KPN nafi pembunuh Nurin Jazlin ditangkap

Oleh KHAIRUL AZRAN HUSSEIN

PETALING JAYA 26 Sept. – Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini memberi amaran kepada media supaya tidak membuat spekulasi berhubung penahanan seorang lelaki disyaki pembunuh kanak-kanak malang, Nurin Jazlin Jazimin.

Menurut Musa, media tidak seharusnya melaporkan cerita yang boleh mengganggu siasatan polis.

‘‘Tiada tangkapan (dalam kes Nurin Jazlin setakat ini), jangan buat cerita yang tidak betul kerana nanti akan mengganggu siasatan.

‘‘Kita juga akan memanggil penulis terbabit dan menyiasat dari mana dia mendapat maklumat yang tidak benar itu,” tegas Musa kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Bernama petang ini yang mendakwa polis telah berjaya menahan seorang lelaki berusia 41 tahun yang disyaki terlibat dalam pembunuhan dan penderaan seksual terhadap Nurin Jazlin.

Penangkapan itu dibuat di Lebuh Ampang di sini.

Menurut laporan itu, suspek yang bekerja sebagai ‘orang tengah’ di sebuah agensi pelancongan di bandar raya telah diajak oleh seorang rakannya ke sebuah kedai kopi di mana sepasukan polis telah menunggu untuk menahan lelaki itu.

Bernama yang memetik sumber polis berkata, serbuan tersebut dibuat selepas rakan suspek memberitahu polis bahawa lelaki itu mungkin mempunyai kaitan dengan pembunuhan kejam Nurin Jazlin.

Suspek juga disyaki terlibat dengan kes pencabulan dua kanak-kanak yang dilaporkan berlaku di Kampung Baru di ibu negara baru-baru ini.

Pada 20 Ogos lalu, Nurin Jazlin, pelajar tahun dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak di sini, dilaporkan hilang setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya.

Dia ditemui mati 27 hari kemudian dalam sebuah beg yang diletakkan di depan premis perniagaan di Petaling Jaya pada 17 September lalu.

Ujian forensik mendapati Nurin Jazlin mati selepas didera secara seksual.

Polis mendapat beberapa ‘petunjuk’ baru dalam usaha mengesan pembunuh Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang mati selepas didera secara seksual, 17 September lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, ketika ini pihaknya tidak mempunyai suspek lain, kecuali lelaki dirakam kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi mayat Nurin Jazlin ditemui.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan apakah petunjuk baru yang telah diperoleh polis itu.

“Kita berusaha menyelesaikan kes ini secepat mungkin,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

0 comments: