Pentadbiran air: Swasta atau kerajaan?

Pentadbiran air: Swasta atau kerajaan?

MINGGU ini - 16 hingga 22 Ogos - ialah Minggu Air Antarabangsa. Tema sambutan kali ini ialah "Membekalkan air untuk kebaikan semua".

Bagi meraikan Minggu Air ini, Malaysia Think Tank menerbitkan sebuah buku dalam bahasa Inggeris bertajuk Water Provision in Malaysia: Privatise or Nationalise? (Pembekalan Air di Malaysia: Swasta atau Kerajaan?). Ia dihasilkan dengan sokongan sebuah badan pengkaji antarabangsa yang berpusat di London, International Policy Network.

Buku ini mengandungi esei-esei yang menceritakan pengalaman negara lain dalam urus tadbir air dan apa yang boleh kita pelajari daripada pengalaman mereka. Buku ini boleh diperolehi dengan percuma daripada laman web kami www.WauBebas.org.

Ia diterbitkan bertujuan menjelaskan bahawa apa-apa dasar awam mestilah diputuskan setelah menilai faedahnya kepada rakyat. Apabila memutuskan dasar air negara, para pembuat dasar mestilah mengenepikan agenda peribadi, politik atau ideologi mereka.

Ini amat penting bagi sumber seperti air. Isu terpenting ialah bagaimanakah caranya untuk memastikan air dapat dibekalkan dengan cekap dan dengan nilai terbaik seiring apa yang dibayar oleh pengguna.

Sudah pasti kita mahu memberikan pengguna air hak untuk menukar pembekal jika mereka membayar mahal tetapi kualiti perkhidmatan yang diterima rendah.

Apabila berbicara mengenai pengurusan sumber air, golongan sosialis berhaluan kiri di Malaysia sering memomokkan kita dengan pandangan antipenswastaan. Namun pandangan mereka jarang berdasarkan fakta tetapi nanyak dipengaruhi sentimen dan ideologi.

Memang benar, agenda penswastaan yang pernah dilalui oleh Malaysia ada kelemahannya. Tetapi ia tidak boleh dijadikan hujah untuk menyokong antipenswastaan. Apa yang perlu kita lakukan ialah belajar daripada pengalaman era Tun Dr. Mahathir Mohamad dan memperkenalkan dasar yang lebih baik.

Penswastaan tulen dilakukan untuk mencipta persaingan dalam pasaran dan menghalang badan tertentu membolot semua kekayaan melalui monopoli. Penswastaan yang berlaku di Malaysia sebelum ini tidak berjaya mencipta persaingan seperti yang diidamkan oleh pemimpin negara.

Pelbagai perjanjian dan hak istimewa yang diberikan kepada syarikat tertentu menyebabkan monopoli tidak terhapus. Sebaliknya, walaupun penswastaan itu bertujuan mencipta persaingan dalam sistem pasaran yang lebih terbuka, apa yang terhasil hanyalah pemindahan monopoli daripada kerajaan kepada syarikat tertentu.

Ini sebenarnya bukan wawasan Dr. Mahathir. Kini Datuk Seri Najib Tun Razak cuba menambah baik agenda tersebut. Pengalaman kita dengan penswastaan mungkin menyebabkan ada yang fobia dengan penswastaan dan liberalisasi. Apatah lagi jika bercakap mengenai liberalisasi industri air negara.

Saya berkongsi kebimbangan ini, jika kita hanya bercakap mengenai penswastaan dengan acuan yang sama.

Bagaimanapun, seperti yang dilakarkan dalam buku ini, tiada apa yang perlu ditakutkan dengan liberalisasi dan penswastaan, termasuklah untuk industri air. Melalui liberalisasi dan penswastaan, rakyat berkuasa memilih.

Esei pertama menceritakan mengenai pengalaman di Bolivia. Negara itu meliberalisasikan industri air pada penghujung 1990-an tetapi gagal.

Esei ini menceritakan punca ia gagal dan kenapa percubaan golongan sosialis berhaluan kiri untuk menjadikan Bolivia sebagai rujukan mengenai bahaya penswastaan air adalah salah.

Esei kedua membicarakan mengenai situasi di Chile. Industri air di sana diurus oleh swasta. Hasilnya, sejak industri air diliberalisasikan, perkhidmatan menjadi lebih baik dan rakyat menikmati banyak faedah.

Esei ketiga mengenai kempen tidak bertanggungjawab ideologi antiswasta akhirnya menyusahkan rakyat miskin.

Dalam buku itu, saya turut menulis bahawa kita di Malaysia mestilah tidak terperangkap dalam debat sia-sia "swasta melawan awam" ini. Apa yang penting, bagaimana untuk menjaga kepentingan rakyat dan menjaga kualiti air.

Malaysia memerlukan liberalisasi industri air agar wujud persaingan sihat. Kita memerlukan lebih daripada satu pembekal supaya wujud persaingan untuk membekalkan yang terbaik pada harga termurah. Kita sebagai rakyat perlu diberi pilihan untuk membeli air daripada siapa.

Liberalisasi pasaran yang diiringi oleh persaingan dan pilihan jelas sekali amat baik untuk rakyat. Golongan sosialis dan korporat biasanya tidak mahu persaingan kerana mereka hanya mahu menjaga periuk nasi. Monopoli mereka ini perlu dihapuskan demi kebaikan rakyat.

Dalam rangka menyusun semula ekonomi negara, Perdana Menteri sering menjelaskan, kita memerlukan sistem ekonomi lebih terbuka. Wawasan itu perlu kita sokong.

Ekonomi liberal boleh mengurangkan rasuah dan memperbaiki kualiti perkhidmatan untuk rakyat.

Inilah juga prinsip yang perlu diamalkan dalam industri air kita.

Sempena Minggu Air Antarabangsa 2009 ini, marilah kita melihat bagaimana industri air negara boleh disusun semula. Saya harap sumbangan kecil kami melalui buku ini boleh membantu negara.

Wan Saiful Wan Jan ialah ketua Pengarah Malaysia Think Tank

0 comments: