ia sekali gus menjadi landasan bagi rakyat menggerakkan minda, nilai serta mesej ke arah satu kelompok bangsa Malaysia yang berwawasan.

Lebih membanggakan penyertaan dan kemenangan dari kalangan kaum bukan Melayu juga semakin terserlah sejak tahun-tahun kebelakangan ini selain telah melahirkan ramai penulis berbakat dan kreatif terutama dari generasi muda.

Selain itu, acara ini juga menjadi pemangkin untuk menghargai hasil karya penggiat sastera tanah air serta perangsang kepada penulis tempatan untuk menghasilkan karya bermutu serta meningkatkan minat golongan muda untuk menceburi bidang kesusasteraan dengan lebih aktif.

Maka bersesuaian dengan proses penambahan dan perkembangan yang ingin dilakukan, HSKU tahun ini akan diadakan selama seminggu dan akan dikenali sebagai Minggu Sastera Utusan 2009 (MSU2009).

Acara ini yang akan berlangsung di Istana Budaya pada 12 Jun depan akan diisi dengan pelbagai program kesusasteraan bagi menarik minat masyarakat dan penggiat sastera tempatan.

Menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Dr. Ahmad Hairi Abu Bakar, jika sebelum ini acara ini hanya tertumpu kepada pertandingan bagi mencungkil bakat-bakat muda dalam bidang sastera tetapi edisi kali ini akan diisi dengan elemen sastera yang lebih tersusun.

"Masyarakat akan dibawa untuk menghayati keindahan sastera selama seminggu sebagai pelengkap kepada nilai kehidupan," katanya.

Menurut beliau, tahun ini sekali lagi dengan penaja utama Exxon Mobil, Kumpulan Utusan meneruskan tradisi menyanjung kesusasteraan Melayu melalui penganjuran MSU 2009 yang mana telah dirangka beberapa pengisian yang bakal melakar sejarah dalam perkembangan sastera tanah air.

Kerjasama

Sempena dengan program istimewa ini Kumpulan Utusan dengan kerjasama Exxon Mobil, Astro dan Istana Budaya akan membawakan aktiviti-aktiviti seperti Malam puisi utusan, wacana utusan sukma; sepagi bersastera dan juga malam penyampaian HSKU 2008. Selain itu, sepanjang berlangsungnya MSU 2009 juga, satu pameran akan diadakan di ruang legar Istana Budaya.

Malam Puisi Utusan akan diadakan pada 12 Jun di mana selain mengumpulkan deklamator-deklamator tersohor tanah air, malam puisi ini juga turut diserikan dengan beberapa artis jemputan.

Bagi program Wacana Utusan Sukma; Sepagi Bersastera, majlis akan diadakan di tiga zon terpilih di Negeri Sembilan iaitu pada 22, 24 dan 25 Jun ini. Tiga sekolah hos yang dicadangkan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Undang Musa Al-haj Kuala Klawang, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Serting, Jempol dan Sekolah Menengah Datuk Kelana, Lenggeng, Negeri Sembilan. Majlis anjuran bersama dengan Persatuan Penulis Negeri Sembilan ini turut mendapat kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan.

Selain memeriahkan Minggu Sastera Utusan, majlis wacana ini bertujuan mempergiatkan usaha memasyarakatkan sastera di kalangan pelajar sekolah, khususnya menerusi interaksi bersemuka dengan pendidik, karyawan dan organisasi sastera tanah air. Selain itu juga, program ini diharap dapat memperkenalkan hadiah sastera kumpulan utusan kepada warga sekolah.

Kemuncak MSU 2009 ini akan diserikan dengan malam kemuncak penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008 di Istana Budaya pada 19 Jun.

Selain itu menurut Dr. Ahmad Hairi, seramai 700 pelajar akan mengambil bahagian dalam beberapa kategori yang dipertandingkan. Sebanyak tujuh kategori akan dipertandingkan iaitu novel remaja, cerpen remaja, cerpen, puisi, kajian dan rencana sastera, novel remaja bahasa Inggeris serta satu kategori baru iaitu terjemahan.

Menurutnya, pertandingan kali ini menyaksikan hadiah wang tunai terkumpul RM100,000 menanti pemenang.
Masih ada ruang selesai konflik dalam PPP

Oleh Ahmad Naim Tahir
naim@bharian.com.my



Kayveas bidas dakwaan cemburu Murugiah dan mahu ahli bersatu padu

KEADAAN di dalam pejabat Parti Progresif Penduduk (PPP) di Jalan Kampung Attap, Kuala Lumpur berselerak dengan puluhan kotak di tepi dinding, seolah-olah seperti orang mahu berpindah rumah.

Berserabutnya pejabat itu diakui sendiri Presiden PPP, Datuk M Kayveas, tetapi katanya, ia hanya untuk sementara kerana semua kotak berkenaan akan dipindahkan ke premis baru dan keadaan pejabat bakal kembali tersusun.

Begitu juga jaminannya untuk menyelesaikan kemelut dalaman PPP apabila Majlis Tertinggi (MT) parti itu meluluskan usul memecat bekas Ketua Pemudanya yang juga Ahli Majlis Tertinggi PPP, Senator Datuk T Murugiah kerana didakwa terbabit dalam politik wang.

Adegan pertama bermula apabila Kayveas menuduh Murugiah mengamalkan politik wang untuk 'membeli' ketua bahagian menjelang pemilihan parti bulan depan.

Rentetan daripada itu, tuduh-menuduh antara kem Kayveas dan kem Murugiah berterusan, diisi skrip untuk mengetepikan satu sama lain sehingga ke peringkat sanggup menyaksikan parti yang diasaskan pada 1953 itu berkubur.

Tidak banyak reaksi diberikan Murugiah berhubung isu berkenaan, sekadar menyerahkan nasib kepada Tuhan, selain budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menentukan kedudukan-nya dalam kerajaan.

"Tunggulah... Tuhan maha berkuasa, terserah segala-galanya kepada Tuhan. Kebenaran akan muncul juga akhirnya," ringkas jawapan beliau ketika diasak soalan berhubung tindakan yang akan diambilnya.

Bagaimanapun, pemimpin lain yang turut diketepikan Kayveas- sama ada mendapat restu Murugiah atau tidak terus menyerang Presiden PPP itu dengan label diktator, rasuah dan melanggar peraturan parti.

Bagi Kayveas pula, semua tuduhan itu hanya mainan politik pihak yang kecewa kerana dipecat atau digugurkan daripada jawatan dalam PPP, sedangkan tindakan itu diambil kerana mereka melakukan perkara yang menjejaskan parti.

"Sebenarnya tidak ada konflik antara saya dan Murugiah... masalah timbul apabila dia dapat jawatan (Timbalan Menteri), dia terus jauhkan diri daripada parti, tidak hadir mesyuarat dan tidak pernah datang pejabat.

"Apabila dapat jawatan dalam kerajaan, dia tidak lagi menjadi orang parti, sedangkan dia dapat jawatan itu pun kerana parti. Ringkasnya, dia tak kenang budi," katanya.

Ramai yang beranggapan punca masalah antara dua pemimpin PPP itu ialah kerana Kayveas tidak senang hati atau cemburu dengan populariti dikecapi Murugiah yang menggunakan Biro Pengaduan Awam (BPA) sebagai landasannya mencipta nama, sehingga satu portal berita memilihnya sebagai pemimpin kaum India paling popular.

Ada juga pihak menuduh pemimpin politik kontroversi itu bersikap diktator dan takut jawatan partinya dirampas orang lain, tetapi pantas dinafikan Kayveas yang menegaskan beliau bersedia pada bila-bila masa melepaskan jawatan jika dimahukan ahli.

Dalam soal Murugiah, bekas Timbalan Menteri itu tidak menafikan mendapat maklumat mengenai hasrat Murugiah untuk mengambil alih jawatan Presiden, tetapi mendakwa idea itu mengundang bantahan majoriti pemimpin lain.

Pemilihan PPP akan berlangsung 7 Jun depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur membabitkan jawatan Presiden, Naib Presiden dan 25 jawatan ahli MT.

Kayveas meramalkan walaupun Murugiah tidak merebut jawatan tertinggi PPP pada pemilihan nanti, dia mungkin meletakkan proksi untuk bertanding jawatan berkenaan dan sekadar memilih jawatan Naib Presiden.

"Dia sedar dia kena ambil alih parti daripada saya untuk terus jadi Timbalan Menteri atau apa saja jawatan dalam kerajaan. Jika saya terus jadi Presiden, saya amalkan giliran untuk beri peluang kepada semua pemimpin PPP duduk dalam kerajaan," katanya.

Secara spesifik, Kayveas menjelaskan punca sebenar Murugiah perlu dipecat adalah kerana beliau melanggar peraturan parti dan politik wang, bukan atas sebab peribadi.

"Sebagai Presiden, saya kena ikut undang-undang dan peraturan parti... lakukan yang terbaik untuk parti. Saya fikir berdasarkan prinsip asas, jika dia hormat kepada parti, Presiden dan MT, isu ini tidak akan timbul.

"Ini tidak, dia asingkan dirinya daripada parti, sedangkan dia satu-satunya wakil PPP dalam kerajaan. Kalau kami ada lima atau 10 orang dalam kerajaan, tak apalah. Dia kata kena jaga 27 juta orang dan tidak kisah pasal PPP," katanya.

Beliau juga membidas pihak yang mendakwa masalah itu timbul kerana perasaan cemburunya kepada Murugiah, selain mahu menegakkan kepemimpinan diktator kerana takut kehilangan jawatan tertinggi parti yang disandang sejak 1993.

"Saya bukan cemburu... kenapa saya tidak minta jawatan senator dan Timbalan Menteri sebaliknya minta ia diberikan kepada orang lain dalam parti. Saya sudah cukup (menjadi Timbalan Menteri).

"Apa yang diktatornya... PPP sebelum ini parti mati, tiada orang tahu PPP sebelum Kayveas. Sebelum saya datang (jadi Presiden), PPP tak ada apa-apa. Saya nak lepaskan jawatan ini, tetapi ahli minta tunggu.

"Kami tidak ada wang atau jawatan dalam Kabinet, malah untuk jawatan ahli majlis (pihak berkuasa tempatan) pun, kami kena berjuang untuknya. Saya hanya bersikap tegas untuk jadikan ahli parti berdisiplin, dihormati dan bersatu padu," katanya.

Sambil mengakui sudah lebih 10 bulan tidak berhubung dengan Murugiah, Kayveas tidak menolak masih ada ruang untuk berbaik semula dengan anak didiknya itu dengan syarat Murugiah memulakan inisiatif ke arah itu.

"Dia ada masa hingga mesyuarat agung ini kalau nak berbaik dan bekerjasama semula dengan kita. Masalah ini bukan antara saya dan dia, tetapi antara dia dengan parti. Saya hanya mahukan yang terbaik untuk parti," katanya.

Ada juga pihak merumuskan pertikaian itu berpunca daripada pendirian Murugiah yang tidak menyokong hasrat Kayveas mahu membawa keluar PPP daripada Barisan Nasional (BN).

"Saya tidak pernah cakap mahu keluar daripada BN. Cuma apabila ada orang tanya kenapa tak keluar sedangkan kami seperti dianaktirikan dalam BN, saya jawab jika keadaan itu berterusan, mungkin satu hari nanti kami terpaksa keluar BN.

"Buat masa ini, kami sokong BN dan Perdana Menteri. Ada media membuat laporan seperti saya mengugut untuk bawa PPP keluar, sedangkan saya hanya beri penjelasan kepada soalan dan ia tidak boleh digambarkan sebagai ugutan untuk keluar BN," katanya.

Kemelut PPP turut merisaukan pemimpin tertinggi BN sehingga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa ia diselesaikan pada peringkat dalaman dan tidak menambah beban BN yang sudah pun menghadapi pelbagai cabaran.

Kini, terserah kepada pemimpin PPP untuk menentukan survival parti berusia 56 tahun itu dan meneruskan kesinambungan kepemimpinan berkualiti mencontohi pengasasnya, adik beradik Seenivasagam dan Presiden pertama, Dr S Kanapathy Pillai.

Jika tersilap langkah, tidak mustahil PPP kembali ke era 1988 hingga 1993 yang menyaksikan konflik dalaman kronik sehingga menyebabkannya digantung daripada BN atau pendaftarannya dibatalkan Pendaftar Pertubuhan.
Soal Jawab: Tak faham prinsip demokrasi punca krisis politik Perak berpanjangan




Bagaimana Datuk Seri melihat krisis politik di Perak seperti tiada penghujungnya. Kedudukan Menteri Besar (MB) juga seperti tidak menentu.

Bukan soal tidak ada penghujung, ia tidak jadi seperti ini (berpanjangan) kalau prinsip demokrasi berperwakilan itu difahami. Kalau ada majoriti parti itulah yang memerintah, sama seperti pakatan pembangkang sebelum ini mereka juga mempunyai majoriti tiga kerusi. Walaupun mereka lebih tiga kerusi mereka boleh memerintah. Barisan Nasional (BN) tidak ganggu mereka.

Seperti di Kelantan pada 2004, kerajaan Pas Kelantan mempunyai majoriti hanya dua kerusi. BN tidak menjadikannya masalah. Pada pilihan raya kecil 2005, Pas hanya mempunyai satu kerusi tidak ada juga masalah kerana mereka masih menang. Kalau kita memahami prinsip demokrasi berperwakilan, masalah seperti di Perak tidak akan timbul. Kemelut berpenghujung atau tidak bergantung kepada kehendak dan kesediaan mereka untuk terima hakikat. Saya dicabar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung pelantikan saya sebagai MB, bukan saya mencabar dia. Pelantikan saya sebagai MB dibuat selepas Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berpuas hati dengan bilangan 31 kerusi BN (termasuk tiga Adun bebas menyokong BN) barulah Tuanku bersedia memperkenan pembentukan kerajaan negeri yang baru serta pelantikan MB baru.

Proses ini sama seperti yang dibuat ke atas mereka waktu mereka hendak membentuk kerajaan campuran yang longgar. Ketika itu mereka Pas (enam kerusi), DAP (18) dan PKR (tujuh). Tetapi, Nizar tetap tidak berpuas hati. Dia bawa penyokongnya membuat kekacauan di Kuala Kangsar waktu upacara pelantikan saya, termasuk menghalang kereta diraja. Kemudian dia bawa pula ke mahkamah, dia berceramah ke sana-sini, menghasut dan meracuni pemikiran rakyat sehingga rakyat menjadi gelisah.

Sejak peralihan kuasa Februari lalu, pakatan pembangkang sehingga ini terus menuduh BN sebagai merampas kuasa dan tidak mengikut lunas demokrasi.

Mereka ini memang jaguh mengutuk dan menggelar orang, macam-macam mereka panggil seperti perampas, peragut, perompak dan mereka pula seperti malaikat, orang putih kata `holier than thou'. Saya ingin bertanya siapakah sebenarnya yang perompak dan yang bertindak zalim, dengan cara kuku besi mengisytiharkan tiga DUN kosong, tanpa kerelaan tuan punya diri. Speaker DUN umpamanya bertindak dengan sesuka hati, menghantar surat kepada SPR mengumumkan tiga DUN telah kosong. Saya dan enam ahli Exco pula dipanggil menghadap Jawatan Kuasa Kebebasan dan Hak kerana menerima jawatan MB dan Exco walaupun tidak ada kena mengena dengan hal ehwal dewan.

Kalau bukan kerja perampas kuasa, kerja apa kita nak panggil ini? Tak puas hati dengan perkara itu mereka bawa pula ke mahkamah. Macam-macam tuduhan yang dibuat. Lepas itu buat pula sidang DUN bawah pokok, ikut suka hati dia juga. Kemudian tidak habis di situ, buat pula tugu kononnya dengan nama tugu demokrasi. Yang terbaru dengan tindakan liar, mereka bertindak menjadikan DUN seperti di Taiwan dengan menyerang ke kawasan Adun BN dan bekas Speaker pula dengan angkuh bertindak sesuka hati seolah-olah tidak ada undang-undang dan peraturan yang boleh menyekat dia melakukan apa saja yang dia mahu.

Kita harus ingat di manakah semua ini bermula? Rakyat masih tidak lupa dengan peristiwa 16 September 2008 apabila mereka mula bercerita mahu mengambil alih Kerajaan Malaysia. Rakyat tidak lupa apabila mereka mula membuka gelanggang pertarungan dengan menarik Adun Perak dari BN menyeberang ke arah mereka. Waktu itu Nizar kata ini demokrasi dan hak masing-masing untuk menukar parti. Kenapa sekarang Nizar dan konco-konconya kata kita perampas dan perompak pula?

Selepas mahkamah membuat keputusan bagi beberapa kes krisis di Perak terdapat perbezaan tafsiran antara BN dan pakatan pembangkang hingga kemelut yang berlaku terus menemui jalan buntu.

Tidak ada kebuntuan kalau Nizar benar-benar seorang pengamal demokrasi yang tulen. Dia akan menerima hakikat bahawa sekarang dia sudah kehilangan majoriti. Walaupun dia berdolak-dalih bahawa BN dan pakatan pembangkang masing-masing terikat 28-28. Tetapi tiga Adun bebas yang menyokong BN, kenapa dia mahu menafikan. Dalam sidang dewan baru-baru ini, Nizar sendiri melihat kesungguhan dan kesetiaan tiga Adun bebas yang mempertahankan BN daripada serangan dan maki hamun mereka. Dari sudut demokrasi siapa yang mempunyai majoriti kini dalam DUN?

Kita (BN) tidak bertindak sebagai parti minoriti yang merampas kuasa seperti yang ditohmah pakatan pembangkang. Macam-macam dia kata kepada BN, mereka kata kepada rakyat BN merampas, merompak dan meragut hak rakyat. Sebenarnya merekalah yang cuba merampas kerajaan negeri BN melalui mahkamah.

Sebenarnya yang merampas dan merompak adalah mereka yang hanya minoriti tetapi menggunakan kesempatan untuk menggugat majoriti dan ini yang sepatutnya perlu diperjelaskan kepada rakyat. Nizar orang pertama membawa kes ini ke mahkamah, bukan saya dan bukan BN, tiba-tiba mereka putar belit kenyataan kononnya kami bawa kes ke mahkamah. Ini satu lagi pembohongan besar pakatan pembangkang.

Pakatan pembangkang di Perak sehingga saat ini masih tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka bukan lagi kerajaan negeri.

Orang putih kata pakatan pembangkang ini 'bad loser' kerana dia sudah pernah berkuasa tiba-tiba keadaan yang berlaku dalam partinya sendiri dengan tidak boleh memastikan perpaduan di kalangan mereka, akhirnya tiga Adun mereka jadi bebas dan sokong BN. Mereka tidak dapat terima hakikat itu. Kita (BN) tidak ada masalah dengan keadaan itu, sebaliknya yang berlaku mereka melalui ceramah, laman blog dan suara parti mereka memberi gambaran bahawa BN terlalu teruk dan ditohmah sebagai perampas, perompak, peragut dan macam-macam lagi istilah yang digunakan bagi meracuni fikiran rakyat. Bagaimana BN yang majoriti nak rampas dia yang minoriti? Sebenarnya merekalah yang minoriti mahu merampas kerajaan negeri BN yang majoriti?

Pakatan pembangkang terutama Nizar masih menganggap beliau MB Perak dan mereka masih lagi kerajaan negeri yang sah walaupun sudah tidak ada majoriti.

Melalui mahkamah Nizar berasakan bahawa dia masih berhak menjadi MB dan kita tidak pernah menghalang dia (menggunakan mahkamah). Bagi kita, cukup berdasarkan kepada prinsip 31 kerusi yang kita ada dapat membentuk kerajaan negeri dan mempunyai MB. Dia mencabar saya di Mahkamah Tinggi. Saya tidak pergi menjaja dan mencerca keputusan Mahkamah Tinggi seperti yang mereka lakukan apabila ada beberapa keputusan yang tidak menyebelahi mereka. Oleh kerana Nizar menggunakan saluran undang-undang, maka menjadi hak dan tanggungjawab saya mempertahankan diri juga berdasarkan undang-undang. Tanggungjawab saya ialah untuk meneruskan proses undang-undang melalui Mahkamah Rayuan dan seterusnya. Dia menjaja yang saya tidak malu terus memegang jawatan MB, sedangkan dia tahu bahawa keputusan Mahkamah Tinggi itu ditangguhkan setelah mendapat permohonan penangguhan sehingga rayuan didengar. Saya sebagai MB mempunyai majoriti di DUN. Saya dilantik sebagai MB atas perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah. Tetapi, Nizar tidak ada majoriti di dewan.

Semua orang tahu, sejak pelantikan rasmi saya sebagai MB pada 6 Februari lalu, dia terus menggunakan kereta kerajaan dengan tidak tahu malu dengan memasang logo Menteri Besar walaupun keputusan Mahkamah Tinggi waktu itu belum dibuat. Kediaman rasmi MB terus didudukinya sehinggalah dia sendiri malu dan akhirnya keluar daripada kediaman itu. Sebelum ini, saya tidak pernah memanggilnya sebagai orang yang tidak tahu malu. Apabila Mahkamah Tinggi membuat keputusan saya terus keluar dari bilik dan tidak terhegeh-hegeh nak juga duduk di dalam pejabat MB. Sehingga apabila keputusan penangguhan keputusan saya peroleh, maka barulah saya masuk semula. Jadi dalam semua ini, siapa tak tahu malu?

Pakatan pembangkang terus mendesak dibubarkan DUN bagi membolehkan rakyat sekali lagi menentukan wakil mereka melalui pilihan raya.

Kalau pakatan pembangkang benar-benar ikhlas dengan prinsip demokrasi berperwakilan mereka tidak akan mendesak untuk kembali kepada rakyat kerana wakil rakyat sudah pun dipilih. Jadilah gentleman. Mereka tidak ada majoriti. Kenapa paksa buat pilihan raya semula semata-mata kononnya rakyat mahukan begitu?, Tetapi siapakah yang meracuni dan menghuru-harakan keadaan?

Rakyat boleh menerima sekiranya kita jadi ahli politik yang gentleman atas asas demokrasi berperwakilan. Tetapi Nizar dan bekas Exco kanan, Datuk Ngeh Koo Ham dan seorang lagi bekas Exconya, Nga Kor Ming yang dipanggil `3N' yang menggunakan saluran ceramah, menggunakan sidang DUN dengan menghalang Adun BN tertentu masuk ke dewan. Adakah ini demokrasi? Apakah mereka lebih adil?

Inilah golongan minoriti yang cuba menyerang majoriti. Mereka tidak dapat terima mereka sudah hilang majoriti. Inilah yang sering kali saya sebutkan 'the tyranny of the minority' (kekejaman golongan minoriti) yang bertindak sesuka hati kononnya merekalah penguasa mutlak yang boleh membentuk pemikiran dan pilihan rakyat. Mereka biuskan fikiran rakyat sehingga episod ini dianggap sebagai kekejaman BN.
Soal Jawab: 'Pilihan raya, bubar DUN mampu selesai kemelut politik di Perak'




SECARA peribadi bagaimana Datuk Seri melihat kemelut politik di Perak sekarang yang seolah-olah seperti tiada penyelesaian dan peranan serta keputusan mahkamah berhubung perkara ini.

Kemelut di Perak ini berpunca daripada tiga orang wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) yang disembunyikan atau dibawa lari oleh Umno dan saya hanya mengetahui daripada berita jam 6 pada 4 Februari lalu. Sebelum itu pada 2 Februari, saya diberikan dua surat peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang dan Changkat Jering oleh Speaker, V Sivakumar.

Secara biasanya, akan ada pilihan raya kecil di kedua-dua tempat itu. Speaker juga ada menghantar surat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tetapi SPR menafikan hak Speaker yang menyebabkan kemelut itu terus terjadi.

Saya berpendirian kalaulah SPR ketika itu tidak mengikut telunjuk Barisan Nasional (BN), barangkali kita tidak ada krisis di Perak kerana kita akan ada pilihan raya kecil di Changkat Jering, Behrang dan Jelapang. Maka, Adun baru akan dilantik sebab ketiga-tiga itu sudah meletak jawatan. Tetapi, apa dikhabarkan ketiga-tiga mereka sudah menghantar surat menarik peletakan jawatan itu yang menyebabkan berlaku satu krisis.

Saya sebagai Menteri Besar (MB) kemudian berjumpa dengan Tuanku (Sultan Perak) untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN). Itulah tanggungjawab dan amanah yang saya kena buat. Tetapi, pada 5 Februari, baginda bertitah menyuruh saya meletak jawatan dan saya mohon keampunan daripada Tuanku yang saya tidak boleh buat macam itu. Berlakulah krisis ini. Ia berlaku berpanjangan sampailah kemuncaknya apabila saya mengambil tindakan mahkamah. Kami ambil tindakan berdasarkan lunas undang-undang, bukannya nak merebut kuasa itu sangat.

Ada perbezaan tafsiran antara BN dan Pakatan Rakyat terhadap beberapa keputusan mahkamah seperti tindakan Speaker terhadap Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, enam Exco dan tiga Adun bebas sedangkan BN menyatakan Mahkamah Persekutuan menolak keputusan Speaker itu sehingga menimbulkan krisis dan kekecohan pada sidang DUN 7 Mei lalu.

Di sinilah silap BN kerana perisytiharan oleh Mahkamah Persekutuan itu menyatakan keputusan untuk menggantung itu tidak sah, tetapi ia tidak menyatakan dalam penghakiman mahkamah bahawa mereka boleh masuk Dewan, itu hak Speaker. Umno telah menyatakan Zambry bebas boleh keluar masuk sidang DUN, mahkamah menyatakan keputusan dibuat Speaker tidak sah, tetapi Speaker masih ada kuasa bahawa mereka ini digantung mengikut Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Mahkamah Persekutuan cuma menyatakan Speaker. Jadi, di sini nampak tidak konsisten kerana keputusan itu dibuat Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, bukan Speaker seorang, Speaker hanya pengerusi. Kedua, Speaker masih berkuasa atas sebab-sebab menghina DUN, jadi Speaker berhak menafikan mereka masuk ke dalam DUN pada pagi 7 Mei itu. Ini menunjukkan hak dan kuasa Speaker mesti dipatuhi.

Pakatan Rakyat melihat apa yang berlaku sebagai rampasan kuasa, tetapi bagi BN apa yang berlaku sebenarnya Pakatan Rakyat tidak dapat menerima hakikat mereka sudah kehilangan majoriti di Perak.

Kita tidak hilang majoriti sebab bagaimana hakim boleh buat keputusan bahawa Zambry dan kerajaan BN tidak sah. Macam mana boleh hilang majoriti sebab kita nak nyatakan Pakatan Rakyat ada 28 kerusi dan BN ada 28 kerusi. Ia bukan hilang majoriti, itu seri. Untuk itu, saya sebagai Menteri Besar, elok diadakan pilihan raya kecil sebab ia seri. Seri itu bermakna kita tidak tahu sama ada yang tiga (Adun bebas) itu menyokong PR atau BN. Itulah sebabnya kita mohon dibubarkan, bukan kerana hilang majoriti, tetapi mengatakan ada kebuntuan dalam suasana di Perak ini. Kebuntuan itu hanya boleh diselesaikan dibuat pilihan raya semula jika kerajaan yang dipilih oleh rakyat jauh lebih mantap, jauh lebih kuat, jadi tidak ada hilang majoriti.

Datuk Seri menyatakan hanya dengan pembubaran DUN dan diadakan pilihan raya semula sebagai jalan penyelesaian terbaik.

Bukan hanya saya saja yang mengatakan. Sebagai MB, itulah sifat dan amanah tanggungjawab saya. Tetapi hari ini, kita lihat Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek; pemimpin Gerakan; Speaker Dewan Negara; Tengku Razaleigh Hamzah, pengamal undang-undang, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Suhakam dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan juga menyatakan pembubaran DUN jalan terbaik. Jadi, kenapa Umno takut berjumpa dengan rakyat. Di mana kewibawaan Umno, dalam kes ini, kenapa tidak mahu kembali kepada rakyat. Ini menunjukkan mereka ada niat lain, mereka tidak yakin bahawa mereka akan menang. Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi tamparan hebat kepada Umno. Apa saja mereka tuduh saya tidak ada majoriti dan mereka ada majoriti, semuanya dinafikan dan ditolak oleh Mahkamah Tinggi yang menerima hujah saya.

Ada kalangan pihak dalam kerajaan mengatakan mengadakan pilihan raya membabitkan kos tinggi dan tidak sesuai dalam keadaan ekonomi sekarang.

Sejak bila Umno mengajar kita berjimat. Di manakah kewibawaan Umno...sebab ada krisis kewangan, maka kita (buat pilihan raya) membazir. Sejak bila dia (Umno) belajar cakap macam tu. Yang dia membazir hantar satu orang pergi angkasawan, habis RM100 juta, itu tidak membazir? (Pilihan raya) ini untuk kestabilan politik. Jadi, jauh lebih berat daripada itu pun Umno boleh belanja, macam-macam projek yang dia buat, tetapi tergendala, itu tidak membazir? Jadi, usah cerita mengenai membazir ini, dia tidak ada hak untuk bercakap mengenai pembaziran, merekalah yang menghabiskan kewangan negara.

Mungkin ada jalan penyelesaian lain seperti mewujudkan kerajaan perpaduan atau Pakatan Rakyat bertolak ansur dan berusaha mengambil semula kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, selain membubarkan DUN sekarang.

Tidak ada. Tidak ada jalan lain sebabnya pembubaran DUN ini adalah 'remedy' atau penyembuh yang paling mujarab sebab kes macam di Perak ini banyak berlaku walaupun tidak sama faktornya seperti di Nigeria, Sarawak, Sabah dan India. Setiap kali berlaku macam di Perak ini, maka ketetapan mahkamah ketika itu serahkan balik kepada rakyat. Jadi, untuk mengelakkan diserah kepada rakyat kerana takut kalah barangkali...sekarang ni dah tiga bulan, berapa banyak wang dah habis, berapa banyak masa habis, bukan saja itu, kerosakan dan tercemarnya institusi-institusi. Ini tidak membazir? Lagi membazir, pelabur tak masuk negeri Perak sebab Dr Zambry tidak boleh tandatangan apa-apa. Tak laku sekarang ni. Beliau juga tidak sepatutnya masuk pejabat MB. Ini muka orang tidak malu. Dia tidak ada hak untuk masuk pejabat MB kerana semua dia buat tidak laku. Buat mesyuarat Exco, ini tidak kena. Ini menunjukkan dia tidak faham undang-undang.

Bagaimana jika keputusan pilihan raya menyaksikan pihak yang menang dengan majoriti terlalu kecil seperti hanya kelebihan satu kerusi saja, bukankah ia masih tidak menyelesaikan krisis politik terutama jika ada Adun yang sanggup melompat.

Jika pilihan raya semula, sudah tentu kami akan mencari calon yang lebih berwibawa. Kita kena ingat yang dua Exco melompat itu adalah bekas Umno, mereka pernah jadi ahli Umno dan ditarbiah oleh Umno, sebab itu mereka mudah dipengaruhi. Jadi, apabila ada pilihan raya, kami akan mencari calon yang tidak mudah melompat.

Bagaimana jika BN berjaya memenangi pilihan raya di Perak walaupun dengan majoriti kecil, adakah PR sanggup menerima keadaan itu.

Kita boleh terima. Kita dalam demokrasi dah kalah dalam 12 pilihan raya umum, ada kita lawan? Rakyat pilih BN, silakan. Ini demokrasi. Tetapi saya tidak yakinlah BN boleh menang. BN akan kalah teruk.

Diandaikan dalam tempoh terdekat ini, BN akan memanggil sidang DUN tergempar untuk buat undi tidak percaya kepada Datuk Seri.

Mana boleh BN nak buat persidangan kerana Speakernya tidak sah. Macam mana nak panggil persidangan? Sekarang ada penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi oleh Mahkamah Rayuan, jadi apa haknya dan dari mana kuasa dia nak panggil persidangan khas itu.

Bagaimana jika Sultan Perak memberi perkenan terhadap persidangan DUN tergempar itu.

Jika Sultan beri perkenan pun, Speaker masih lagi tidak sah. Mesyuarat pada 7 Mei lalu itu bukan persidangan yang sah. Macam mana mereka boleh lantik Speaker, semua ini berlaku sebelum titah (perasmian) Tuanku. Ini tidak sah. Apakah autoriti dan kuasa yang menyebabkan mereka boleh panggil persidangan untuk mengadakan undi tidak percaya. Jadi, masih lagi akan membuka ruang, adakah akan ada kekecohan seperti pada 7 Mei. Adakah negeri kita mahu melihat semula suasana seperti itu. Saya tidak dapat beri jaminan sekiranya ada hari persidangan yang akan datang, barangkali suasananya mungkin jauh lebih buruk dari 7 Mei itu. Kenapa kita hendak mendedahkan risiko sedemikian.

Sekarang tumpuan kepada Sultan Perak, jadi bagaimana Datuk Seri melihat peranan Sultan dalam hal ini.

Itu hak Tuanku. Apabila saya disahkan (sebagai MB oleh Mahkamah Tinggi) pada 11 Mei, saya beritahu awal-awal ingin menghadap Tuanku untuk pembubaran dan pada pagi 12 Mei, saya hantar surat. Jadi, saya sebagai MB yang sah (ketika itu), saya gunakan suasana itu.

BN mengatakan mempunyai majoriti iaitu 31 kerusi berbanding 28 oleh Pakatan Rakyat.

Tiga Adun Bebas hanya boleh dikatakan sokong BN jika mereka menjadi ahli BN. Mereka hanya Bebas. Mengapa tak boleh mereka (kembali) menyokong PR balik. Di manakah kekuatan dan wibawa kerajaan itu kerana ia akan tumbang semula, lebih-lebih lagi Osman Mohd Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi ada kes rasuah. Macam mana kalau mereka sangkut (bersalah). Jika mereka ini lekat (dikenakan hukuman) kesudahannya tidakkah kerajaan baru ini goyang. Sebab itu pembubaran adalah cara penyelesaian yang baik.

Harapan Datuk Seri bagi menyelesaikan kemelut ini.

Secara kesimpulan, saya melihat keputusan Mahkamah Tinggi memberi keabsahan saya MB yang sah dan BN kena terima hakikat itu. Apa yang mereka ambil hari ini penangguhan hukuman itu adalah sementara. Tangguh tangguh ini sekejap, tidak lama, tetapi ia tidak menukar keputusan Mahkamah Tinggi.
Kaca Mata: Pembangkang di Perak terus berangan-angan


Semuanya daripada pemerintah kepada Raja dipersalahkan mereka

MENGIKUT lazimnya, harus sudah empat kali Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berpindah rumah sejak sebelum mengangkat sumpah selaku Menteri Besar Perak hingga perkembangan terbaru yang melingkarinya kini.

Daripada asalnya mendiami sebuah rumah teres dua tingkat di Pinji Seni, Ipoh menjelang Pilihan Raya Umum pada Mac 2004, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor itu kemudian menyewa pula sebuah rumah setingkat di Taman Golf.

Kemudian, kerajaan Pakatan Rakyat di Perak kehilangan majoriti yang seterusnya membuka laluan untuk Dr Zambry menghuni kediaman rasmi Menteri Besar selepas pelantikannya diperkenankan Sultan Perak pada 6 Februari lalu.

Dr Zambry, bagaimanapun, tidak mahu segera berpindah.

Pertama, beliau harus menunggu Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengosongkan dulu kediaman rasmi di Jalan Raja Di Hilir itu. Ia hanya berlaku pada 22 Februari lalu – 16 hari selepas dilucutkan jawatan sebagai Menteri Besar.

Kedua, kediaman yang dianggapnya 'panas' ketika itu – sepanjang masa ada saja kereta peronda polis yang berkawal di persimpangan masuk – mahu dibiarkannya sejuk terlebih dulu sebelum ia bersedia menerima penghuni baru.

"Biarlah dulu, kurang-kurang pun tiga bulan," kata Dr Zambry dalam satu pertemuan bulan lalu. "Buat apa nak cepat-cepat pindah, biarlah sejuk dulu keadaan. Lagipun, nak duduk lama kat situ."

Lama, pada tanggapan Dr Zambry, haruslah tidak sepantas 11 Mei lalu apabila Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di Kuala Lumpur mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Andainya waktu itu Dr Zambry harus membungkus barang untuk berpindah keluar dari kediaman rasmi Menteri Besar, keesokannya pula niat itu terpaksa dibatalkan apabila Mahkamah Rayuan di Putrajaya membenarkan beliau kekal sebagai Menteri Besar sehingga kes rayuannya diputuskan mahkamah.

Hanya kira-kira seminggu lalu, Dr Zambry kali pertama menganjurkan majlis membaca Yassin dan tahlil di kediaman rasmi itu meskipun belum berpindah ke situ. Kini, cadangannya untuk menganjurkan majlis qiamullail di kediaman berkenaan setiap bulan, harus terus tertangguh sementara waktu.

Apa yang malang ialah, ia bukan lagi berkisar kepada siapa yang mendapat sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN). Bukan juga siapa yang diperkenankan Sultan Perak – atas pertimbangan siapa yang memiliki majoriti – untuk menjadi ketua eksekutif negeri.

Sebaliknya, segala-galanya bergantung kepada keputusan mahkamah.

Terkini, timbul pula desakan Pakatan Rakyat untuk DUN Perak dibubarkan. Kata mereka, biarlah pengundi di Perak menjadi hakim siapa yang lebih layak menubuhkan kerajaan.

Itu, jika kita amati, adalah cakap orang yang kalah, cakap orang yang kecewa. Itu juga adalah cakap mereka yang mahu membelakangkan prinsip demokrasi.

Dari sudut mana pun ia mahu dilihat, Pakatan Rakyat memiliki 28 kerusi berbanding 28 di pihak BN yang turut mendapat sokongan tiga lagi calon Bebas, menjadikannya ia majoriti di pihak kerajaan Dr Zambry.

Tiga calon Bebas itu turut menyatakan yang sama ketika ditanya Sultan Perak di samping menurunkan tanda tangan di kertas perakuan. Ia adalah kehilangan di pihak Pakatan Rakyat dan kelebihan di pihak BN.

Malah, mahkamah jugalah yang memutuskan tiga Adun Bebas itu – Hee Yit Foong (bekas DAP Jelapang) ,Jamaluddin Radzi (bekas PKR Behrang) dan Osman Jailu (bekas PKR Changkat Jering) – tetap sah sebagai wakil rakyat.

Belum ada mana-mana mahkamah yang memutuskan sokongan ketiga-tiganya kepada BN tidak sah, dan belum juga ada hakim yang memperakukan sokongan majoriti di DUN Perak bukan memihak BN.

Namun, kepada Pakatan Rakyat, mahkamah hanya telus dan adil apabila keputusannya hanya memihak kepada mereka. Jika sebaliknya pula, mahkamah akan dituduh bersikap memihak atau berat sebelah.

Lantaran keputusan terbaru mahkamah yang tidak memihak kepada mereka, maka rakyat pula hendak dijadikan timbang tara pengadilan.

Sekonyong-konyong kepada mereka, rakyat Perak sudah muak dengan gelagat Barisan Nasional (BN) yang dituduh mereka sebagai perampas kuasa dan peragut hak rakyat. Atas kepercayaan itu, mereka membayangkan rakyat Perak akan menghukum BN jika pilihan raya negeri diadakan semula.

Itu, sebenarnya, adalah pandangan yang berat sebelah. Bagaimana Pakatan Rakyat boleh meyakininya sedangkan hanya 15 bulan lalu, BN hanya kalah tiga kerusi dan bukan pun kalah teruk.

Andainya pengundi di Perak dibenarkan berfikir secara rasional dan bukan diracuni pemikiran mereka dengan hasutan supaya membenci daripada pemerintah hingga kepada Raja, apakah tidak mustahil untuk Pakatan Rakyat menerima hukuman sewajarnya?

"Ia (krisis politik di Perak) tidak jadi seperti ini kalau prinsip demokrasi berperwakilan itu difahami. Kalau ada majoriti, parti itulah yang memerintah, sama seperti pakatan pembangkang sebelum ini (apabila) mereka juga mempunyai majoriti tiga kerusi," kata Dr Zambry dalam satu temu bual semalam.

"Walaupun mereka lebih tiga kerusi, mereka boleh memerintah. BN tidak ganggu mereka. Seperti di Kelantan pada 2004, kerajaan Pas Kelantan mempunyai majoriti hanya dua kerusi. BN tidak menjadikan ia masalah.

"Pada pilihan raya kecil 2005, Pas hanya mempunyai satu kerusi... tidak ada juga masalah kerana mereka masih menang. Kalau kita memahami prinsip demokrasi berperwakilan, masalah seperti di Perak tidak akan timbul."

Seterusnya, Pakatan Rakyat mendakwa BN yang merampas kerajaan negeri Perak melalui mahkamah.

"Saya dicabar oleh Datuk Seri Mohammad Nizar berhubung pelantikan MB – bukan saya mencabar dia. Nizar orang pertama yang membawa kes ini ke mahkamah, bukan saya dan bukan BN. Tiba-tiba mereka putar belit kenyataan (bahawa) kami yang bawa kes ke mahkamah. Inilah satu lagi pembohongan besar pakatan pembangkang," katanya.

Soal sama ada DUN Perak harus dibubarkan untuk pilihan raya negeri diadakan, memang satu opsyen untuk BN yang memiliki majoriti tapi bukan untuk ditentukan Pakatan Rakyat yang kini minoriti.

Pada ketika Pakatan Rakyat masih menguasai kerajaan negeri dengan kelebihan tiga kerusi selepas selesainya pengundian pada 8 Mac 2008 pun, ada desakan daripada BN supaya DUN Perak dibubarkan. Namun, mereka tidak pernah ambil peduli.

Kini, mereka membuat desakan yang sama di sebalik mereka mengetahui ia bukanlah sesuatu yang berkemungkinan.

Kerana itu juga, Pakatan Rakyat harus menyalahkan diri sendiri daripada terlalu mudah untuk menuding jari kepada orang lain.

Ia adalah ubat paling pahit ciptaan mereka sendiri yang harus mereka telan.

Adakah nak samakan keadaan selepas menang pilihanraya dengan selepas kalah pilihanraya, lepas tu ada adegan lompat2 parti. Di Kelantan, PAS menang melalui pilihanraya, di PERAK BN dikatakan menang dengan sokongan 3 ahli BEBAS yg dahulunya bertanding atas tiket kerusi Pakatan Rakyat
Image
Pilihan raya negeri hasrat siapa?
JIKA Datuk Sagor dan Datuk Maharajalela masih hidup, apa agaknyaperasaan mereka menyaksikan satu demi satu 'tragedi' politik yangberlaku di Perak.

Image
Kepulauan Spratly kembali panas
APAsahaja isu yang berkaitan dengan Kepulauan Spratly dan Paracel yangterletak di Laut China Selatan sudah pasti mengundang reaksi yang agakkeras. Kawasan tersebut sedang menyaksikan tuntutan bertindih antarabeberapa negara.

Import ayam sebagai balasan kedegilan penternak
MASALAHkenaikan harga ayam tidak pernah reda. Harga ayam Malaysia di ladangdikatakan yang paling rendah berbanding tempat lain. Harganya lebihmurah daripada ayam ladang di sekitar Bangkok dan Hatyai di Thailand,Vietnam dan Indonesia.

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
AWANGtertarik dengan cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di DalamPerkhidmatan Awam (CEUPACS) supaya kerajaan menyerapkan lebih 33,000guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh negara ke jawatanbertaraf tetap.

Bursa saham dulu dan sekarang
DALAMkeadaan pasaran saham tidak menentu ekoran daripada krisis ekonomiglobal, saya terkenang kisah semasa bersama Bursa Saham Kuala Lumpur(kini Bursa Malaysia) dari 1984 sehingga 2003.

Bagaimana menyambut Hari Guru
PADA16 Mei 2009, sudah 38 kali masyarakat Malaysia khasnya kaum gurumerayakan sambutan Hari Guru. Tarikh 16 Mei dipilih bagi perayaantersebut kerana memperingati tarikh penguatkuasaan Penyata Razak, iaituDasar Pendidikan Negara yang dilaksanakan bagi Persekutuan TanahMelayu, yang berhasrat menyatukan pendidikan di sekolah bagi semua kaumdi negara ini, yang berteraskan perpaduan kaum melalui bahasa Melayusebagai bahasa pengantar utama.

Parti politik Indonesia belum matang
KEBANYAKANparti di Republik Indonesia masih lagi tidak matang dan bersifatkeanak-anakan. Mereka tidak mempunyai pendirian tetap, mudah merajuk,mudah dipujuk dan masih tercari-cari tapak untuk berdiri serta dahanuntuk berteduh.

Kawalan media demi pertahan nilai teras
DEMIKIANLAHhakikatnya kebebasan akhbar di Malaysia dan Singapura. Tetapi, olehkerana sesetengah pihak yang mendakwa diri mereka jaguh kebebasanakhbar dan sering berkiblatkan kepada Amerika Syarikat (AS), makawajarlah ditinjau apakah bentuk dan realiti kebebasan akhbar di negaratersebut.





Guru pendukung aspirasi membentuk modal insan holistik
SAMBUTANHari Guru 2009 amat dinantikan oleh kira-kira 350,000 pendidik diseluruh negara berikutan perubahan dalam kepemimpinan KementerianPelajaran baru-baru ini. Apakah akan berlaku sebarang perubahan dalamsistem pendidikan negara apabila kepemimpinannya bertukar tangan.

Kenaikan kos di luar kawalan Tabung Haji
KRISISkegawatan ekonomi global sudah masuk tahun kedua. Ketika krisis itumula melanda tahun lalu, ada umat Islam di beberapa negara gagalmenunaikan haji kerana kos yang meningkat secara mendadak.
Pilihan raya negeri hasrat siapa?


Pengundi kawasan Parlimen Bukit Gantang, Perak sudah mengharungi dua kali pilihan raya, apakah akan diadakan pilihan raya negeri pula dalam masa terdekat ini?


JIKA Datuk Sagor dan Datuk Maharajalela masih hidup, apa agaknya perasaan mereka menyaksikan satu demi satu 'tragedi' politik yang berlaku di Perak.

Darah pejuang bangsa yang tumpah di bumi Perak itu pastinya panas lantaran perjuangannya membebaskan negeri bijih timah itu daripada belenggu penjajah seolah-olah tidak dihargai.

Maruah negeri Perak Darul Ridzuan yang bertitik tolak daripada darah, keringat dan air mata pejuang-pejuang bangsa, kini dicabar dan tercabar.

Institusi raja-raja Melayu di negeri itu yang pernah diperlekeh serta dihina oleh Residen British, JWW Birch kini mengulangi 'ruang gelapnya.'

Cuma senario terbaru berbeza.

Jika lebih seratus tahun lalu, kesilapan Raja Abdullah meminta pertolongan 'orang asing' untuk diangkat ke takhta sultan mengundang 'bencana sedemikian rupa, ia bukan seperti sekarang.

Peristiwa bersejarah yang membawa kepada termeterai Perjanjian Pangkor sekali gus mengiktiraf kehadiran Residen British sebagai penasihat itu bukan cerita lapuk.

Ia bukan juga jajaan penglipur lara untuk menyedapkan halwa telinga anak bangsa. Hakikatnya, perjanjian yang membawa kepada tragedi itu sarat dengan pengajaran dan relevan dengan perkembangan semasa.

Ia menjadi panduan agar sejarah hitam itu tidak berulang.

Sebab itu apabila memperkatakan tentang senario politik terkini di Perak, banyak perkara yang mesti direnung.

Jalan penyelesaiannya juga bukan boleh dilaksanakan sesedap rasa. Ia mesti mengambil kira pelbagai faktor serta cara termasuk kehendak rakyat selain tidak meminggirkan peraturan sedia ada.

Paling lantang diperkatakan ialah desakan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri.

Desakan yang dibincangkan di pelbagai peringkat hatta di kedai kopi itu menggunakan alasan mengembalikan hak rakyat untuk memilih kerajaan yang mereka inginkan.

Kata mereka, rakyat Perak tidak senang dengan kemelut sekarang, justeru DUN perlu dibubarkan supaya mereka dapat 'menyenangkan hati' dengan membuang undi memilih kerajaan negeri yang mereka inginkan.

Kata mereka, rakyat tidak mahu tahu mengenai undi tidak percaya atau undi percaya - rakyat juga tidak tahu tentang keputusan mahkamah.

Menurut mereka, hanya satu yang rakyat inginkan, tidak lain tidak bukan -- pilihan raya negeri.

Persoalannya, adakah semua rakyat Perak berhasrat sedemikian rupa? Jika keinginan mereka sebegitu, apakah puncanya?

Dan adakah barisan pemimpin yang dipilih baik di pihak pembangkang mahupun kerajaan semasa Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac tahun lalu bukan menggambarkan hasrat rakyat Perak yang sebenar?

Jika barisan pemimpin itu adalah pilihan rakyat, maka di mana rasionalnya desakan diadakan pilihan raya negeri?

Atau sebenarnya, permintaan supaya DUN dibubarkan sebenarnya mewakili hasrat barisan pemimpin kecewa lantaran mereka tidak lagi mempunyai suara majoriti?

Lantas mereka menjadikan rakyat sebagai alasan untuk melontarkan desakan sambil mengetahui bahawa kemenangan berkemungkinan besar memihak kepada pakatan pembangkang.

Menggunakan alasan kehendak rakyat itu juga, pilihan lain seperti membawa usul undi tidak percaya terhadap kerajaan negeri dan menyerahkan kepada budi bicara sultan untuk membuat keputusan diketepikan begitu sahaja.

Mengapa kumpulan pendesak itu hanya fokus kepada satu jalan? Adakah kerana dua jalan lain itu diketahui dengan jelas tidak akan memihak kepada mereka?

Jika sidang DUN dipanggil untuk menentukan siapa yang layak menjadi menteri besar atau pihak mana layak menerajui kerajaan negeri, apa agaknya keputusan yang diperoleh?

Begitu juga jika Sultan Perak, Sultan Azlan Shah diminta memutuskan berhubung pembubaran DUN, apakah jawapannya?

Dan jika diadakan pilihan raya negeri, biar pun melibatkan kos yang tinggi dan mengganggu urusan seharian penduduk di negeri itu, bagaimana pula keputusannya?

Yang pasti, jawapan bagi dua persoalan sudah diketahui, manakala untuk menentukan kalah menang, perlu diadakan pilihan raya kecil baru diketahui hasilnya.

Menyedari hal itu, maka tidak hairanlah jika yang didendang dan dicanang hanya berkaitan desakan diadakan pilihan raya negeri.

Manakala dua lagi alternatif yang mematuhi peraturan dan undang-undang cuba 'disembunyikan'.

Dan mengetahui itulah pilihan terbaik kepada pakatan pembangkang, maka satu demi satu onar dan masalah ditimbulkan supaya keadaan di Perak dilihat tidak menentu sehingga menuntut pilihan raya negeri diadakan.

Jika keadaan di negeri itu aman dan tenteram tanpa pergolakan yang bukan sahaja sengaja diada-adakan malah dicetuskan secara berterusan, sudah tentu desakan seperti itu tidak akan berlaku.

Malah, orang luar yang lebih sudu daripada kuah pasti tidak akan membuat bising menuntut rakyat negeri Perak diberi hak membuang undi.

Tentunya orang luar tidak akan menjadi begitu arif seperti sekarang perihal politik di Perak sehingga sanggup bergolek dan menyerbu serta membuat bantahan sehingga menimbulkan kekecohan sidang DUN.

Kekecohan 'tiruan' itu jika dibiarkan terlalu lama sememangnya akan merosakkan Perak dari segi politik, ekonomi dan paling penting pasti menjejaskan keharmonian kaum di situ.

Lebih daripada itu, untuk membolehkan matlamat menghalalkan cara, maka dua alternatif yang bukan memihak kepada pakatan pembangkang tidak diuar-uarkan.

Begitu juga rundingan dengan kerajaan Barisan Nasional untuk menurunkan suhu panas politik di Perak tidak dipermain-mainkan.

Lantaran, ketika cadangan bertemu dan berbincang diketengahkan, desakan pembubaran DUN terus berkumandang. Lebih pelik lagi seperti tidak mengetahui peraturan, muncullah pelbagai saranan dan kenyataan berhubung perkara itu.

Sedangkan dunia amat mengetahui tanpa restu Sultan Perak, Sultan Azlah Shah, desakan itu tidak akan menjadi kenyataan.

Kepulauan Spratly kembali panas


Gambar dari udara yang dirakam oleh Tentera Udara Filipina pada November 2003 yang menunjukkan China membina bangunan di Terumbu Mischief, Kepulauan Spratly.


APA sahaja isu yang berkaitan dengan Kepulauan Spratly dan Paracel yang terletak di Laut China Selatan sudah pasti mengundang reaksi yang agak keras. Kawasan tersebut sedang menyaksikan tuntutan bertindih antara beberapa negara.

Sudah agak lama tidak kedengaran berita mengenai tuntutan kepulauan tersebut kerana negara yang terlibat seperti China, Filipina, Vietnam, Taiwan, Brunei dan Malaysia lebih selesa mengekalkan status-quo.

Tetapi sejak kebelakangan ini, berlaku beberapa peristiwa yang boleh mencetuskan kembali suasana panas di Spratly dan Paracel. Kesemuanya berlaku ekoran tindakan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Batas-Batas Pelantar Benua (CLCS) yang meminta penghujahan daripada negara-negara terbabit dalam usaha memperjelaskan batas-batas luar tuntutan maritim sesebuah negara apabila pelantar benua menganjur lebih 200 batu nautika dari sesuatu garis dasar seperti pantai negara itu. Tarikh akhir penghantaran hujahan adalah pada 13 Mei lalu.

Ekoran permintaan CLCS, kerajaan Filipina pada Mac lepas telah mengisytiharkan pembentukan undang-undang garis dasar maritim yang boleh dianggap sebagai bakal menghidupkan kembali sensitiviti tuntutan bertindih Kepulauan Spratly.

Pengumuman oleh Presiden Gloria Macapagal Arroyo tersebut mendapat bantahan keras daripada Beijing. Ini kerana China terlibat secara langsung terhadap kesan pembentukan garis dasar tersebut. Jika diteliti unjuran garis dasar Filipina, maka sudah pasti Kepulauan Kalayaan dan Beting Scarborough yang juga dituntut oleh Beijing, adalah milik Manila.

Beijing membantah keras tindakan Manila kerana ia telah mengugat status-quo isu tuntutan bertindih yang melibatkan Kepulauan Kalayaan dan Beting Scarborough.

Beijing bukan sahaja membuat bantahan diplomatik, tetapi mengambil tindakan lebih nekad dengan menghantar kapal peronda Yuzheng 311 ke kawasan itu.

Kehadiran Yuzheng 311 sudah pasti tidak disenangi oleh negara lain kerana tafsiran yang mudah ialah Beijing sanggup menggunakan kekuatan tentera untuk melindungi hak mereka.

Insiden tahun 1995 sudah pasti menghantui semula apabila Beijing menggunakan segala kekuatan tentera laut mereka untuk menawan semula Terumbu Mischief yang diduduki oleh tentera Filipina.

Jurucakap Kementerian Luar China bagaimanapun memberi jaminan bahawa kehadiran Yuzheng 311 tidak memberi makna bahawa Beijing akan mengabaikan proses rundingan penyelesaian tuntutan bertindih ke atas Spratly dan Paracel.

Malah Beijing akan tetap terus mematuhi Deklarasi Mengenai Tatacara Pihak Berkenaan di Laut China Selatan yang ditandatangani bersama dengan ASEAN pada 2002. Salah satu sebab utama mengapa deklarasi ASEAN-China tersebut diwujudkan ialah untuk mengelak daripada berulangnya insiden 1995.

Akibat pergeseran Beijing dan Manila, Menteri Luar Malaysia pada ketika itu, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, menekankan bahawa Kuala Lumpur tidak akan mengambil tindakan melulu sebagai balasan terhadap tindakan Beijing tersebut. Malah akan mempergiatkan lagi rundingan selaras dengan deklarasi ASEAN-China seperti yang dipersetujui oleh semua pihak.

Tetapi apabila Malaysia dan Vietnam beberapa hari lepas mengemukakan hujah masing-masing kepada CLCS mengenai batas maritim yang dituntut, China sekali lagi mengemukakan bantahan kepada PBB. Walaupun kapal perang tidak dihantar ke kawasan berkenaan tetapi kenyataan keras yang dikeluarkan sudah pasti akan mengeruhkan lagi suasana.

Antara lain Beijing menekankan bahawa mereka memiliki "kedaulatan yang tidak boleh dipertikaikan" dan tidak akan bertolak-ansur terhadap negara-negara lain yang turut menuntut pulau-pulau berkenaan.

Secara khususnya beberapa gugusan Kepulauan Spratly milik Malaysia seperti Pulau Ubi, Pulau Siput, Pulau Mathanena dan Pulau Peninjau adalah termasuk dalam amaran yang dikeluarkan oleh Beijing.

Perlu ditekankan Angkatan Tentera Malaysia telah menempatkan aset serta anggota tentera di gugusan Kepulauan Spratly milik negara. Ekoran daripada amaran terbaru Beijing itu, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar telah menegaskan operasi rondaan tetap dijalankan seperti biasa dan memastikan kehadiran ATM untuk mengesahkan hak milik Malaysia.

Setakat ini, Beijing belum lagi mengambil tindakan secara fizikal untuk menafikan tuntutan Malaysia kepada CLCS seperti yang telah dilakukan terhadap Manila dengan menghantar kapal peronda Yuzheng 311.

CLCS setakat ini telah menerima hujahan tuntutan maritim dari 48 negara yang kebanyakannya merupakan tuntutan bertindih. Selain daripada tuntutan ke atas Kepulauan Spratly, pertikaian sempadan maritim Rusia-Denmark, Jepun-Rusia dan Britain-Argentina mengenai Kepulauan Falklands juga diterima oleh CLCS.

Sebenarnya, Beijing tidak perlu mengambil tindakan yang agak agresif ekoran hujahan Manila, Hanoi dan Kuala Lumpur kepada CLCS. Ini adalah kerana suruhanjaya tersebut tidak akan menerima sebarang hujahan penempatan sempadan yang mempunyai tuntutan yang bertindih.

Apabila Beijing menegaskan mereka mempunyai hak yang tidak boleh dipertikaikan ke atas Kepulauan Spratly, hujah yang sama juga telah digunakan oleh Manila, Hanoi dan Kuala Lumpur iaitu mengambil kira peruntukan yang dibenarkan oleh Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) dan Peraturan Prosedur CLCS.

Seperti yang telah ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Kuala Lumpur mempunyai mekanisme untuk menyelesaikan tuntutan bertindih itu selain dibantu oleh prinsip undang-undang antarabangsa. Beijing tidak boleh terlalu angkuh dan sensitif kerana negara lain juga mempunyai hak yang serupa.

Beijing perlu mengehadkan penggunaan pendekatan fizikal melalui aset tentera laut mereka kerana ini bakal mengundang tindakan serupa dari negara lain.

Negara yang terlibat sudah pasti tidak mahu terjerumus dalam senario yang agak melampau seperti yang dilakukan oleh Moscow pada 2007 apabila menempatkan bendera di dasar laut Kutub Utara ekoran pertindihan tuntutan dengan Copenhagen.

PENULIS ialah GeoStrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Import ayam sebagai balasan kedegilan penternak

Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my


MASALAH kenaikan harga ayam tidak pernah reda. Harga ayam Malaysia di ladang dikatakan yang paling rendah berbanding tempat lain. Harganya lebih murah daripada ayam ladang di sekitar Bangkok dan Hatyai di Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Isunya, walaupun harga di ladang adalah murah tetapi harga meningkat apabila diagihkan daripada penternak kepada pemborong dan seterusnya peruncit. Jadi bayangkan harga ayam yang dibeli oleh pengguna negara ini.

Rabu lalu, satu tamparan kepada Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (PPPM) apabila Kabinet bersetuju supaya permit import (AP) ayam diliberalisasikan sebagai salah satu kaedah mengawal harga bahan makanan itu seterusnya menstabilkannya di pasaran.

Inilah balasan kepada sikap angkuh pemimpin PPPM yang enggan menurunkan harga ayam antara 40 sen dan 60 sen baru-baru ini walaupun didesak oleh pelbagai pihak termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Dengan pelaksanaan liberalisasi import ayam ini, pembekal ayam tempatan tidak boleh lagi bermaharajalela dan sesuka hati menentukan harga ayam seperti sebelum ini. 'Kuasa' mereka mengawal harga ayam akan diimbangi oleh ayam import.

Jadi pengguna tidak perlu lagi terlalu bergantung kepada bekalan ayam tempatan. Sudah lama pengguna 'menderita' dengan kerenah penternak dan penjual ayam yang menaikkan harga sewenang-wenangnya.

Ayam sudah lama menjadi sumber protein utama kepada rakyat Malaysia. Pembukaan banyak restoran makanan segera berasaskan menu ayam dan hampir semua gerai dan warung juga 'wajib' menyajikan 'lauk' ini menunjukkan ayam sentiasa mendapat permintaan yang tinggi.

Oleh itu, permintaan terhadap daging ayam sentiasa ada. Maknanya tidak ada masalah untuk menjual ayam. Ia sentiasa akan memberi pulangan kepada para penternak dan peniaga ayam.

Sebab itu, pengguna terasa sakit hati apabila harga ayam 'sekejap naik sekejap turun' tanpa sebab yang munasabah.

Isu harga ayam memang sudah lama diperkatakan. Kerajaan pun sudah lama mengkaji masalah ini. Sudah tentu pihak berkuasa tahu di mana punca 'penyakit' harga ayam itu. Jika penyakit itu berpunca dari pusat ternakan sebagai pembekal maka di situ tempat yang perlu dirawat.

Masalah kenaikan harga ayam berlaku disebabkan ada pihak-pihak tertentu yang mahu harga sumber makanan itu dinaikkan. Justeru mereka menyekat pergerakan bekalan untuk meraih keuntungan di kemudian hari.

Penternak dan pembekal ayam adalah kumpulan yang memonopoli bekalan bahan ini dan mereka boleh mengawal industri, memanipulasi pengeluaran, pengedaran dan harga. Apatah lagi mencetuskan kekurangan bekalan yang palsu.

Mujur kerajaan tidak termakan taktik keluh resah penternak, pengedar dan peniaga ayam. Malah kita juga tidak buntu mencari jalan penyelesaian isu harga ayam.

Akhirnya kita percaya dan yakin pada satu faktor - bekalan daging ayam perlu ditambah melalui import.

Kerajaan dan masyarakat pengguna sebenarnya sudah banyak bersabar dan bertolak ansur dengan penternak dan pengedar ayam. Jadi, mesej yang jelas perlu diberikan kepada pihak terbabit.

Kita sentiasa menyokong kerajaan supaya tidak tunduk pada desakan. Yang penting, kerajaan jangan sekali-kali hilang punca dan tunduk pada desakan dan taktik licik penternak, pembekal dan peniaga ayam.

Sebahagian kenaikkan kos yang mereka gembar-gemburkan biasanya bersifat sementara dan tidak perlu dipindahkan kepada pengguna. Ia akan pulih bergantung pada masa.

Menggunakan alasan kenaikan harga bahan di pasaran dunia atau berlaku kekurangan bekalan adalah taktik yang selalu digunakan untuk menaikkan harga barangan.

Kita sudah lali dengan kenaikan harga seperti tepung, susu, roti dan bahan bukan makanan misalnya simen dan besi keluli - apatah lagi ayam.
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

AWANG tertarik dengan cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS) supaya kerajaan menyerapkan lebih 33,000 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh negara ke jawatan bertaraf tetap.

Sememangnya apa yang disuarakan oleh CEUPACS berhubung isu guru KAFA menuntut perhatian serius daripada kerajaan.

Pada masa ini, golongan tersebut berkhidmat secara kontrak dan tidak layak menerima kemudahan seperti pinjaman perumahan dan perubatan.

Langkah menaik taraf guru KAFA ke jawatan tetap, akan membolehkan mereka menerima imbuhan dan kemudahan yang sama dinikmati oleh guru lain dalam skim perkhidmatan pendidikan.

Awang percaya kerajaan mampu melaksanakan pembaharuan dalam bidang pendidikan Islam, yang merupakan agama rasmi dalam Perlembagaan negara.

Antaranya menerusi usaha meningkatkan pembelaan dan kebajikan di kalangan tenaga pengajar KAFA selain menyediakan kurikulum terbaik untuk para pelajar.

Apatah lagi peranan mereka amat penting dalam mendidik anak-anak tentang ilmu agama dan kerohanian pada era yang kian mencabar ini.

Awang - Menaruh harapan.
Bursa saham dulu dan sekarang

DALAM keadaan pasaran saham tidak menentu ekoran daripada krisis ekonomi global, saya terkenang kisah semasa bersama Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia) dari 1984 sehingga 2003.

Memang banyak pengalaman pahit, manis dan maung yang saya lalui. Saya berpeluang berkhidmat di bawah tiga pengerusi dalam jangka 19 tahun itu.

Bermacam-macam kerenah mereka ini yang dapat saya perhatikan. Yang suka datang lambat bila mesyuarat, yang suka susun semula organisasi berkali-kali dan yang cekap buat kerja dalam semua bidang. Cekap dan pantas betul.

Saya masih teringat pada awal perkhidmatan saya, semuanya berjalan secara manual. Dalam ruangan bilik seluas 2,500 kaki persegi pada tahun 1984 itu, berlari-larilah 50 orang kerani bilik dagangan mengambil pesanan dari syarikat broker.

Mereka menggunakan signal tangan untuk menawar dan membeli saham yang kesemuanya tercatat atas papan hitam. Di atas lantai bilik tersebut penuh dengan wayar telefon bertali terus kepada kerani syarikat broker masing-masing.

Bayangkanlah keadaan pada masa itu seperti 'kandang kambing'.

Perlahan-lahan kita memulakan usaha memodenkan bursa tersebut. Mula-mula kita pindah ke tempat yang lebih luas dan kita menggunakan sistem dagangan separuh automatik.

Kita gaji kerani untuk memasukkan pesanan beli dan jual ke dalam komputer tetapi masih lagi menggunakan papan putih yang lebih luas.

Kerani bilik dagangan pada masa itu masih lagi digunakan. Ada yang telah berkhidmat selama 25 tahun dan ada yang tidak punya kelayakan. Kalau difikirkan kenapa mereka boleh bertahan begitu lama sedangkan gaji mereka tidak seberapa? Rupa-rupanya ramai yang menyimpan 'buku hitam' yang mengandungi urus niaga mereka secara peribadi.

Apabila pasaran hangat pada satu-satu masa kita boleh terdengar jerit pekik laungan kerani-kerani ini. Mudah bagi kita hendak mengetahui nadi pasaran dalam masa-masa tertentu. Kalau senyap sahaja, maknanya pasaran lembap.

Apabila pihak bursa membuat keputusan untuk beralih kepada sistem dagangan sepenuh elektronik dan sepenuh automatik, kita membentuk sistem sendiri.

Orang yang bertanggungjawab tentang ini dan perkara-perkara berkaitan teknologi maklumat ialah Ungku Abdul Razak. Pada saya, dia seorang genius IT. Jarang ada masalah IT yang tidak dapat diselesaikannya.

Kita pun beralih kepada sistem sepenuh elektronik dan automatik pada 1989. Dan bursa saham Taiwan begitu tertarik dengan sistem kita sehingga mereka menghantar orang untuk mengkajinya. Taiwan masa itu hanya menggunakan sistem separuh automatik.

Sejajar dengan peralihan kepada sistem dagangan sepenuh elektronik dan automatik, sistem penyampaian maklumat dagangan dan pasaran juga perlu ditingkatkan ke tahap elektronik. Ini dilakukan melalui 'terminal' komputer daripada bursa ke seluruh syarikat broker saham pada masa itu.

Tidak salah kalau dikatakan bahawa permodenan industri sekuriti pada masa itu berpunca daripada permodenan bursa saham sendiri.

Perubahan itu pada mulanya menerima bangkangan daripada broker saham. Mereka tidak mahu mengeluarkan perbelanjaan untuk memodenkan syarikat mereka.

Pada waktu itu - tahun 1984 - tidak ada satu laporan pun tentang pasaran saham, baik secara berasingan atau pun dalam warta berita dalam apa jua media. Pada awalnya laporan dibuat daripada bursa saham, lama-kelamaan diambil alih oleh wartawan media.

Program pertama tentang saham saya buat bersama orang kanan RTM, George Abraham yang dikenali dengan nama Business Trends. Stesen TV3 menyusul pula dengan Money Matters.

Program televisyen dalam bahasa Melayu ialah Dari BSKL, yang ditaja bersama oleh setiap syarikat broker saham dan bursa saham Kuala Lumpur. Rancangan ini bertahan selama tiga tahun.

Tujuan program itu diperkenalkan ialah untuk mendidik masyarakat untuk melabur terutama sekali yang tidak tahu menahu tentang pasaran saham.

Syarikat penyampai maklumat yang pertama mengambil harga saham di pasaran untuk disebarkan ke seluruh dunia ialah Reuters.

Dahulu syarikat kita ada yang tersenarai di bursa saham Singapura dan ada syarikat Singapura yang tersenarai di bursa kita. Keadaan ini berlaku sejak tertubuhnya bursa saham.

Malangnya penyenaraian itu mendatangkan keuntungan lebih kepada Singapura berbanding Malaysia.

Pelabur asing lebih gemar pergi ke Singapura untuk membeli saham syarikat Malaysia daripada berdagang dengan bursa saham kita.

Menyedari hakikat bahawa sekiranya kita ingin membangunkan pasaran modal kita, kita perlu memberikan tumpuan kepada syarikat kita disenaraikan di bursa saham kita. Oleh itu, pada 1990 penyenaraian di bursa saham Singapura diberhentikan.

Singapura tidak duduk diam kerana banyak urus niaga mereka terdiri daripada saham syarikat kita. Mereka memperkenalkan pasaran tidak rasmi dikenali sebagai CLOB. Katanya tiada kena mengena dengan bursa sahamnya tetapi semua orang tahu sebaliknya.

Mereka menggunakan bank-bank Singapura yang beroperasi di Malaysia untuk menyimpan rekod urus niaga saham syarikat Malaysia melalui CLOB.

Saya memohon kepada kerajaan untuk mengambil langkah supaya CLOB dimatikan tetapi pada masa itu tidak nampak bahayanya sehinggalah krisis pada 1997.

Banyak saham kita diurusniagakan secara 'jualan singkat' (short selling). Ertinya mereka menjual saham yang mereka tidak miliki dan membeli balik bila harga saham tersebut jatuh. Dengan cara itu mereka membuat 'keuntungan atas angin.'

Melihat keadaan ini barulah kerajaan mengarahkan mencari jalan untuk menutup CLOB. Malangnya selepas 1997 kita hilang kedudukan kita sebagai nombor satu dalam ASEAN.

(Bersambung minggu hadapan)

DATO' SALLEH MAJID ialah Felo Utama

Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
Bagaimana menyambut Hari Guru

Oleh SULAIMAN KONIT


PADA 16 Mei 2009, sudah 38 kali masyarakat Malaysia khasnya kaum guru merayakan sambutan Hari Guru. Tarikh 16 Mei dipilih bagi perayaan tersebut kerana memperingati tarikh penguatkuasaan Penyata Razak, iaitu Dasar Pendidikan Negara yang dilaksanakan bagi Persekutuan Tanah Melayu, yang berhasrat menyatukan pendidikan di sekolah bagi semua kaum di negara ini, yang berteraskan perpaduan kaum melalui bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

Pada kebiasaannya sambutan diadakan di peringkat negara, negeri, daerah dan sekolah. Berbagai tema perayaan dikemukakan seperti: "Guru Pembentuk Pembangunan Negara" dan sebagainya.

Di perhimpunan tersebut biasanya dibacakan perutusan Hari Guru daripada Menteri Pelajaran. Biasalah selepas itu diadakan kegiatan seperti sukan kecil, jamuan dan diakhiri dengan sumbangan hadiah daripada murid atau pelajar kepada guru-guru mereka.

Hadiah hanya berupa jambangan bunga, pen atau buku dan sambutan Hari Guru berakhir begitu sahaja, sehingga menunggu sambutan pada tahun hadapan. Tiada kesan yang ditinggalkan yang menjadi kenangan kepada guru dan murid.

Bagaimana sepatutnya masyarakat menyambut atau merayakan Hari Guru yang nampaknya semakin malap, yang agaknya sudah hampir kehabisan idea dan tenaga.

Bagi murid adakah cukup hanya mengucapkan "Selamat Hari Guru" bila menjelang hari tersebut? Di samping itu hanya menghadiahkan kuntuman bunga, kemudian layu, dibuang dan dilupakan begitu sahaja.

Ketika ini, mungkin boleh dianggap sebagai kelakar, katakan seorang murid yang belajar di sekolah rendah di tahun lima pada 2000, berjumpa semula dengan guru mereka pada tahun 2009.

Perkataan yang keluar daripada pelajar tersebut: "Ini guru saya dulu semasa di sekolah rendah yang selalu mencubit perut saya kalau tak menyiapkan kerja sekolah". Patutkah pelajar tersebut berkata begitu?

Perkataan "mencubit" itu sangat diingati tetapi pengajaran guru tersebut hingga dia ke institusi pengajian tinggi (IPT), langsung tidak timbul atau diingati. Masyarakat masa kini sangat sukar untuk 'menghargai' apatah lagi 'mengingati' jasa guru.

Kepada kaum guru sekarang, jangan bersikap negatif kerana kerjaya seorang pendidik juga seperti kerjaya seorang doktor - mereka selalu dilupakan bila pelajar pandai dan berjaya, dan ketika pesakit sihat dan boleh bergerak dengan cergas dan makan dengan berselera.

Kerjaya seorang pendidik adalah kerja yang mulia. Jika dilakukan dengan penuh keikhlasan, pahalanya akan sampai ke akhirat.

Sesuatu perlu dilakukan dalam sistem pendidik sekarang, seperti program "tanam semangat" dilakukan seawal-awalnya di peringkat sekolah. Melalui langkah ini, setidak-tidaknya masyarakat kita tahu menghormati ibu bapa, menghargai guru dan berterima kasih kepada pemerintah yang telah membelanjakan begitu banyak wang dalam pendidikan.

Kepada ibu bapa, adakah pernah menghantar sepucuk surat penghargaan kepada pihak sekolah kerana kejayaan anak kita dalam pelajaran atau kerana telah berjaya menyelesaikan satu-satu kes yang melibatkan anak kita.

Kepada kaum guru, fikirkan slogan dulu yang menyatakan "Guru ibarat lilin, membakar diri dan menerangi orang lain" - sesuai lagikah dengan keadaan semasa sekarang.

PENULIS ialah Tokoh Guru Temerloh 1998
Parti politik Indonesia belum matang

KEBANYAKAN parti di Republik Indonesia masih lagi tidak matang dan bersifat keanak-anakan. Mereka tidak mempunyai pendirian tetap, mudah merajuk, mudah dipujuk dan masih tercari-cari tapak untuk berdiri serta dahan untuk berteduh.

Kebanyakan parti walaupun dikategorikan sebagai heavyweight dalam politik Indonesia seperti Parti Keadilan Sejahtera dan Parti Amanat Nasional (PAN), tetapi masih seperti "melukut di tepi gantang" bagi parti pemerintah iaitu Parti Demokrat pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Ketika timbul ura-ura Susilo bakal memilih daripada kalangan bukan ahli politik sebagai pendampingnya untuk jawatan naib presiden ketika masuk ke gelanggang pemilihan presiden, parti-parti politik berkenaan terus membuat pelbagai ancaman.

Ancaman paling popular ialah akan keluar daripada pakatan itu kerana mereka tahu Parti Demokrat yang usianya baru 'setahun jagung' itu tidak mampu berdiri sendiri menghadapi Pilihan Raya Presiden pada 8 Julai ini.

Bagaimanapun rajuk mereka tidak panjang apabila dipujuk dan digula-gulakan oleh Susilo dan Demokrat. Akhirnya mereka segera bermain di halaman Demokrat dan terus melupakan apa yang berlaku sebelumnya.

Tarikan utama Demokrat dan Susilo ialah berada di tampuk pentadbiran negara. Dan itulah yang diimpikan oleh parti-parti berkenaan yang mahu bergabung dengan parti pemerintah kerana mereka akan berada tidak jauh daripada kuasa kerana ia penting untuk survival parti.

Berlainan dengan segelintir daripada 44 buah parti yang terdapat di Indonesia, seperti Parti Golkar dan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP). Mereka mempunyai sosok pemimpin yang tegas dan tetap dengan pendirian.

Parti Golkar contohnya setelah mengumumkan keluar daripada pakatan Demokrat pada Pilihan Raya Parlimen lalu, terus dengan pendirian tersebut apabila Ketua Umum Golkar, Jusuf Kalla mengumumkan akan menentang Susilo.

Rakan pendampingnya ialah Ketua Dewan Pembina Parti Hati Nurani Rakyat (Hanura), Wiranto yang bakal bertanding untuk jawatan naib presiden.

Ketegasan Jusuf itu harus dihormati walaupun masih terdapat para pemimpin Golkar yang 'menjeling-jeling' ke arah Demokrat dan hati masih berbunga jika ditawarkan oleh Susilo untuk menjadi pendamping.

Begitu juga Megawati Soekarnoputri yang memimpin PDIP. Beliau cukup tegas dengan pendiriannya untuk tetap mengemukakan calon presiden daripada parti itu. Ia dilakukan walaupun terdapat pemimpin yang menyarankan untuk bergabung dengan Demokrat dan menerima tawaran untuk bertanding jawatan naib presiden.

Megawati dalam satu mesyuarat di kediamannya baru-baru ini telah menghalau seorang pemimpin parti itu gara-gara membuat saranan sedemikian. Usul itu dibuat selepas mencongak peluang parti berkenaan untuk menang terlalu tipis.

Pemimpin berkenaan terdiam dan terus terbenam di tempat duduknya dan lantas mematikan niat para pemimpin lain untuk menyokong saranan tersebut. Sepantas itu juga khabar angin parti berkenaan bakal bergabung dengan Demokrat mati begitu sahaja.

PAN pula kini terbahagi dua apabila penasihat parti itu yang juga bekas ketua umumnya, Amien Rais masuk campur urusan parti membentuk kumpulan sendiri sehingga mematikan langkah Ketua Umum PAN, Soetrisno Bachir.

Perpecahan itu memang telah kelihatan sebelum ini. Ia jelas semasa penulis membuat liputan kempen terbuka PAN di Lampung pada Pilihan Raya Parlimen lalu.

Soetrisno yang terkenal dengan panggilan Mas Soetrisno itu meninggalkan pentas kempen apabila Amien menjejakkan kaki ke situ. Sesuai dengan gelaran "Mas", Soetrisno membawa aliran baru di dalam PAN iaitu sebagai pemimpin muda yang berani serta berdisiplin dan mahu menjadikan parti berkenaan sebagai parti golongan muda.

Lantaran itu beliau lebih awal menyatakan persetujuan untuk bergabung dengan Prabowo Subianto iaitu Ketua Dewan Pembina Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) untuk bertanding jawatan presiden, manakala Soetrisno bagi jawatan naib presiden.

Langkah itu tidak mendapat restu Amien yang masih lagi mempunyai pengaruh kuat di dalam PAN, apatah lagi Soetrisno juga dipilih oleh Amien untuk menggantikannya.

Amien melihat demi survival parti itu, lebih baik ia bergabung dengan tampuk kekuasaan iaitu Demokrat.

Kini Soetrisno terus mendiamkan diri, Prabowo pula membentuk gabungan lebih 20 parti kecil untuk mendukung beliau bertanding jawatan presiden.

Bagaimanapun sokongan parti-parti kecil itu tidak menjanjikan kemenangan kerana tidak mempunyai impak. Lantaran itu Prabowo terus menunggu restu Megawati kerana ia bakal melengkapkan sokongannya.
Kawalan media demi pertahan nilai teras

Oleh RUHANIE AHMAD


DEMIKIANLAH hakikatnya kebebasan akhbar di Malaysia dan Singapura. Tetapi, oleh kerana sesetengah pihak yang mendakwa diri mereka jaguh kebebasan akhbar dan sering berkiblatkan kepada Amerika Syarikat (AS), maka wajarlah ditinjau apakah bentuk dan realiti kebebasan akhbar di negara tersebut.

Konsep kebebasan akhbar di Amerika Syarikat

Kebebasan akhbar di AS adalah bersumberkan The First Amendment (1791) Perlembagaan AS. Antara seluruh media di AS, media cetak paling bebas. Bagaimanapun, kebebasan akhbar di AS juga adalah bersyarat. Namun ia tidak termasuk kebebasan untuk menyiarkan bahan-bahan lucah atau pornografi. Kebebasan itu juga tidak mengatasi keselamatan serta kepentingan negara.

Media penyiaran yang terangkum di bawah First Amendment AS pula menghadapi peraturan dan sekatan.

The Communications Act 1934 AS mewujudkan The Federal Communications Commission (FCC) untuk meregulasikan radio, televisyen dan telekomunikasi. Anggota FCC dilantik oleh Presiden AS. (Ryan & Wentworth 1999:120-122).

Pada awal 1990-an kerajaan AS menggunakan alasan "keselamatan ketenteraan" untuk menyekat kebebasan akhbar. Contohnya, campur tangan ketenteraan AS di Granada, Panama dan Teluk Parsi membolehkan kerajaan menggunakan isu "keselamatan ketenteraan" sebagai alasan untuk memperkenalkan satu sistem yang menyeluruh bagi menapis penyaluran berita mengenai perang terbabit.

Wartawan yang membuat liputan Perang Teluk, contohnya, hanya diizinkan melaporkan berita-berita atas kawalan pegawai Pentagon. Wartawan yang diizin membuat liputan juga disaring oleh pihak Pentagon (Exoo, 1994:96).

Berikutan tragedi 11 September 2001, kerajaan AS pula mengambil beberapa langkah yang disifatkan sebagai menjejaskan kebebasan akhbar. Hakikat ini dihuraikan secara panjang lebar oleh Navasky (2002:28). Antaranya, Navasky menyatakan, kerajaan AS mengeluarkan arahan eksekutif untuk menghalang pengedaran kertas-kertas maklumat mengenai bekas Presiden AS.

Peguam Negara AS menarik balik andaian di sebalik Freedom of Information Act bahawa sesuatu dokumen hanya akan dilarang daripada edaran jika ia menimbulkan mudarat. Kerajaan AS juga meluluskan Patriot Act. Akibatnya, pengaliran maklumat di AS telah dikompromi dan hak rakyat AS untuk mendapatkan maklumat turut terjejas.

Hakikat kebebasan akhbar di AS seperti dihuraikan di atas membuktikan Perlembagaan AS juga memberikan kebebasan akhbar secara bersyarat.

Ia selaras dengan kebebasan akhbar yang dipelopori menerusi Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan PBB. Pada waktu yang sama, dua nilai teras yang amat dipelihara oleh AS adalah kepentingan dan keselamatan negara.

Oleh itu, kebebasan akhbar di AS tidak boleh mengatasi aspek nilai-nilai teras berkenaan.

Realiti kebebasan akhbar di Malaysia

Berdasarkan seluruh huraian di atas, kerajaan Malaysia terbukti memberikan kebebasan akhbar di negara ini selaras dengan prinsip dan konsep kebebasan akhbar yang dipelopori oleh Deklarasi Hak Manusia Sejagat, PBB dan juga AS.

Nilai-nilai teras yang dipertahankan oleh kerajaan Malaysia juga sama dengan nilai-nilai teras yang dipertahankan menerusi deklarasi itu dan juga AS. Dalam lain perkataan, kebebasan akhbar di Malaysia adalah sama piawaiannya dengan kebebasan akhbar yang dilindungi oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, selaras dengan matlamat serta prinsip PBB dan sama tarafnya dengan standard kebebasan di AS.

Pada waktu yang sama, amalan kebebasan akhbar di Malaysia juga tidak jauh berbeza dengan amalan di Singapura dan Indonesia.

Oleh itu, mengapakah pihak yang kononnya juara kebebasan akhbar di Malaysia gagal menerima hakikat? Mengapakah NGO antarabangsa yang memberikan ranking negatif terhadap kebebasan akhbar di negara ini seolah-olah tidak mahu menerima realiti? Mengapakah diketepikan kebenaran dan diperbesarkan pula kepalsuan?

Isu kebebasan akhbar di Malaysia juga menjadi polemik dan dipolitikkan. Mungkinkah kerana ia adalah antara isu terbaik untuk dijadikan perkakas yang boleh melumpuhkan kekuasaan Melayu yang menjadi teras pemerintahan negara ini? Oleh itu, adakah soal kebebasan akhbar di negara ini yang kononnya negatif akan lenyap bila kuasa negara beralih ke tangan yang lain, khususnya ke tangan bukan Melayu?

Mengapakah kelompok antarabangsa dan tempatan yang prihatin terhadap kebebasan akhbar di Malaysia tidak memberikan minat dan komen terhadap tindakan seorang exco sebuah kerajaan negeri yang menyaman sebuah akhbar Melayu dengan jumlah jutaan ringgit semata-mata kerana akhbar itu menyiarkan sebuah cerpen mengenai seorang individu yang hanya wujud dalam dunia khayalan?

Mengapakah kelompok ini juga tidak pernah membuat apa-apa kritikan bila exco yang sama juga menyaman seorang penyair dan menuntut gantirugi sebanyak RM30 juta semata-mata kerana penyair itu menghasilkan sebuah puisi yang kononnya merujuk kepada exco tersebut? Tidakkah tindakan undang-undang seperti ini merupakan langkah yang tidak kondusif kepada kebebasan berkarya dan kebebasan akhbar?

Kesimpulan

Kebebasan akhbar yang menjadi sebahagian ciri-ciri kebebasan masyarakat yang demokratik adalah kebebasan yang bersyarat dan yang dihadkan oleh nilai-nilai teras sesebuah masyarakat dan negara. Nilai-nilai teras yang sangat dititikberatkan oleh kerajaan Malaysia adalah ketenteraman awam, keselamatan negara, keharmonian kaum dan perpaduan masyarakat.

Amalan kebebasan akhbar yang bersyarat ini juga terdapat di AS, Singapura dan Indonesia. Oleh sebab itu, tuduhan kononnya kerajaan Malaysia tidak memberikan kebebasan akhbar adalah dakyah semata-mata.

DATUK RUHANIE AHMAD ialah bekas wartawan dan juga bekas Ahli Parlimen Parit Sulong
Guru pendukung aspirasi membentuk modal insan holistik


Pendidik bukan sekadar lahirkan pelajar cemerlang tetapi lebi utama membimbing generasi bersahsiah mulia

SAMBUTAN Hari Guru 2009 amat dinantikan oleh kira-kira 350,000 pendidik di seluruh negara berikutan perubahan dalam kepemimpinan Kementerian Pelajaran baru-baru ini. Apakah akan berlaku sebarang perubahan dalam sistem pendidikan negara apabila kepemimpinannya bertukar tangan. Ikuti wawancara wartawan Pendidikan, ZAINOR SAID, TAMRIN ANUAR dan NORLIZA ABDULLAH bersama Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena sambutan Hari Guru yang disambut hari ini.

Apa relevannya tema Hari Guru tahun ini iaitu 'Guru Pembina Negara Bangsa' dengan peranan pendidik dalam membina perpaduan dan meningkatkan kecemerlangan?

Tema Hari Guru tahun ini mengingatkan kita peri pentingnya peranan guru dalam membentuk negara bangsa. Mereka bukan hanya berperanan mendidik, malah membentuk bangsa yang bersatu padu dan bangsa yang mampu memahami aspirasi negara seterusnya membawa Malaysia ke mercu lebih gemilang pada masa depan. Kita melihat pentingnya guru dalam membentuk generasi lebih seimbang. Dalam hal ini, kerajaan menekankan aspek kualiti untuk meningkatkan mutu pendidikan dan aspirasi lebih cemerlang dalam kerjaya mereka. Masa depan negara bergantung kepada keupayaan guru melahirkan generasi berkemahiran dan memenuhi cita rasa bangsa dan negara. Sempena Hari Guru tahun ini, kami pada peringkat kementerian memberi perhatian khusus kepada usaha meningkatkan kemahiran guru agar lebih kreatif dan inovatif di samping memiliki ilmu dan pengetahuan lebih luas. Guru juga bertanggungjawab membimbing anak kita untuk terus menjadi manusia sempurna, insan kamil yang sekali gus dapat mewarisi usaha membangunkan negara.

Adakah tema itu bertepatan dengan hasrat mewujudkan 1Malaysia seperti diharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak?

Semestinya ia selari dengan hasrat itu dengan rakyat didahulukan dan prestasi diutamakan. Matlamat itu mahu melihat Malaysia memegang satu wadah walaupun berada dalam masyarakat berbilang kaum. Kepelbagaian kaum dan keturunan di negara ini membentuk keistimewaan tersendiri selain bersatu padu dan mempunyai impian sama dalam memajukan negara. Menerusi sistem pendidikan negara, antara matlamat utama ialah membentuk rumpun bangsa. Kepelbagaian bangsa dan bahasa itu bukan satu kekangan, sebaliknya kekuatan dan tambah nilai dalam membentuk satu bangsa yang kuat. Pembentukan perpaduan serta toleransi bermula pada peringkat sekolah. Ia menjadi tanggungjawab semua pihak terutama guru dalam membentuk keseimbangan di kalangan pelajar yang datang daripada pelbagai kaum dan keturunan dalam proses membentuk perpaduan. Saya berharap perpaduan yang dipupuk di sekolah akan terus kukuh dan berkekalan sehingga menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat majmuk.

Apakah cabaran utama guru masa kini dalam melaksanakan tanggungjawab untuk melahirkan modal insan holistik?

Tidak dinafikan perkembangan semasa turut memberi kesan kepada proses pembentukan sahsiah terutama di kalangan anak muda. Namun, apa yang penting ialah perkembangan bidang pendidikan perlu diambil kira supaya seiring dengan apa yang berlaku di negara maju. Penekanan perlu diberikan kepada pembangunan secara menyeluruh (holistik). Dalam mencapai sasaran itu, kita harus melihat pelbagai aspek termasuk mengambil kira soal kebajikan guru, antaranya kekurangan guru. Kementerian sedang berusaha mengurangkan nisbah guru dan bilik darjah daripada 1:7 kepada 1:5. Selain itu, usaha meningkatkan pendidikan negara dengan memberi penekanan terhadap perkembangan aspek perisian iaitu meningkatkan kecemerlangan ilmu, inovasi dan kreativiti dalam proses pembelajaran dan pengajaran (P&P). Penambah-baikan akan dilaksanakan terhadap kurikulum dan kokurikulum di sekolah dalam melahirkan generasi seimbang dari segi perkembangan rohani dan jasmani. Mengupas isu meningkatkan infrastruktur pendidikan, ia tidak terhad kepada kemudahan luaran seperti membina lebih banyak sekolah tetapi kerajaan perlu melengkapkan guru dengan pelbagai kemahiran.

Dakwaan guru terpaksa melaksanakan tugas pengurusan dan pentadbiran memberi tekanan dan menjejas tumpuan mereka terhadap tanggungjawab hakiki sebagai pendidik. Apakah usaha kementerian untuk menanganinya?

Itu antara isu yang dikenal pasti kerana institusi pendidikan sendiri begitu kompleks. Guru bukan saja bertindak sebagai pendidik dan mengajar semata-mata malah pada masa sama, mereka juga bertugas sebagai pegawai disiplin, pegawai kebajikan dan penyelaras kokurikulum. Setiap kali kerajaan melaksanakan dasar baru, guru perlu melaksanakannya. Pelaksanaan itu termasuk menyediakan laporan dan proses penyediaan itu menambah tugas sedia ada. Kajian awal mengenai bebanan tugas guru menunjukkan pada 2005, lebih 16,000 guru dari 400 sekolah mendapati tugas dan tanggungjawab mereka meningkat berbanding 20 tahun lalu. Peningkatan itu adalah kesan penggubalan dasar, perubahan sistem dan bertambahnya jumlah mata pelajaran. Antara pendekatan yang dapat dilaksanakan kementerian dalam menangani masalah ini ialah mengambil lebih ramai guru dan kakitangan sokongan dalam memperkemaskan urusan sekolah.

Beberapa usaha dilaksanakan dengan mewujudkan jawatan kumpulan sokongan bagi membantu guru melaksanakan kerja pentadbiran, antaranya jawatan pembantu tadbir, pembantu makmal sains dan juruteknik di Pusat Kegiatan Guru. Selain itu juga, kementerian mewujudkan jawatan pembantu pengurus murid gred N17 di Kelas Pendidikan Khas dan murid prasekolah normal.

Sempena sambutan Hari Guru pertama sejak Tan Sri menerajui Kementerian Pelajaran, apakah insentif baru yang bakal diumumkan?

Setakat ini ia masih rahsia. Bagaimanapun ada beberapa perkara menarik bakal diumumkan sebagai usaha menyuntik semangat serta kesungguhan guru dalam mendidik anak bangsa, sekali gus meningkatkan martabat profesion keguruan agar terus disanjung. Ia juga mengambil kira pelbagai usaha lain, antaranya menyeimbangkan nisbah guru lelaki dan perempuan dalam kerjaya guru di negara ini. Setakat ini nisbah guru lelaki dan perempuan adalah sekitar 80:20 dan kita harus merapatkan jurang supaya tidak begitu ketara. Bagi menyeimbangkan peratusan itu, kementerian sedang mengenal pasti kaedah terbaik untuk menanganinya termasuk menyediakan insentif tambahan kepada golongan lelaki yang menyertai profesion ini. Langkah kerajaan bukan bertujuan memperkecilkan usaha wanita atas sumbangan mereka selama ini, namun perlu ada keseimbangan yang sesuai di antara guru lelaki dan perempuan.

Bagaimana Tan Sri melihat soal disiplin pelajar sekarang, apakah ia sudah sampai ke tahap membimbangkan?

Isu disiplin pelajar itu sendiri antara perkara besar yang harus ditangani segera. Setakat ini kita mempunyai hampir enam juta pelajar dan jika satu atau dua peratus daripada mereka terbabit dengan kegiatan tidak diingini pastinya ia memberi kesan kepada institusi pendidikan itu sendiri. Ia memerlukan perhatian serius. Dalam membentuk generasi ini, ia bukan tugas satu pihak semata-mata. Ibu bapa perlu bertindak pantas mengenal pasti kelemahan dan mengawasi anak masing-masing supaya pergerakan mereka dikawal. Begitu juga dengan peranan masyarakat yang harus memainkan peranan memastikan institusi masyarakat itu sempurna dan dilengkapi dengan pengisian rohani membentuk sahsiah. Usaha itu menuntut kepada kerjasama serta tanggungjawab yang perlu dilaksanakan semua pihak supaya setiap perlakuan sumbang dan salah laku anak-anak dapat ditegur dan diperbetulkan dari awal.

Apakah kementerian serius mahu melaksanakan kembali hukuman rotan terhadap pelajar?

Hal ini perlu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan tata cara betul mengikut prosedur. Jika diteliti, hal ini tidak sepatutnya menjadi isu besar, bagaimanapun pelaksanaan perlu berlandaskan kepada garis panduan khas. Ini perlu dibincangkan bagi mendapat persetujuan daripada banyak pihak antaranya persatuan ibu bapa dan guru (PIBG). Persetujuan itu penting kerana saya tidak mahu ada guru yang dihadapkan ke mahkamah gara-gara bertindak luar batas sedangkan pada awalnya niat mereka ikhlas untuk mengajar. Pendekatan mendisiplinkan pelajar kini lebih kepada kasih sayang dan berdiplomasi. Mungkin sesetengah ibu bapa tidak memberikan kasih sayang sewajarnya kepada anak masing-masing. Bagi menanganinya, semua pihak perlu melihat kepada falsafah pendidikan negara iaitu bukan hanya melahirkan pelajar yang cemerlang semata-mata kerana apa yang lebih penting ialah melahirkan generasi memiliki sahsiah mulia.

Apa komen Tan Sri terhadap dakwaan berleluasanya isu mat rempit mencerminkan sistem pendidikan kita gagal membentuk generasi berakhlak mulia?

Sebelum itu kita perlu lihat berapa ramai yang terbabit dengan gejala ini. Tidak dinafikan aktiviti negatif turut membabitkan masalah sosial lain seperti bohsia. Bagaimanapun ia perlu dilihat secara menyeluruh. Ia membabitkan pengawasan semua pihak termasuk faktor persekitaran yang menyebabkan berlaku kejadian sedemikian. Pendekatan menyeluruh diperlukan bagi menangani masalah ini kerana ia membabitkan banyak institusi iaitu keluarga, ibu bapa, pihak penguatkuasaan seperti polis serta pihak berkuasa tempatan selain anggota masyarakat seperti jiran dan pemimpin penduduk. Faktor persekitaran seperti kediaman tidak selesa dan sempit di bandar turut mendorong anak muda keluar selain kedangkalan minda mengenai kesan negatif tindakan mereka menyebabkan mereka mudah terpengaruh dalam gejala tidak sihat.

Bagaimana dengan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), adakah dasar ini akan diteruskan?

PPSMI masih dalam perbincangan. Sebelum sebarang keputusan dilaksanakan, ia akan diteliti dan diperhalusi kesannya kepada proses pembelajaran masa kini. Walaupun sudah tujuh perbincangan meja bulat dilaksanakan namun saya masih belum puas hati mengenai hasilnya. Walau apa pun keputusan yang bakal dibuat, sama ada diteruskan atau diganti dengan dasar lain, perkara yang lebih utama adalah mengenal pasti keupayaan kita mengenai penguasaan bahasa itu sendiri. Yang penting memperhalusi pelaksanaannya supaya tidak menjejaskan mana-mana pihak. Kepentingan anak bangsa harus diutamakan kerana masing-masing berdepan cabaran lebih besar bagi memenuhi pasaran kerja tempatan dan antarabangsa. Kementerian mengharapkan kajian menyeluruh dan berdasarkan fakta konkrit. Adakah ia benar-benar meningkatkan kefahaman murid dalam menguasai sesuatu mata pelajaran atau apakah penggunaan bahasa itu menyukarkan mereka menguasai mata pelajaran Sains dan Matematik seperti yang didakwa. Adakah kita mempunyai pilihan lain untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris tetapi pada masa sama, memudahkan murid memahami mata pelajaran Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa kebangsaan. Perkara ini perlu dilihat secara menyeluruh sebelum membuat sebarang keputusan sama ada mengekal atau meminda dasar sedia ada.

Setakat ini bagaimana perkembangan pengstrukturan semula dasar pendidikan negara daripada sistem berasaskan peperiksaan kepada penilaian berasaskan sekolah?

Sistem penilaian berasaskan sekolah akan dilaksanakan mulai tahun depan. Ia lebih kepada kaedah pendidikan seimbang dengan mengambil kira usaha membimbing secara menyeluruh. Kita tidak menyatakan kecemerlangan akademik itu tidak penting, sebaliknya apa yang ditekankan di sini ialah usaha melahirkan pelajar pintar, cerdik dan berkemahiran. Kami mengharapkan menerusi sistem ini, ibu bapa dan guru tidak hanya ghairah mengharapkan kecemerlangan akademik daripada pelajar, sebaliknya mereka perlu lebih rasional dalam menilai kecemerlangan setiap individu dalam pelbagai aspek. Mereka perlu cemerlang dalam akademik dan pada masa sama mempunyai kemahiran lain untuk meneruskan kelangsungan hidup yang membolehkan mereka membuat keputusan secara rasional berdasarkan kepada keadaan dan cabaran semasa
Minda Pengarang: Kenaikan kos di luar kawalan Tabung Haji


KRISIS kegawatan ekonomi global sudah masuk tahun kedua. Ketika krisis itu mula melanda tahun lalu, ada umat Islam di beberapa negara gagal menunaikan haji kerana kos yang meningkat secara mendadak. Bagaimanapun, bagi 27,000 jemaah haji kita yang menunaikan haji tahun lalu, mereka bernasib baik kerana kos mengerjakan haji tidak dinaikkan, bukan kerana Malaysia tidak terheret oleh fenomena global itu, tetapi berikutan kesediaan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) menanggung kos tambahan sebanyak RM2,350 bagi setiap jemaah. Tabung Haji memperuntukkan lebih RM75 juta daripada keuntungan pada tahun sebelumnya untuk menampung kos kenaikan tambang, penginapan dan makanan yang tidak dapat dielakkan. Pada 2007, Tabung Haji hanya membelanjakan RM36 juta sebagai bantuan menampung kekurangan perbelanjaan, termasuk membiayai kos kenaikan tambang jemaah akibat kenaikan harga minyak serta sewa penginapan yang tinggi. Tetapi bagi musim haji tahun ini, Tabung Haji terpaksa menaikkan juga kos berkenaan kepada RM9,980 seorang. Seperti dijelaskan oleh Tabung Haji dalam satu kenyataannya semalam, kenaikan minimum itu tidak dapat dielakkan berikutan peningkatan pelbagai kos, khususnya kos penginapan di Tanah Suci akibat kekurangan tempat penginapan disebabkan kerja-kerja pembesaran di sekitar Masjidil Haram yang menyebabkan beberapa hotel dan rumah penginapan bagi jemaah haji terpaksa dirobohkan. Keadaan ini menyebabkan kekurangan jumlah katil di kawasan berhampiran masjid, sekali gus menyebabkan harga bilik hotel di kawasan berkenaan meningkat. Kali terakhir kos menunaikan haji dinaikkan adalah pada 2002 iaitu dari RM8,585 kepada RM9,445. Bagaimanapun, pada musim haji 2004, bayaran haji itu dikurangkan lima peratus dan sejak itu jemaah haji kita hanya dikenakan RM8,973 saja.

Apapun, kita harus bersyukur kerana kesediaan serta pengorbanan Tabung Haji selama ini yang sanggup menyerapkan kenaikan kos dalam usaha untuk tidak menyebabkan kos mengerjakan haji terus meningkat. Sebagai contoh, bagi tahun ini saja anggaran kos haji bagi setiap jemaah adalah RM12,600. Ini bermakna, Tabung Haji perlu menampung sekurang-kurangnya RM70 juta bagi membolehkan bakal haji hanya membayar kos seperti ditetapkan, sekali gus mengurangkan beban mereka. Kita juga perlu menyedari bahawa Tabung Haji pada masa yang sama perlu menyediakan pelbagai kemudahan untuk keselesaan jemaah haji sama ada di Malaysia atau ketika di Arab Saudi, selain menanggung kos berkaitan persediaan jemaah haji sebelum menunaikan ibadat haji seperti bayaran penganjuran kursus haji bersiri, intensif dan perdana serta penyediaan buku panduan haji dan kos penghantaran petugas haji. Apa yang kita harapkan ialah Tabung Haji dapat terus berusaha menangani peningkatan kos ini, di samping meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kepada jemaah. Kita juga amat berharap Tabung Haji dapat mengkaji semula kos menunaikan haji ini untuk musim akan datang dan mengurangkannya jika keadaan semasa mengizinkan. Walaupun bayaran haji pada tahun ini meningkat, kita menyedari secara puratanya bayaran yang dikenakan kepada jemaah haji kita masih lagi yang terendah jika dibandingkan dengan kos yang perlu dibayar oleh jemaah dari negara lain di rantau ini.