Minda Pengarang: Nik Aziz sanggup perlekeh kesucian Islam demi politik

Minda Pengarang: Nik Aziz sanggup perlekeh kesucian Islam demi politik

KETIKA pemimpin Umno cuba mempertahankan cemuhan yang dilemparkan oleh segelintir pemimpin parti pembangkang terhadap Islam, timbul pula kenyataan yang amat jelik daripada orang yang dianggap tokoh Islam. Orang yang sama jugalah membenarkan Islam dihina atas dalil politik. Kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang mendakwa dasar yang dibawa Umno tidak akan membawa penyokongnya ke syurga, mengundang reaksi yang boleh menyebabkan masyarakat Islam memandang serong terhadap beliau. Dengan alasan Umno mengasingkan Islam dengan iman apabila mengamalkan dasar kebangsaan yang memisahkan agama dengan politik, beliau membuat 'fatwa' sendiri dengan alasan orang Islam yang mengasingkan iman dengan Islam, tidak akan masuk syurga. Mencipta dalil menjatuhkan hukuman tanpa bicara bukanlah kerja sukar. Apakah Pas yang bersubahat dengan golongan yang terang-terang menghina Islam, boleh terus-menerus disanjung? Umno tidak pernah dilihat melakukan sekelumit kebaikan pun dari kaca mata Pas sedangkan parti itu berjuang untuk kesejahteraan dan pembangunan umat Islam. Jasa Pas boleh dipertikaikan. Jika penyokong parti itu masih mahu menyanjung perjuangan yang dibawa pemimpin parti itu, ia adalah sesuatu yang amat malang bagi umat Islam.

Kenyataan terbaru Nik Aziz pastinya sekali lagi mengheret umat Islam ke kancah polemik dan kontroversi berpanjangan. Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan bukan saja dilihat sebagai seorang pemimpin politik, malah juga tokoh agama yang dihormati. Ketika kesudahan debat mengenai kenyataan terbarunya itu sukar diramalkan, sesuatu yang pasti ialah ia boleh mengundang perpecahan di kalangan umat Islam. Mengambil kira pandangannya itu dibuat pada hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, persoalan sama ada ia mempunyai motif politik yang tersirat, tidak boleh diketepikan. Apatah lagi Nik Aziz sendiri tentu lebih arif mengenai kedudukannya di mata masyarakat. Begitupun, ia bukan memeranjatkan kerana ini bukan kali pertama beliau mengeluarkan kenyataan memancing kontroversi seperti itu. Kebetulan, kenyataan demikian selalunya dibuat ketika ada isu politik hangat, seperti menjelang pilihan raya kecil. Ketika berkempen pada pilihan raya kecil kerusi DUN Manek Urai, bulan lalu, beliau mengeluarkan kenyataan mendakwa Umno sama seperti komunis. Nik Aziz sepatutnya tidak membuat kenyataan yang bersifat melampau kerana bimbang kesan yang akan terpalit kepada Islam itu sendiri.

0 comments: