Bantahan mula ragut nyawa -- Junta tentera mula tembak penunjuk perasaan


PROTES... Sekumpulan sami Buddha mengadakan bantahan tanpa menghiraukan kehadiran polis antirusuhan sewaktu perarakan antijunta tentera di Yangon, semalam. – AFP.
YANGON 26 Sept. – Sekurang-kurangnya tiga maut sementara 22 yang lain termasuk beberapa orang sami Buddha, cedera apabila pihak berkuasa bertindak menyuraikan demonstrasi antijunta yang terbesar dalam tempoh 20 tahun di sini.

Sumber hospital memberitahu, enam orang dimasukkan ke hospital kerana cedera terkena tembakan tetapi tiga daripada mereka gagal diselamatkan.

Menurutnya, dua daripada mangsa yang maut terdiri daripada sami Buddha.

Sekurang-kurangnya 17 sami Buddha turut cedera apabila polis menggunakan kekerasan.

Junta tentera telah mengharamkan semua perhimpunan melebihi lima orang dan mengenakan perintah berkurung di waktu malam selepas berlangsungnya perarakan antikerajaan selama lapan hari oleh para sami di Yangon.

Bagaimanapun, satu perarakan menuju ke pusat bandar Yangon hari ini menyebabkan berlaku ketegangan antara penunjuk perasaan dan polis.

Pihak berkuasa dilaporkan telah menembak ke udara, memukul sesetengah sami dan menyumbat mereka ke dalam trak tentera selain turut melepaskan gas pemedih mata.

Seorang diplomat Perancis, Emmanuel Mouriez berkata, askar pada mulanya melepaskan tembakan amaran sebelum benar-benar menembak penunjuk perasaan yang tidak mengendahkan arahan kerajaan.

Sehari selepas junta tentera memberi amaran bahawa tidak lagi tolak-ansur, pihak polis dilihat menggunakan baton untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang terdiri daripada pelajar dan sami Buddha.

Saksi menyatakan bahawa puluhan penunjuk perasaan termasuk beberapa orang sami yang dihormati, ditahan semasa berlakunya rusuhan di Yangon itu.

Pasukan tentera menggunakan kawat berduri untuk mengepung kawasan di sekitar Pagoda Shewdagon yang menempatkan kira-kira 500 sami Buddha.

Ini adalah kali pertama pihak berkuasa negara ini menggunakan kekerasan untuk menyuraikan tunjuk perasaan yang sebelum ini dibiarkan begitu sahaja.

Polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan tembakan amaran ketika bilangan penunjuk perasaan semakin ramai.

Ketegangan bermula bulan lalu apabila junta menaikkan harga minyak secara drastik yang menyaksikan banyak kenderaan tidak bergerak dan harga tambang pengangkutan awam naik.

Sementara itu, seorang ahli politik prodemokrasi, Win Naing serta pelawak terkenal, Zaganar ditahan hari ini kerana didakwa membantu tunjuk perasaan yang diketuai oleh sami bagi menjatuhkan junta tentera.

Naing, lewat 70-an, ditahan kerana memberi makanan dan minuman kepada sami Buddha iaitu kumpulan yang memainkan peranan penting dalam protes antijunta terbesar dalam tempoh 20 tahun.

“Dia telah ditahan pada jam 2.30 pagi tadi,” kata seorang rakan dan juga diplomat Barat yang bertugas di Yangon.

Zaganar, 40, dituduh membekalkan makanan kepada sami-sami sejak kelmarin iaitu ketika mereka melancarkan demonstrasi yang berjaya menarik 100,000 orang untuk berarak di jalan-jalan raya Yangon.

– AFP

0 comments: