Semangat 1Malaysia terserlah di Sarawak

Semangat 1Malaysia terserlah di Sarawak

Oleh Dr Jeniri Amir
jamir@fss.unimas.my


SARAWAK yang mempunyai 33 etnik pelbagai budaya dengan suku kaum terbesarnya ialah Iban, Melayu/Melanau dan Cina begitu menyerlah semangat muhibahnya.

Pelbagai etnik kongsi budaya, harmoni sejak sekian lama

KETIKA menjalankan penyelidikan untuk penulisan biografi seorang tokoh, saya berkunjung ke Kanowit, 30 minit perjalanan dengan teksi dari Lapangan Terbang Sibu pada Sabtu, dua minggu lalu.

Di Kanowit saya duduk di kedai kopi, milik orang Cina, dengan penduduk tempatan. Lingua franca pelanggan kedai kopi itu ialah bahasa Iban. Di sebuah meja di kedai kopi itu ada etnik Iban, Melayu, Kanowit, dan Melanau.

Bagai tidak ada tembok penghalang dalam kalangan mereka. Mereka memperkatakan pelbagai isu semasa, termasuk soal politik tempatan dan pemilihan dalam parti dalam suasana yang mesra dan santai, sesuai dengan rentak pembangunan Kanowit yang perlahan. Pekan ini mulai sunyi selepas jam 12 tengah hari.

Sarawak sering dijadikan sebagai suri teladan atau contoh perpaduan kaum yang tulen di negara ini. Dengan sekitar 30 suku kaum, termasuk etnik minoriti yang mungkin tidak pernah pun didengar oleh sebahagian rakyat Malaysia seperti Lahanan, Sihan, Ukit, Kanowit, Bukitan, Kejaman dan sebagainya, konflik kaum adalah sesuatu yang asing di negeri ini.

Setidak-tidaknya dalam konteks sejarah moden. Apakah ramuan kejayaan Sarawak dalam mewujudkan masyarakat yang bersatu padu tanpa konflik dan persengketaan? Memang sejarah lampau hubungan etnik di Sarawak menyaksikan pertelagahan antara kaum sehingga perdamaian dicapai di Kapit pada 1924.

Ngayau atau kegiatan memburu kepala adalah masalah rumit sehingga menjejaskan hubungan etnik, tetapi kini semua itu sekadar tinggal di dalam lipatan sejarah. Dari segi sejarah, hubungan perdagangan antara pelbagai kumpulan etnik menjalinkan dan menggalakkan hubungan intra etnik di Sarawak.

Kini, generasi muda yang semakin terdedah kepada dunia luar dengan pendidikan lebih baik mempunyai peluang lebih terbuka untuk berinteraksi dengan kaum-kaum lain. Hasil sistem pengangkutan dan pendidikan yang lebih baik, mobiliti secara mendatar dan menegak terbuka luas.

Penduduk Sarawak kian terbuka kepada perkahwinan campur antara kaum dan agama sehingga berlakunya amalgamasi, iaitu satu proses apabila ras atau budaya bercampur untuk membentuk budaya atau ras baru.

Mungkinkah juga proses sedemikian akan menyebabkan etnik minoriti seperti Sihan di Belaga yang dianggarkan hanya sekitar 230 orang akan pupus dalam masa 15 tahun lagi? Malah, bukanlah sesuatu yang menghairankan jika dalam sebuah keluarga, ada yang berkahwin dengan lebih daripada lima kaum berbeza dan agama berlainan.

Perkahwinan campur antara Melayu dengan bukan Melayu adalah sesuatu yang biasa. Yang menarik, keluarga asal tidak menentang perkahwinan campur, malah amat faham akan tuntutan agama Islam apabila ahli keluarga yang sudah memeluk Islam kembali ke rumah di kampung.

Di Sarawak sikap tolak ansur dan persefahaman yang tinggi memungkinkan mereka hidup aman damai dan harmoni dan menjadi mangkin yang mengukuhkan tali persaudaraan serta perpaduan. Jiran berlainan kaum, agama dan kepercayaan tidak mempunyai masalah dari segi hubungan etnik.

Sesungguhnya, perkahwinan campur antara etnik dengan agama, budaya dan adat resam yang berbeza, tolak ansur dalam amalan beragama dan kehidupan seharian adalah tunjang utama dalam hubungan etnik yang harmoni di Sarawak. Melalui hubungan ikhlas sesama penduduk, bara syak wasangka dapat dipadamkan.

Keharmonian hubungan etnik terserlah daripada perkongsian kuasa melalui pelbagai parti politik, malah parti politik seperti parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dianggotai pelbagai etnik peribumi, termasuk masyarakat minoriti.

Prasangka, stereotaip dan etnosentrisme adalah musuh utama perpaduan dan pencapaian konsep satu Malaysia. Sarawak bernasib baik, kerana pada amnya rakyat pelbagai etnik tidak mempunyai prasangka terhadap etnik lain. Itulah sebabnya mereka dapat saling berinteraksi dalam pelbagai keadaan.

Dewan Suarah yang wujud di pelbagai bahagian yang dibina berdasarkan motif budaya etnik utama adalah manifestasi keinginan kerajaan negeri untuk melahirkan masyarakat bersatu padu. Dewan berkenaan menjadi tempat pertemuan bagi menyatukan penduduk dalam pelbagai kegiatan sosial dan kebudayaan.

Toleransi yang tinggi dalam masyarakat pelbagai kaum tidak harus digadai untuk kepentingan politik jangka pendek. Sebarang anasir luar yang cuba menyusup dengan tujuan untuk menjejaskan hubungan harmoni harus dicegah daripada awal sebelum terlambat.

Bukan mudah untuk membina perpaduan dan toleransi, tetapi perpaduan dan keharmonian dapat diruntuhkan dalam sekelip mata. Suasana yang berlaku di kedai kopi seperti di Kanowit itu perlu diteruskan.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas)

0 comments: