Minda Pengarang: Strategi betul, berkesan mampu pikat semula belia sertai Pemuda

Minda Pengarang: Strategi betul, berkesan mampu pikat semula belia sertai Pemuda


PERUBAHAN yang dilakukan Pergerakan Pemuda Umno bagi mengubah persepsi masyarakat, selain menarik golongan muda bersama dengan sayap itu perlu mendapat dokongan padu seluruh ahli Umno daripada pucuk kepemimpinan tertinggi sehinggalah ke akar umbi. Sokongan itu penting bagi membolehkan pergerakan yang kini dipimpin Khairy Jamaluddin keluar daripada kemelut yang dihadapi sekarang, iaitu kehilangan sokongan generasi muda yang lebih bersikap kritikal terhadap kepemimpinan negara. Selepas lebih setahun berdepan pelbagai isu dan cabaran, terutama selepas kegagalan Barisan Nasional (BN) memperoleh majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum Mac tahun lalu, Pemuda Umno mengorak langkah untuk berubah secara menyeluruh dengan mengambil pendekatan lebih terbuka dan dinamik. Lima rukun diperkenalkan iaitu Pemuda berprinsip, 'inclusive' (merangkum semua), proaktif, relevan dan bersatu, meletakkan anjakan paradigma baru Pemuda yang perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi menarik sokongan generasi muda merentasi kaum. Ia selaras dengan pendekatan yang diambil Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak untuk merealisasikan 1Malaysia. Dengan mengambil kira lima pendekatan strategi itu, Pemuda Umno perlu berusaha keras untuk menarik golongan muda menyertai atau bersimpati dengan Umno kerana masa yang ada cukup singkat menjelang pilihan raya umum akan datang. Kita sedar Khairy berdepan dengan laluan sukar bagi menarik minat golongan muda yang sejak kebelakangan ini semakin menjauhkan diri daripada pergerakan itu, selepas kumpulan pembangkang menggunakan pendekatan sederhana untuk mempengaruhi mereka, terutama ketika di institusi pengajian tinggi. Malah, suasana politik yang semakin terbuka sekarang menyulitkan lagi usaha mendekati kumpulan berkenaan.

Namun ia bukan sesuatu yang tidak boleh diubah. Melalui strategi yang betul dan berkesan, Khairy boleh menarik golongan ini mendekati semula sayap Pemuda. Malah, menerusi penubuhan 28 biro, sekretariat dan unit, sekiranya perancangan dan strategi betul, Pemuda mampu mendekati golongan berkenaan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama. Pada masa sama, kesatuan dalam Pemuda perlu mantap bagi mengelakkan sikap berpuak-puak yang selama ini membelenggu sayap itu. Pendekatan lama yang menyebabkan golongan muda menjauhi Pemuda perlu dibuang jauh-jauh, jika lima prinsip ini ingin dijayakan dengan cemerlang. Persoalannya, adakah Khairy dan kepemimpinan baru Pemuda mampu untuk melaksanakannya selepas cukup selesa dengan keadaan yang selama ini menyebabkan hubungan renggang antara mereka dengan generasi muda? Sebenarnya, Khairy dan barisan kepemimpinan Pemuda tidak mempunyai banyak pilihan, selain kembali kepada asas mendekati generasi muda untuk memperoleh kembali sokongan akar umbi yang selama ini semakin menghilang. Kita berharap dan yakin semangat diperoleh daripada Khemah Kerja Perdana Pemuda Umno di Janda Baik, Bentong, Pahang minggu lalu, dapat dilaksanakan dengan jayanya untuk membuka perspektif baru sayap penting pelapis kepemimpinan Umno. Dalam pada itu, Umno Pusat perlu memberi peluang seluasnya kepada Pemuda untuk bergerak melaksanakan strateginya, selain membantu dari segi moral dan material supaya apa dijanjikan Khairy dan anak buahnya tercapai.

0 comments: