Kempen membanteras gejala mat rempit perlu serius

Kempen membanteras gejala mat rempit perlu serius

DALAM kesibukan menangani polemik politik dan cabaran ekonomi, jangan diabaikan masalah sosial yang melanda di sekeliling masyarakat kita.

Operasi besar-besaran bagi membanteras gejala lumba haram di Kuala Lumpur kelmarin menunjukkan gejala mat rempit masih gagal ditangani, walaupun begitu banyak perhatian diberikan terhadapnya selama ini.

Polis juga belum dapat melumpuhkan kegiatan mat rempit meskipun ada anggotanya yang terkorban dan cedera parah.

Jika dadah diisytihar sebagai musuh nombor satu negara maka tidak ada salahnya jika mat rempit dikategorikan sebagai musuh utama pengguna jalan raya.

Isunya sekarang, merempit hanya kegiatan sampingan tetapi ada gejala lebih besar tersembunyi di belakang tabirnya.

Dadah, minah rempit dan wang taruhan adalah tiga segmen yang menjadi candu kepada mat rempit.

Malah mat rempit yang sebelum ini hanya dikaitkan dengan kegiatan lumba motosikal secara haram sahaja, kini sudah semakin berani apabila sesetengah mereka terlibat dengan kegiatan jenayah sehingga berani mencederakan orang lain dan memusnahkan harta benda awam.

Fenomena mat rempit itu dapat dilihat apabila ada yang berani menyerang balai polis, merompak dan merogol.

Sesetengah daripada kita sudah tentu tahu punca kenapa ramai remaja dan belia berumur 16 hingga 25 tahun terbabit dalam kumpulan mat rempit.

Bagi menangani isu mat rempit, pelbagai saranan dalam bentuk meminda peraturan dan undang-undang jalan raya hendak dilakukan. Tetapi akhirnya, apa guna segala undang-undang yang digubal jika tidak ada penguatkuasaan dilakukan.

Walaupun mungkin sesetengah anggota masyarakat sudah bosan dan letih dengan karenah mat rempit, tetapi kerajaan harus terus berusaha dan serius mewujudkan kesedaran dan membina akhlak mulia di kalangan remaja agar tidak terjebak dengan gejala ini.

Kempen membanteras gejala mat rempit selama ini hanya sia-sia kerana tidak mendapat sokongan ibu bapa serta masyarakat.

Kegagalan kawalan dan kurang perhatian ibu bapa menyebabkan anak-anak mereka sanggup menggadai nyawa di jalan raya.

Kerajaan perlu terus serius mengadakan kempen berterusan untuk memberi kesedaran kepada golongan muda supaya sayangkan diri dan tidak menggadaikan nyawa di atas jalan raya.

Selain pendekatan lembut, pendekatan keras juga perlu dilakukan. Tiada istilah kompromi untuk menangani golongan mat rempit yang menunggang motosikal secara berbahaya.

Mereka tidak boleh jadikan jalan raya untuk berlumba atau menyebabkan orang lain cedera kerana keghairahan untuk beradu kelajuan dan kemahiran melakukan whellie.

Operasi polis mencegah lumba haram yang sering dilakukan pada hujung minggu iaitu pada Jumaat, Sabtu dan Ahad termasuk cuti am patut diadakan sekerap mungkin.

Lokasi tumpuan memburu mat rempit ini bukan sahaja di jalan raya persekutuan mahupun negeri tetapi juga di kawasan taman-taman perumahan.

Tujuannya supaya penunggang tidak bermoral ini dihalang daripada terus berkuasa di jalan raya.

0 comments: