Analisis: Krisis politik Perak jejas kesejahteraan rakyat

Analisis: Krisis politik Perak jejas kesejahteraan rakyat
Oleh Redzuan Yop

SUASANA politik di Perak penuh dengan kejutan. Sejak peralihan kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac tahun lalu, tidak ada sesuatu pun yang pasti dan sentiasa diselubungi ketidaktentuan.

Kerajaan Perak sekali lagi bertukar tangan, selepas Barisan Nasional (BN) memerintah kira-kira tiga bulan sejak awal Februari lalu, kini teraju kerajaan negeri kembali diambilalih Pakatan Rakyat.

Peralihan kuasa sekali lagi antara kedua-dua parti dilaksanakan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin membuat keputusan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin masih Menteri Besar Perak yang sah.

Sebelum ini, kerajaan Pakatan Rakyat hanya memerintah kira-kira 11 bulan selepas kehilangan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada kalangan mereka mengisytiharkan diri sebagai Adun Bebas tetapi menyokong BN.

Keputusan mahkamah itu meneruskan lagi episod penuh kontroversi yang tercetus selepas sidang DUN Perak yang berlangsung dalam suasana penuh tegang dan emosi pada 7 Mei lalu.

Bagaimanapun, Pakatan Rakyat ketika ini hanya sebuah kerajaan negeri yang tidak mempunyai majoriti apabila mereka hanya mempunyai 28 kerusi, manakala BN mempunyai 31 kerusi termasuk tiga Adun Bebas yang menyokong BN.

Mahu atau tidak jalan penyelesaian yang dirasakan terbaik oleh Mohammad Nizar daripada Pas dan sekutunya DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah dengan membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya semula diadakan.

Ketika ini BN mempunyai 28 kerusi iaitu 27 Umno dan MCA satu kerusi, manakala Pakatan Rakyat juga mempunyai 28 kerusi masing-masing DAP (17), Pas (enam) dan PKR (lima).

Datuk Dr Zambry Abdul Kadir berkata: "Saya menerima keputusan mahkamah dengan hati dan fikiran terbuka. Saya serta rakan akan mengambil tindakan seterusnya menurut lunas undang-undang.

"Saya menyeru semua penyokong BN serta rakyat Perak supaya bertenang," katanya dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar melalui Setiausaha Akhbarnya, Nizamuddin Mat Isa.

Ketika keputusan mahkamah itu diumumkan, Dr Zambry dikatakan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Ipoh bagi menghadiri majlis ulang tahun Umno ke-63.

Penganalisis politik dan sejarah, Datuk Prof Dr Ramlah Adam, ketika diminta mengulas perkembangan itu berkata, keputusan mahkamah sudah pun dibuat tetapi keadaan politik di Perak terus berada dalam keadaan tidak menentu dan rumit.

Beliau berkata, banyak perkara tidak dapat dilaksanakan untuk pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat apabila terlalu banyak masa dihabiskan untuk menguruskan suasana politik yang lintang pukang.

"Pembangunan terjejas, pelaburan terjejas dan rakyat terus berada dalam keadaan keliru disebabkan perkara yang berlaku ini (kemelut politik).

"Saya percaya rakyat pun sudah mula berfikir kenapa dan mengapa keadaan ini berlaku dan mereka mengharapkan kematangan berpolitik daripada wakil rakyat dan kerajaan negeri yang mereka pilih," katanya.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak imej BN dan pakatan pembangkang juga sudah tercalar berikutan kemelut politik yang berlaku, apatah lagi ketika sidang DUN Perak yang berlangsung pada 7 Mei lalu.

Apapun, beliau melihat kuasa Sultan kini sudah berani dicabar oleh pihak tertentu kerana berpendapat kuasa Sultan sebenarnya berada dalam kedudukan yang berbeza daripada rakyat biasa.

Dr Ramlah berpendapat kini berlaku satu pertembungan antara bidang kuasa Pusat, manakala satu lagi keputusan dibuat berdasarkan kepada undang-undang negeri iaitu Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak.

"Kita tidak mahu seperti kemelut yang berlaku di Perak pada 1874 apabila dua pihak bertelingkah, pihak ketiga (British) akan campur tangan dan mendapat manfaat yang besar daripada pertikaian yang berlaku," katanya.

Beliau berkata, jika perkara itu berlaku (kuasa Sultan dicabar) dan pihak tertentu meragui kuasa Sultan Melayu, institusi Raja akan terdedah kepada kritikan rakyat dan mula menghina Sultan dan perkara ini tidak wajar dibiarkan.

Apapun, kebimbangan yang mula timbul ialah adakah Pakatan Rakyat akan memulakan episod membalas dendam. Jika itu berlaku sudah pasti ia akan merumitkan lagi keadaan.

Sesiapa saja mentadbir Perak mereka perlu memahami bahawa asasnya adalah untuk mendahulukan rakyat. Kebajikan dan kesejahteraan mereka perlu diutamakan. Jika rakyat terus terabai disebabkan suasana politik yang tidak stabil siapakah yang akan dipersalahkan.

Jika ini berlaku sekali lagi pada pilihan raya umum akan datang rakyat akan menjadi hakim dan mereka akan memilih kerajaan negeri yang benar-benar dapat melaksanakan tugas menjaga kebajikan mereka.

Persoalannya, adakah Sultan Perak akan memperkenankan DUN Perak dibubar dalam masa terdekat bagi membolehkan pilihan raya semula diadakan seperti dipohon Pakatan Rakyat, kerana ketika yang sama Dr Zambry turut memfailkan permohonan penangguhan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan memfailkan notis rayuan terhadap perisytiharan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Dengan itu, semalam Mahkamah Rayuan di Putrajaya membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan Mohammad Nizar adalah Menteri Besar yang sah. Sehubungan itu, Dr Zambry kekal sebagai Menteri Besar Perak sehingga kes rayuan itu didengar.

Hakim Datuk Ramly Ali berkata, mahkamah akan menetapkan satu tarikh kelak untuk mendengar rayuan Dr Zambry.

Sekali lagi adakah rakyat Perak akan terus menanti sebuah kerajaan negeri stabil kerana kebanyakan daripada mereka mahu kemelut ini ditamatkan bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan seperti hari-hari biasa.

0 comments: