Dari Beijing ke Sungai Sireh

Dari Beijing ke Sungai Sireh

DALAM keadaan cuaca yang baik, penerbangan MAS dari Beijing ke KLIA memakan masa lebih kurang enam setengah jam. Dalam keadaan trafik yang baik juga perjalanan motokar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke kampung Sungai Sireh memerlukan masa lebih kurang dua jam. Perjalanan itu melalui Batu Tiga, Shah Alam, Kapar dan pekan Kuala Selangor.

Menjelang ke Kapar, lalu lintas lazimnya sibuk. Di kiri dan kanan jalan terdapat deretan kedai yang diselang-seli oleh kawasan industri kecil dan sederhana yang kebanyakannya diusahakan oleh masyarakat Cina.

Tidak lama selepas Kapar, perjalanan lebih lancar menjelang pekan Kuala Selangor sehingga ke simpang Sungai Sireh. Di kiri dan kanan jalan kelihatan rumah-rumah Melayu berhalaman luas diselang seli oleh pokok kelapa dan buah-buahan terutama rambutan.

Simpang ke Sungai Sireh terdapat kira-kira 10 kilometer di sebelah kanan jalan raya Kuala Selangor-Tanjung Karang. Bermula dari simpang ini, jalan menjadi lebih sempit dan suasana kampung semakin terasa.

Selanjutnya fikiran menjadi terasa lapang dan perasaan semakin lega memandang kawasan sawah yang luas terbentang. Suasana alam keliling yang aman dan tenang itu sudah tentu jauh berbeza berbanding dengan bandar raya Beijing yang padat dengan manusia dan sesak dengan bangunan-bangunan konkrit.

Apa hubungan Beijing dengan Sungai Sireh? Kira-kira tiga minggu lalu serombongan 20 orang mahasiswa dari Beijing Foreign Studies University (BFSU) menempah kenangan indah di Sungai Sireh.

Mereka bergaul dengan masyarakat setempat, menjadi anak angkat keluarga Melayu. Mereka juga mengalami dan mengamalkan kehidupan masyarakat tani, menikmati kelazatan juadah dan lauk-pauk Melayu. Di samping turut menghayati kesenian Melayu, berkelah di pinggir hutan dan berkayak di tasik (parit tali air) buatan.

Rombongan mahasiswa BFSU itu sebenarnya sudah berada di Malaysia hampir enam bulan untuk mengikuti kursus tentang bahasa dan budaya Melayu di Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM).

Sebagai penutup program akademik yang mereka ikuti selama satu semester di kampus UM, mereka 'berembun dan berjemur' serta 'berkayak dan bermain lumpur' di Sungai Sireh yang merupakan satu perkampungan sawah padi di Kuala Selangor.

Dengan demikian 'perantauan' mereka selama hampir enam bulan di Malaysia bukan sahaja menambah pengetahuan akademik. Malah turut memperkaya pengalaman adat resam. Di samping menjalin hubungan sosial yang lebih akrab dengan masyarakat awam di luar kampus.

Selain berinteraksi dengan keluarga angkat, mereka turut terlibat dalam kerja-kerja sukarelawan. Bergotong-royong di rumah-rumah warga emas, di Perumahan Penduduk Rakyat Termiskin (PPRT) dan membantu golongan orang kurang upaya (OKU).

Dalam usaha menghayati budaya Melayu, pelajar-pelajar tersebut berpakaian baju kurung dan berketayap serta berkain sarung. Malah, masing-masing juga mempunyai nama Melayu di samping nama asal. Umpamanya Jia Xue mengambil nama Melayu Amirah; Shi Shan Hong menjadi Salmah; Sun Mu Ning menjadi Rahman dan banyak lagi. Mereka juga belajar bermain kompang, bersilat, berjoget dan berpantun.

Program "Seminggu Bersama Keluarga Angkat" di Sungai Sireh itu berakhir dengan satu majlis penutup pada 9 Mei lalu. Ia disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Datuk Noh Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Ahli Parlimen kawasan Kuala Selangor.

Pada majlis penutup itu saya sendiri turut menyaksikan kemahiran pelajar-pelajar BFSU menyanyikan lagu-lagu Melayu, berpantun dan memberi ucapan dalam bahasa Melayu.

Semua itu berlaku sebagai satu pengisian kepada Memorandum Persefahaman (MoU) APMUM dengan BFSU yang ditanda tangani pada bulan Jun 2007.

Pengisian pertama MoU itu terus dilaksanakan pada penghujung tahun berkenaan dengan kedatangan rombongan pertama mahasiswa BFSU dalam Program Keluarga Angkat di Kampung Lonek Negeri Sembilan.

Ketika ini, seramai kira-kira 30 mahasiswa APM juga sedang berada di BFSU, Beijing sebagai 'kunjungan balas' dan cuba belajar bahasa Cina dan memahami budaya Cina.

Pengarah APM UM, Datuk Prof. Madya Zainal Borhan menyifatkan MoU berkenaan sebagai sebahagian daripada program mengantarabangsakan UM. Ia diisi oleh APM dari sudut sosial dan budaya di samping dimensi akademiknya.

Secara diam-diam, APM sendiri juga sudah lama "mengantarabangsakan" dirinya. Empat orang pensyarah kanan di APM adalah dari negara luar. Turut mengikuti program akademik pada peringkat sarjana dan kedoktoran di APM ketika ini ialah mahasiswa dari Thailand, China, Indonesia, Singapura dan Brunei.

Bagi mereka yang telah lupa atau bagi mereka yang belum tahu, suka dimaklumkan bahawa semasa masih bernama Jabatan Pengajian Melayu (JPM) lebih setengah abad yang lalu, APM turut memainkan peranan yang aktif melahirkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Persatuan Penulis Nasional (Pena) secara tidak langsung juga dilahirkan oleh JPM.

Datuk Dr. Firdaus Abdullah ialah Felo Penyelidik Kanan (Pelawat) di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

0 comments: