Semua negara bertindak bendung virus H1N1

Semua negara bertindak bendung virus H1N1

Oleh MUSTAFA KAMAL BASRI


DUNIA kini gempar dengan merebaknya penyakit selesema babi yang dibawa oleh virus A (H1N1), sejak ia mula dikesan di Mexico lebih 10 hari lalu.

Penyakit tersebut bukan sahaja mencetuskan panik di seluruh dunia tetapi juga kebimbangan bahawa penyakit itu akan merebak menjadi wabak dan membunuh ramai manusia, jika ia tidak dibendung segera.

Di Mesir, penternak babi di negara itu telah bertempur dengan polis apabila pihak berkuasa bertindak memusnahkan ternakan mereka kerana bimbang penyakit itu merebak di negara berkenaan.

Di Iraq, sebuah zoo di Baghdad telah membunuh tiga ekor babi hutan kerana bimbang gejala yang sama.

Hubungan China dan Mexico pula menjadi tegang apabila negara kuasa besar komunis itu bertindak mengasingkan lebih 50 rakyat Mexico yang kini berada di negara itu atas tiket melancong dan perniagaan. Selain itu akibat bimbang virus tersebut merebak, China menggantung penerbangan dari Mexico ke negara itu.

Tindakan China itu ada asasnya kerana negara berkenaan sudah melalui pengalaman pahit sebelum ini apabila berdepan dengan wabak SARS dan selesema burung beberapa tahun lalu, sehingga menjejaskan industri pelancongan dan penerbangan negara itu.

Sedikit sebanyak istilah yang digunakan untuk penyakit itu sendiri telah menimbulkan kekeliruan apabila ramai yang menjangka selesema babi itu berpunca daripada babi, sehingga Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terpaksa mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan bahawa penyakit itu bukan berpunca daripada babi.

Malahan di Alberta, Kanada, satu kes dikesan di mana ternakan babi di bandar itu telah dijangkiti penyakit itu daripada manusia yang menghidap virus H1N1 setelah pulang dari lawatan di Mexico.

Ini bukan kali pertama dunia dilanda wabak penyakit, setelah dunia dikejutkan dengan virus JE di Malaysia, dan kemudian SARS di China dan beberapa negara Asia serta selesema burung yang melanda benua Asia dan Eropah.

Dalam tempoh hampir 100 tahun, dunia juga telah mengalami lebih tiga kes wabak penyakit besar akibat influenza yang membunuh berjuta-juta manusia.

Situasi sekarang adalah membimbangkan tetapi setakat ini keadaan adalah terkawal. Semua negara telah mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan wabak tersebut merebak ke negara mereka.

Langkah tersebut adalah wajar kerana penyakit tersebut jika merebak boleh menjejaskan ekonomi dunia yang kini berdepan krisis ekonomi yang agak buruk, terutama boleh menjejaskan sektor perdagangan, industri pelancongan dan penerbangan.

Pihak berkuasa Mexico telah dipersalahkan sejak wabak itu mula tercetus apabila ia gagal membendung virus tersebut daripada merebak.

Pasukan kesihatan kini telah dihantar ke Mexico bagi mengenal pasti punca utama influenza A dan merungkai misteri wabak tersebut yang merupakan gabungan komponen selesema babi, burung dan manusia.

Tahap amaran kini diletakkan pada fasa lima, menunjukkan wabak itu kini berada di ambang bahaya. WHO sedang berusaha mengelakkan ia meningkatkan ke fasa enam yang membawa maksud jangkitan telah merebak ke peringkat global, suatu keadaan yang cuba dielakkan daripada berlaku.

Dalam situasi sekarang, setiap negara tidak ada pilihan selain bekerjasama dan bertindak segera bagi mengelakkan wabak tersebut daripada merebak dan membunuh lebih ramai penduduk dunia.

0 comments: