Rakyat Myanmar teruskan bantahan antikerajaan



BANTAH KERAJAAN: Rakaman televisyen menunjukkan pasukan keselamatan menembak gas pemedih mata dalam usaha menyuraikan orang ramai di Yangon, Myanmar semalam yang mengadakan tunjuk perasaan menentang kerajaan tentera.

Askar, polis lepas gas pemedih mata suraikan demonstrasi

YANGON: Berpuluh ribu rakyat berkumpul semula dalam bantahan antikerajaan di Yangon, di sebalik usaha menamatkan demonstrasi itu oleh rejim tentera, kata saksi semalam.

Penunjuk perasaan, termasuk sami, berarak di pasar utama di hab komersial negara itu, sejam selepas tentera dan polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan tembakan amaran untuk menyuraikan bantahan di sekitar Sule Pagoda.

Di sekitar pagoda itu, 10,000 penduduk berkumpul, tetapi tentera sekali lagi melepaskan tembakan amaran ke udara untuk menyuraikan orang ramai, kata saksi.

Sementara itu, masyarakat dunia memerhati penuh minat tunjuk perasaan dicetuskan perasaan tidak puas hati berikutan kenaikan mendadak harga minyak disusuli dengan tindakan junta memukul sami.

Di SINGAPURA, republik yang yang mempengerusikan blok Asean, semalam menggesa pihak berkuasa Myanmar 'sedaya upaya menahan diri' dalam menangani penunjuk perasaan.

Kementerian Luar negara itu mengeluarkan kenyataan sejurus selepas saksi di Yangon berkata tentera dan polis melepaskan tembakan amaran dan menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai.

Di THAILAND, pihak berkuasa berkata mereka memantau rapat krisis politik di Myanmar ketika pemimpin tentera negara itu mengarahkan pegawai keselamatan menamatkan bantahan besar-besaran yang menarik lebih 100,000 penduduk.

"Kerajaan diraja Thailand memantau rapat situasi di Myanmar," kata kementerian luar dalam satu kenyataan yang disiarkan lewat kelmarin.

Di JEPUN, negara penderma utama Myanmar semalam berkata, ia menekan junta untuk bertindak dengan sabar ketika berusaha menamatkan bantahan besar-besaran terhadap kerajaan tentera.

"Kerajaan Jepun menggesa kerajaan Myanmar mengambil reaksi sabar. Kami akan terus memantau perkembangan di negara itu," kata Menteri Luarnya, Masahiko Komura, kepada sidang akhbar.

Di PERANCIS, seorang menterinya mengecam tindakan polis ke atas penunjuk perasaan dan menyifatkan ia sebagai 'tidak boleh diterima' sambil menggesa sekatan lebih keras dikenakan terhadap junta di Yangon.

"Keadaan semakin teruk. Kita dan sekutu Eropah perlu lebih berwaspada dan mengenakan tekanan lebih ke atas pihak berkuasa Yangon," kata Menteri Hal Ehwal Eropah, Jean-Pierre Jouyet. � AFP

0 comments: