Usaha lahir generasi al-Quran

Usaha lahir generasi al-Quran

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

Sesungguhnya Islam meletakkan keperluan untuk mempelajari ilmu yang boleh memberikan kemakmuran dan kekuatan kepada masyarakat sebagai fardu kifayah.

Sehubungan itu setiap Muslim perlu membekalkan diri dengan pelbagai ilmu yang membolehkannya melaksanakan tanggungjawab ke atas diri dan masyarakat.

Tambahan pula, dalam usaha melahirkan modal insan yang mampu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat, pendidikan yang mencukupi berlandaskan apa yang ditetapkan oleh Allah SWT melalui al-Quran mampu menjadi teras ke arah mencapai matlamat tersebut.

Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah An Nisaa' ayat 174 yang bermaksud; ''Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu: Bukti dari Tuhan kamu, dan Kami pula telah menurunkan kepada kamu (al-Quran sebagai) nur (cahaya) yang menerangi (segala apa jua yang membawa kejayaan di dunia ini dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak)."

Menyedari hakikat inilah, langkah melahirkan generasi al-Quran harus dilakukan secara bersungguh-sungguh oleh umat Islam, termasuklah dalam usaha menamatkan konflik di sesebuah wilayah.

Ini kerana melalui pendekatan memahami isi kandungan al-Quran, ia akan membolehkan umat Islam di wilayah seumpama itu akan mencintai keamanan dan kemakmuran kerana itulah juga antara perkara yang terkandung di dalam al-Quran.

Dalam soal ini, ukhuwah Islamiah yang tinggi mampu merealisasikan matlamat melahirkan generasi umat Islam seumpama itu.

Itulah yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia melalui Task Force 2010 (Malaysia) membantu penduduk Islam di selatan Thailand dalam melahirkan generasi pemimpin yang mampu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat bagi menyumbang kepada keamanan di wilayah berkenaan.

Terbaru, Task Force 2010 (Malaysia) dengan kerjasama Task Force 960 (Thailand) memilih sembilan pelajar dari wilayah berkenaan untuk mengikuti Diploma Hafazan al-Quran di Darul Quran, Kuala Kubu Baru. Ia adalah institusi yang diletakkan sepenuhnya di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Kesemua pelajar yang terdiri daripada lima lelaki dan dua perempuan itu akan mengikuti pengajian selama tiga tahun mulai 24 Mei lalu hingga 24 Mei 2012 dengan kos keseluruhan pengajian dan kemudahan ditanggung oleh kerajaan Malaysia.

Sepanjang tempoh pengajian tersebut, selain mengikuti tahfiz al-Quran, mereka juga akan mengikuti pengajian akademik yang lain. Melalui pendekatan berkenaan seperti mana kata Pengarah Operasi Task Force 2010 (Malaysia), Brigedier Jeneral Datuk Ishak Yeop Hamzah, ia akan memberi pelajar-pelajar itu peluang bekerja di sektor awam di Thailand, di samping memiliki ilmu agama mencukupi bagi membolehkan mereka menjadi modal insan yang soleh.

Apa yang pasti, melalui program tersebut ia menampakkan kesungguhan Malaysia dalam membantu menyelesaikan konflik di selatan Thailand dengan menggunakan segala pendekatan yang mampu mengubah nasib penduduk Islam di wilayah itu.

Ia juga bertujuan bagi memastikan umat Islam tersebut tidak hanya mempelajari agama secara konservatif dengan menghantar anak-anak mereka di pondok-pondok yang menumpukan perhatian kepada pengajian agama semata-mata.

Sebaliknya, ia akan memberi peluang kepada pelajar untuk turut mempelajari ilmu-ilmu akademik yang lain, bagi membolehkan mereka mampu menjadi tenaga kerja yang berguna kepada masyarakat dan negara.

Sebelum ini, Task Force 2010 (Malaysia) melalui sokongan kuat kerajaan Malaysia melaksanakan pelbagai program kemahiran untuk belia-belia Islam wilayah itu, ia termasuklah kursus vokasional dan jururawat.

Kini melalui program hafazan al-Quran tersebut, ia bermakna kerajaan Malaysia melangkah setapak lagi dalam membantu penduduk Islam di selatan Thai untuk memahami bahawa ilmu dunia dan akhirat harus dituntut serentak dalam usaha mereka mencapai kemajuan dalam hidup.

Berikutan keikhlasan kerajaan Malaysia melalui Task Force 2010 (Malaysia) itu, ibu bapa dan pelajar yang terlibat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia termasuklah Jakim kerana memberi peluang kepada anak-anak mereka memasuki Darul Quran.

''Saya amat menghargai apa yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia, ia membuktikan kesungguhan kerajaan Malaysia dalam usaha membawa keamanan kepada wilayah kami," kata Muhammad Adam, 46 yang merupakan bapa kepada pelajar, Irfan Adam, 19.

Pandangan yang sama juga diberikan oleh Aminah Ya, 40 ibu kepada Asmah Latif, 19. Beliau menyifatkan, pemilihan anaknya belajar di Darul Quran adalah satu peluang keemasan yang tidak harus dilepaskan.

''Saya terhutang budi kepada kerajaan Malaysia kerana memberi kesempatan ini kepada belia-belia di selatan Thailand, saya percaya penduduk-penduduk Islam amat menyanjungi langkah ini," katanya.

Hakikatnya, dalam melaksanakan pelbagai program kepada penduduk Islam terutama belia di selatan Thailand, kerajaan Malaysia melalui Task Force 2010 (Malaysia) bukanlah mengharapkan pujian, malah apa yang lebih penting ialah keberkesanan dan hasil daripada program-program yang dilaksanakan.

Tambahan pula, Islam sentiasa menyeru umatnya hidup dalam keadaan aman dan damai serta saling bantu membantu saudara seagama. Oleh itu pendedahan untuk menjalani pendidikan Islam yang lebih formal termasuklah dalam bidang hafazan al-Quran akan mampu melahirkan masyarakat Islam yang berwibawa dan disegani.

Ia selari dengan visi Darul Quran itu sendiri yang bermatlamat melahirkan generasi al-Quran yang bertakwa, berilmu dan bermanfaat kepada pembangunan negara dan ummah.

Semoga niat murni kerajaan Malaysia melalui kerjasama Jakim tersebut akan mampu meningkatkan lagi kefahaman belia Islam di selatan Thailand terhadap ilmu-ilmu al-Quran dan sekali gus akan membolehkan mereka menjadi pemimpin kepada masyarakat wilayah itu yang cintakan keamanan dan kemakmuran.

Selain itu, mereka juga perlu bersyukur dengan sikap terbuka kerajaan Thailand melalui Task Force 960 yang sentiasa menyokong usaha sedemikian.

Apa pun adalah diharapkan, melalui usaha berterusan Malaysia tersebut ia akan memastikan hasrat untuk melihat cahaya keamanan kembali bersinar di wilayah tersebut akan menjadi kenyataan dan sekali gus memastikan umat Islam di situ mengecap kemakmuran.

0 comments: