Minda Pengarang: Kemelut di Perak tidak wajar berpanjangan, berulang

Minda Pengarang: Kemelut di Perak tidak wajar berpanjangan, berulang


SEHARI selepas Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah, semalam Mahkamah Rayuan pula membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan itu. Ini bermakna keadaan status quo kembali seperti sebelum ini iaitu Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak sehingga kes rayuan itu didengar. Mahkamah akan

menetapkan satu tarikh untuk mendengar rayuan Dr Zambry itu. Pada masa sama juga, Mohammad Nizar tidak boleh menghadap Sultan Perak bagi mendapatkan perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan sehinggalah rayuan itu didengar dan diputuskan. Dalam keadaan sekarang, tiada apa yang boleh dilakukan. Mohammad Nizar dan Exconya tidak boleh mentadbir kerajaan negeri, manakala bagi Dr Zambry dan barisan Exconya pula tidak boleh berfungsi dengan sempurna. Sebarang keputusan pentadbiran yang dibuat hari ini kemungkinan diubah pula keesokan harinya apabila jawatan Menteri Besar bertukar berikutan keputusan mahkamah. Perkara ini sebenarnya sudah berlaku dalam tempoh 24 jam lalu.

Meskipun, kes membabitkan politik Perak itu amat unik, ia sebenarnya bukan perkara baru. Pada 1966, kes yang hampir sama berlaku di Sarawak membabitkan Ketua Menterinya yang pertama, Datuk Stephen Kalong Ningkan. Ketika itu, Ningkan enggan meletak jawatan apabila diminta oleh Yang Dipertua Negeri untuk berbuat demikian dengan alasan anggota DUN hilang kepercayaan. Yang Dipertua Negeri ketika itu melantik Penghulu Tawi Sli sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baru. Namun, Ningkan memfailkan kes di mahkamah dan menang, menyebabkan beliau kembali menyandang jawatan Ketua Menteri. Perlembagaan negeri menyatakan bahawa Ketua Menteri hanya boleh dilucutkan jawatan, jika ada usul undi tidak percaya dalam DUN tetapi tiada usul itu dilakukan. Dua minggu kemudian, Yang di-Pertuan Agong menggunakan Artikel 150 Perlembagaan Persekutuan, atas nasihat Perdana Menteri ketika itu, untuk mengisytiharkan darurat di Sarawak. Perlembagaan Negeri Sarawak hanya boleh dipinda oleh DUN dengan majoriti dua pertiga atau oleh Parlimen Persekutuan ketika darurat. Dengan idea mengadakan darurat, Perlembagaan Sarawak boleh dipinda dan ini berjaya dilakukan melalui pembentangan Rang Undang-Undang untuk Sarawak di Parlimen. Pindaan baru itu memberi kuasa sementara kepada Yang Dipertua Negeri untuk memecat Ketua Menteri dan mengadakan sidang DUN. Sebelum itu, Yang Dipertua Negeri tiada kuasa mengarahkan sidang DUN diadakan tanpa permintaan Ketua Menteri. Akhirnya, Ningkan terpaksa mengalah apabila dipecat buat kali kedua dan Tawi Sli dilantik sekali lagi sebagai Ketua Menteri Sarawak kedua. Kita berharap, sejarah tidak berulang selepas ini sama ada di Perak, Sarawak atau negeri lain kerana yang menerima kesannya ialah rakyat.

0 comments: