Tiada alasan harga barang naik: Khalib

BERITA HARIAN

Oleh Azli Ayob dan Shamshul Azree Samshir

KUALA LUMPUR: Kenaikan tarif elektrik yang diumumkan kerajaan semalam, tidak sepatutnya menyebabkan peningkatan harga barang kerana bekalan elektrik hanya menyumbang kira-kira lima peratus daripada kos operasi sesebuah perniagaan.

Presiden merangkap Ketua Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB), Datuk Che Khalib Mohamad Noh, berkata tarif baru hanya membabitkan kenaikan minimum terhadap kos keseluruhan operasi peniaga.

Pada sidang media di ibu pejabat TNB di sini bagi menjelaskan butiran terperinci struktur baru tarif elektrik, Che Khalib berkata, kadar baru bagi industri cuma meningkat dalam lingkungan 2.1 sen hingga 3.2 sen bagi setiap kilowatt/jam (kWj).

Beliau memberi contoh, peniaga runcit dan pasar yang mempunyai bil bulanan RM50 atau kurang akan mengalami perubahan minimum.

“Kadar ini masih antara yang terendah di rantau ini selepas Indonesia dan Taiwan berbanding kadar tarif elektrik di Thailand, Korea, China, Singapura dan Hong Kong.

“Oleh itu peniaga tidak wajar menjadikan alasan kenaikan tarif elektrik untuk menaikkan harga barang,” katanya.

Kadar tarif elektrik TNB bagi industri ialah pada 26.2 sen kWj, berbanding 29.7 sen di Thailand, Korea Selatan (30.5 sen), China (31.2 sen), Singapura (35.9 sen), Hong Kong (42.5 sen), Filipina (50.3 sen) dan Jepun (65.9 sen).

Sementara itu, Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie, berkata kajian semula tarif itu perlu untuk membolehkan TNB menangani kenaikan kos yang ditanggung sejak 1997 serta mengganti peralatan lama dan meneruskan kerja pembaikan.

“Dengan kajian semula ini, TNB mampu melabur dalam prasarana baru dan mengukuhkan kemampuan bekalan elektrik kepada pengguna,” katanya.

TNB akan melabur kira-kira RM5 bilion setahun dalam tempoh lima tahun akan datang bagi menaik taraf stesen jana kuasa, rangkaian penghantaran dan pembahagian elektrik.

Maklumat terperinci mengenai struktur baru tarif itu boleh diperoleh dengan melayari laman web www.tnb.com.my/tarif atau menghubungi talian bantuan TNB di 1300-88-5454.

Terdahulu, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik pada sidang akhbar di Putrajaya berkata kenaikan tarif elektrik dibuat dengan ketetapan TNB perlu meningkatkan keupayaan terutama aspek pembekalan dan kecekapan syarikat.

"Diakui sistem yang digunakan TNB berkesan tetapi isu terputus bekalan tempatan masih dilaporkan," katanya.

Kenyataan akhbar mengenai pengumuman kenaikan tarif elektrik itu yang diedarkan kepada media pula menyebut, tahap Petunjuk Prestasi Utama (KPI) KPI yang perlu dipatuhi TNB akan ditetapkan serta dipantau Suruhanjaya Tenaga.

Dr Lim berkata, TNB perlu menggubal piagam pelanggan supaya pengguna termasuk dalam sektor komersial dan perindustrian mendapat lebih perlindungan dan jaminan.

Antara lain TNB perlu membayar pampasan dalam bentuk rebat kepada pengguna jika gagal mematuhi ikrar yang terkandung dalam piagam itu.

"Selain itu, TNB perlu bekerjasama dengan persatuan pengguna dan pertubuhan lain bagi mempromosikan tenaga yang diperbaharui.

"Kerajaan juga memberi tumpuan utama kepada projek jana kuasa hidro di mana selepas ini tidak ada lagi stesen jana kuasa konvensional dibina sebaliknya semuanya akan berteraskan tenaga hidro," katanya.

Mengenai hasil perbincangan bersama Pengeluar Tenaga Bebas (IPP), Dr Lim berkata, kementerian akan mengemukakan kertas Kabinet berhubung cadangan memeterai perjanjian tambahan dengan IPP, dalam tempoh dua bulan lagi.

"Kerajaan melantik perunding bagi mengkaji prestasi kewangan dan teknikal IPP bagi mengurangkan caj kapasti yang perlu dibayar TNB.

"Cadangan pindaan kepada bayaran caj kapasiti ini akan berdasarkan formula 'menang-menang' di mana IPP akan ditawarkan lanjutan tempoh konsesi sebagai insentif mengurangkan caj kapasiti," katanya.

Dr Lim juga berkata, TNB terpaksa menanggung kos sebanyak RM2.5 bilion bagi margin rizab tenaga kira-kira 38 peratus yang direkodkan sekarang.

"Tahap rizab margin ini akan dikurangkan pada tahap lebih sihat, iaitu di antara 20 peratus hingga 25 peratus menjelang 2010," katanya sambil menambah kadar rizab margin tenaga dunia hanya mencapai 20 peratus.

0 comments: