Hindraf bagai 'senjata makan tuan' buat DAP

Hindraf bagai 'senjata makan tuan' buat DAP

Oleh Manja Ismail


PENDUDUK Kampung Buah Pala, Bukit Gelugor berkumpul secara aman bagi menyerahkan memorandum kepada Guan Eng di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) baru-baru ini.

Isu Kampung Buah Pala bukti kelemahan Pakatan Rakyat, hanya pandai tabur janji

APABILA pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pemimpin Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) selepas mereka mengetuai demonstrasi haram pada 25 November 2007, parti pembangkang khususnya DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan saja paling awal menunjukkan simpati, malah mempertahankan pelbagai tindak-tanduk pertubuhan itu walaupun ia dilihat boleh mencetuskan pergeseran antara kaum di negara ini.

Penahanan lima pemimpin Hindraf mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kemudian dijadikan modal politik pembangkang dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 pada Mac 2008 yang menyaksikan kejayaan mereka menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat dan membentuk kerajaan di lima negeri.

Isu peminggiran masyarakat India yang dicetuskan Hindraf dan dimainkan oleh pembangkang ternyata mempengaruhi sebahagian besar pengundi India sehingga hampir semua kerusi MIC jatuh ke tangan pembangkang. Beberapa pemimpin Hindraf termasuk yang ditahan mengikut ISA turut memenangi kerusi atas tiket pembangkang. Sejak itu, Makkal Sakhti yang bermakna kuasa rakyat menjadi slogan dalam ceramah parti pembangkang termasuk Pas

Walaupun tindakan Hindraf, dalam keghairahannya memperjuangkan hak kaum India di negara ini, menyinggung perasaan sebahagian besar orang Melayu, seperti memorandum 18 perkara kepada Kerajaan Britain dan dakwaan `pembersihan etnik' oleh umat Islam negara ini, pembangkang menjadikan pemimpin yang ditahan itu sebagai 'wira.' Malah, Pas sendiri turut mempertahankan tindakan kurang beradab anggota Hindraf menyerbu Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Menteri Kabinet beragama Islam di ibu negara tahun lalu, bagi mendesak lima pemimpinnya dibebaskan daripada tahanan ISA.

Hakikat bahawa pihak berkuasa bertindak tegas ke atas sesiapa saja termasuk mengharamkan pertubuhan yang dilihat boleh menjejaskan keselamatan dan perpaduan, tidak mereka pedulikan. Bagi kumpulan ini, apa saja yang dilakukan kerajaan tiada yang betul. Langkah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak membebaskan beberapa pemimpin Hindraf yang ditahan mengikut ISA sejurus selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri, turut dipandang serong oleh mereka. Memang menjadi kerajaan, yang terpaksa memuaskan hati semua pihak, tidak semudah pembangkang mempengaruhi rakyat membenci kerajaan.

DAP yang mengetuai kerajaan Pulau Pinang sudah mula merasai kesukaran itu. Lebih menarik perhatian masalah yang dihadapi DAP itu dipercayai didalangi Hindraf sendiri. Kalau selama ini, kerajaan BN sering dituduh tidak bertimbang rasa apabila pihak berkuasa merobohkan penempatan setinggan walaupun selepas mendapat kebenaran mahkamah, perkara serupa turut menimpa kerajaan DAP. Isu penempatan Kampung Buah Pala, Pulau Pinang menguji sejauh mana kesabaran DAP melayan tuntutan Hindraf, pertubuhan yang diharamkan Kerajaan Pusat tahun lalu kerana dianggap pelampau dan perkauman itu.

Isu Kampung Buah Pala atau mendapat jolokan 'High ChaparralŽ itu bukan perkara asing kerana keengganan penduduk berpindah disebabkan kawasan mereka akan dimajukan, sentiasa menjadi masalah. Kes seumpama itu sentiasa berlaku, terutama di negeri kekurangan tanah seperti Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta turut membabitkan orang Melayu dan Cina. Bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, selepas penduduk dipujuk, diberi pampasan dan kadang kala dibina penempatan baru, mereka berpindah dengan rela hati walaupun penempatan itu mungkin lebih tua usianya daripada Kampung Buah Pala.

Pendekatan yang sama cuba dilakukan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang ke atas penduduk Kampung Buah Pala walaupun parti itu sebelum menjadi kerajaan, sentiasa mengetuai bantahan penduduk yang menerima nasib serupa di Selangor dan Kuala Lumpur. Namun dalam kes ini, kerana penduduk Kampung Buah Pala berketurunan India, pemimpin Hindraf menuntut kerajaan Pulau Pinang menggunakan undang-undang negeri mengambil alih semula kawasan itu, membayar pampasan dan mengisytiharkan penempatan itu sebagai warisan pendatang awal masyarakat India � sesuatu yang sukar dipenuhi kerana harga tanah di negeri itu amat mahal.

Ekoran itu, berlaku tuduh-menuduh antara kerajaan DAP Pulau Pinang dengan Hindraf. Sementara Hindraf dilaporkan mengugut dan menuduh Ketua Menteri, Lim Guan Eng bersifat perkauman berhubung isu Kampung Buah Pala, DAP pula menyifatkan pemimpin pertubuhan haram itu tidak mengenang budi kepada DAP yang berjuang untuk membebaskan lima pemimpin Hindraf yang ditahan mengikut ISA.

Timbalan Ketua Menteri II, Prof Dr P Ramasamy dalam sidang media bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima, RSN Rayer dan Adun Batu Uban, S Raveentharan minggu lalu mendakwa Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy, yang melarikan diri ke luar negara cuba mengambil kesempatan daripada isu itu dengan meminta kerajaan tidak dikenakan tindakan apabila pulang ke tanah air.

"Sebelum ini, siapa yang berdepan dengan pemaju? Kalau kita tidak buat sesuatu, pemaju sudah roboh rumah tahun lalu. Di mana Hindraf masa itu? Jadi, jangan ugut dan berasakan kerajaan negeri lemah. Kita bertindak dan bersabar mencari jalan penyelesaian.

"Saya berada di sini, bukan di luar negara. Saya tidak minta tolong pihak yang anti-Malaysia. Saya di Malaysia, lawan dan buat di sini. Saya tidak berbohong dan tipu dengan lari ke luar negara, bersahabat dengan ejen untuk menjatuhkan Malaysia . Itu bukan kita," kata Ramasamy ketika mengulas kenyataan Waythamoorthy yang menuduh Guan Eng perkauman.

Kita tidak tahu bagaimana kesudahannya isu ini tetapi berdasarkan kedegilan dan tindak-tanduk pemimpin Hindraf sejak dua tahun lalu, mereka mungkin terus menangguk di air keruh daripada isu penduduk Kampung Buah Pala ini. Yang jelas, hubungan antara DAP dengan Hindraf yang terjalin erat sejak sebelum pilihan raya umum lalu tidak lagi semesra dulu. Barangkali juga, kerajaan Pulau Pinang mula memahami kenapa pihak berkuasa terpaksa bertindak tegas kepada Hindraf sejak mereka mengadakan demonstrasi di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

0 comments: