Pelihara ketuanan Melayu-Islam, pulihkan perpaduan

Pelihara ketuanan Melayu-Islam, pulihkan perpaduan

MUFTI Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sekali lagi menyentuh soal perpaduan di kalangan masyarakat Melayu-Islam. Nadanya kelmarin bagaimanapun lebih tegas apabila beliau turut memperkatakan soal ketuanan.

Katanya, umat Melayu-Islam negara ini akan hilang status ketuanan sekiranya membiarkan unsur-unsur perpecahan terus membelenggu hidup mereka.

Harussani pastinya sedar dengan sejelas-jelasnya apa yang berlaku. Beliau pasti tidak akan mengeluarkan kenyataan itu jika situasi semasa tidak menjurus kepada kemungkinan terjadi apa yang dibimbangkan olehnya.

Sepatutnya nasihat tokoh agama seperti beliau disambut baik oleh semua pihak tidak kira penyokong kerajaan atau pembangkang.

Tiada guna jika kita memperkatakan soal pembangunan negara tetapi tidak menghiraukan perkara dasar yang mampu membawa kepada kejayaan yang lebih besar.

Gesaan agar umat Islam kembali kepada dua perkara utama yang mendasari ajaran Islam perlu dihayati oleh semua pihak.

Kita - umat Islam daripada kalangan rumpun Melayu - perlu menghayati Rukun Iman yang menyentuh pembentukan sahsiah, selain Rukun Islam yang berkait rapat dengan pembentukan masyarakat.

Tegasnya, jika kedua-dua asas utama ajaran Islam itu tidak dihayati dan diamalkan, lambat-laun umat Melayu-Islam akan hilang ketuanan di bumi sendiri.

Saranan Harussani itu tidak sewajarnya dilihat daripada konteks sokongan politik. Beliau bercakap daripada sudut neutral. Beliau bimbangkan masa depan Melayu-Islam.

Mungkin bagi sesetengah pihak, kenyataan itu tidak perlu diberi perhatian kerana beliau "tidak mewakili mereka". Namun ia seharusnya dilihat dalam konteks yang lebih luas dan secara lebih rasional.

Memang benar soal perpaduan dan perpecahan umat Melayu-Islam bukan satu isu baru. Tetapi ia juga bukan isu yang telah selesai. Sebaliknya ia semakin menjadi barah dalam masyarakat kita.

Umat Melayu semakin berpecah-belah. Semuanya gara-gara fahaman politik yang berbeza. Namun perlukan kita menyalahkan politik sekiranya mereka yang di sebaliknya tidak mahu bertindak secara rasional?

Seperti kata Harussani, tidak salah untuk berbeza pendapat. Malah perbezaan itulah yang akan menjana pembangunan negara. Tetapi jangan sampai perbezaan itu membawa kepada perpecahan.

Mungkin kita tidak terlambat untuk mencontohi parti-parti Cina apabila menyentuh soal perpaduan ketika berdepan dengan isu berkaitan hak dan kepentingan kaum mereka sendiri.

Gesaan ini juga pernah disuarakan oleh Harussani baru-baru ini. Tindakan DAP yang berundur dari pakatan kerajaan negeri Kedah mungkin boleh dijadikan contoh.

Apabila menyentuh soal kebajikan kaum Cina, - isu pusat penyembelihan babi - DAP bertindak tanpa mengira sama ada pusat itu dimiliki oleh penyokongnya ataupun tidak.

Mengapa parti-parti Melayu-Islam yang sepatutnya dibajai semangat Rukun Iman dan Rukun Islam tidak menjiwai hakikat ini? Mengapa perlu berpecah-belah dan membiarkan orang lain mentertawakan kita?

0 comments: