Prospek menjana pertumbuhan negara masih cerah

Prospek menjana pertumbuhan negara masih cerah


ORANG ramai tidak perlu panik dengan pengumuman penguncupan ekonomi negara sebanyak 6.2 peratus bagi suku pertama tahun ini iaitu paras di luar jangkaan kerana prospek untuk melantun ke arah pemulihan kelihatan lebih cerah pada separuh kedua, lebih baik berbanding sesetengah negara maju dan negara membangun lain yang ada sudah terjerumus ke lembah kemelesetan. Kecuali China (+6.1 peratus) dan Indonesia (+ 4.4 peratus), negara lain seperti Jepun (-9.7 peratus), Amerika Syarikat (-2.6 peratus), Perancis (-3.2 peratus), Singapura (-10.1 peratus), Taiwan (-8.6 peratus), Hong Kong (-7.8 peratus), Thailand (-7.1 peratus), Korea (-4.3 peratus) mencatat pertumbuhan negatif pada suku pertama tahun ini. Secara bandingan dengan semua negara terbabit, cuma Malaysia (+0.1 peratus), Indonesia (+5.2 peratus) dan China (+6.8 peratus) mencatat pertumbuhan positif bagi suku keempat tahun lalu. Namun, penguncupan ekonomi negara bagi suku pertama tahun ini adalah berikutan kemerosotan ketara eksport produk perkilangan dan komoditi akibat kemelesetan meruncing di negara maju tetapi Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, yakin prospek bagi pemulihan kelihatan cerah pada separuh kedua. Bagi suku pertama tahun ini, semua sektor ekonomi mengalami penguncupan kecuali pembinaan yang berkembang 0.6 peratus berikutan pertambahan pembinaan bangunan pejabat dan unit hartanah jenis mewah.

Berdasarkan perangkaan semasa iaitu pemulihan ketara dijangkakan mula disaksikan dalam suku ketiga, manakala pertumbuhan positif akan disaksikan pada suku keempat, insya-Allah Malaysia akan berupaya mengelak ekonomi negara daripada meleset. Kemelesetan teknikal akan berlaku jika pertumbuhan negatif berturut-turut dicatat untuk dua suku tahunan. Namun, semalam kerajaan menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK bagi tahun ini daripada antara -1 peratus hingga positif 1 peratus kepada -4 peratus hingga -5 peratus. Kita yakin pakej rangsangan ekonomi RM67 bilion dijangka mula memberi kesan menjelang suku ketiga tahun ini selain pembukaan liberalisasi beberapa sektor yang kita harap mampu menjana aktiviti ekonomi. Dalam keadaan ekonomi dunia sekarang, kita tidak boleh mengharapkan pasaran eksport yang dilihat masih lemah apatah lagi permintaan di pasaran tradisional jatuh mendadak tetapi usaha kerajaan memperkenalkan model ekonomi baru berteraskan peningkatan inovasi dan produktiviti pekerja adalah satu tindakan tepat, kerana negara tidak boleh berlengah lagi dalam mencari sumber pertumbuhan baru. Malah, acuan model baru iaitu perubahan cara pelaksanaan model perniagaan, dijangka mampu menarik kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) berikutan persaingan yang semakin sengit khususnya di kalangan negara Asia. Ada beberapa petanda yang kita yakin ekonomi negara boleh keluar daripada penguncupan pada separuh kedua tahun ini ialah seperti suasana pasaran buruh yang lebih baik apabila kadar pembuangan pekerja sudah stabil, harga komoditi bertambah baik dan kadar inflasi pula menurun, sekali gus dapat meningkatkan kuasa beli pengguna. Dengan itu, asas ekonomi negara masih kukuh di sebalik penguncupan KDNK pada suku pertama, sekali gus akan meleraikan kebimbangan rakyat.

0 comments: