Bursa saham dulu dan sekarang

DALAM keadaan pasaran saham tidak menentu ekoran daripada krisis ekonomi global, saya terkenang kisah semasa bersama Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia) dari 1984 sehingga 2003.

Memang banyak pengalaman pahit, manis dan maung yang saya lalui. Saya berpeluang berkhidmat di bawah tiga pengerusi dalam jangka 19 tahun itu.

Bermacam-macam kerenah mereka ini yang dapat saya perhatikan. Yang suka datang lambat bila mesyuarat, yang suka susun semula organisasi berkali-kali dan yang cekap buat kerja dalam semua bidang. Cekap dan pantas betul.

Saya masih teringat pada awal perkhidmatan saya, semuanya berjalan secara manual. Dalam ruangan bilik seluas 2,500 kaki persegi pada tahun 1984 itu, berlari-larilah 50 orang kerani bilik dagangan mengambil pesanan dari syarikat broker.

Mereka menggunakan signal tangan untuk menawar dan membeli saham yang kesemuanya tercatat atas papan hitam. Di atas lantai bilik tersebut penuh dengan wayar telefon bertali terus kepada kerani syarikat broker masing-masing.

Bayangkanlah keadaan pada masa itu seperti 'kandang kambing'.

Perlahan-lahan kita memulakan usaha memodenkan bursa tersebut. Mula-mula kita pindah ke tempat yang lebih luas dan kita menggunakan sistem dagangan separuh automatik.

Kita gaji kerani untuk memasukkan pesanan beli dan jual ke dalam komputer tetapi masih lagi menggunakan papan putih yang lebih luas.

Kerani bilik dagangan pada masa itu masih lagi digunakan. Ada yang telah berkhidmat selama 25 tahun dan ada yang tidak punya kelayakan. Kalau difikirkan kenapa mereka boleh bertahan begitu lama sedangkan gaji mereka tidak seberapa? Rupa-rupanya ramai yang menyimpan 'buku hitam' yang mengandungi urus niaga mereka secara peribadi.

Apabila pasaran hangat pada satu-satu masa kita boleh terdengar jerit pekik laungan kerani-kerani ini. Mudah bagi kita hendak mengetahui nadi pasaran dalam masa-masa tertentu. Kalau senyap sahaja, maknanya pasaran lembap.

Apabila pihak bursa membuat keputusan untuk beralih kepada sistem dagangan sepenuh elektronik dan sepenuh automatik, kita membentuk sistem sendiri.

Orang yang bertanggungjawab tentang ini dan perkara-perkara berkaitan teknologi maklumat ialah Ungku Abdul Razak. Pada saya, dia seorang genius IT. Jarang ada masalah IT yang tidak dapat diselesaikannya.

Kita pun beralih kepada sistem sepenuh elektronik dan automatik pada 1989. Dan bursa saham Taiwan begitu tertarik dengan sistem kita sehingga mereka menghantar orang untuk mengkajinya. Taiwan masa itu hanya menggunakan sistem separuh automatik.

Sejajar dengan peralihan kepada sistem dagangan sepenuh elektronik dan automatik, sistem penyampaian maklumat dagangan dan pasaran juga perlu ditingkatkan ke tahap elektronik. Ini dilakukan melalui 'terminal' komputer daripada bursa ke seluruh syarikat broker saham pada masa itu.

Tidak salah kalau dikatakan bahawa permodenan industri sekuriti pada masa itu berpunca daripada permodenan bursa saham sendiri.

Perubahan itu pada mulanya menerima bangkangan daripada broker saham. Mereka tidak mahu mengeluarkan perbelanjaan untuk memodenkan syarikat mereka.

Pada waktu itu - tahun 1984 - tidak ada satu laporan pun tentang pasaran saham, baik secara berasingan atau pun dalam warta berita dalam apa jua media. Pada awalnya laporan dibuat daripada bursa saham, lama-kelamaan diambil alih oleh wartawan media.

Program pertama tentang saham saya buat bersama orang kanan RTM, George Abraham yang dikenali dengan nama Business Trends. Stesen TV3 menyusul pula dengan Money Matters.

Program televisyen dalam bahasa Melayu ialah Dari BSKL, yang ditaja bersama oleh setiap syarikat broker saham dan bursa saham Kuala Lumpur. Rancangan ini bertahan selama tiga tahun.

Tujuan program itu diperkenalkan ialah untuk mendidik masyarakat untuk melabur terutama sekali yang tidak tahu menahu tentang pasaran saham.

Syarikat penyampai maklumat yang pertama mengambil harga saham di pasaran untuk disebarkan ke seluruh dunia ialah Reuters.

Dahulu syarikat kita ada yang tersenarai di bursa saham Singapura dan ada syarikat Singapura yang tersenarai di bursa kita. Keadaan ini berlaku sejak tertubuhnya bursa saham.

Malangnya penyenaraian itu mendatangkan keuntungan lebih kepada Singapura berbanding Malaysia.

Pelabur asing lebih gemar pergi ke Singapura untuk membeli saham syarikat Malaysia daripada berdagang dengan bursa saham kita.

Menyedari hakikat bahawa sekiranya kita ingin membangunkan pasaran modal kita, kita perlu memberikan tumpuan kepada syarikat kita disenaraikan di bursa saham kita. Oleh itu, pada 1990 penyenaraian di bursa saham Singapura diberhentikan.

Singapura tidak duduk diam kerana banyak urus niaga mereka terdiri daripada saham syarikat kita. Mereka memperkenalkan pasaran tidak rasmi dikenali sebagai CLOB. Katanya tiada kena mengena dengan bursa sahamnya tetapi semua orang tahu sebaliknya.

Mereka menggunakan bank-bank Singapura yang beroperasi di Malaysia untuk menyimpan rekod urus niaga saham syarikat Malaysia melalui CLOB.

Saya memohon kepada kerajaan untuk mengambil langkah supaya CLOB dimatikan tetapi pada masa itu tidak nampak bahayanya sehinggalah krisis pada 1997.

Banyak saham kita diurusniagakan secara 'jualan singkat' (short selling). Ertinya mereka menjual saham yang mereka tidak miliki dan membeli balik bila harga saham tersebut jatuh. Dengan cara itu mereka membuat 'keuntungan atas angin.'

Melihat keadaan ini barulah kerajaan mengarahkan mencari jalan untuk menutup CLOB. Malangnya selepas 1997 kita hilang kedudukan kita sebagai nombor satu dalam ASEAN.

(Bersambung minggu hadapan)

DATO' SALLEH MAJID ialah Felo Utama

Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)
Bagaimana menyambut Hari Guru

Oleh SULAIMAN KONIT


PADA 16 Mei 2009, sudah 38 kali masyarakat Malaysia khasnya kaum guru merayakan sambutan Hari Guru. Tarikh 16 Mei dipilih bagi perayaan tersebut kerana memperingati tarikh penguatkuasaan Penyata Razak, iaitu Dasar Pendidikan Negara yang dilaksanakan bagi Persekutuan Tanah Melayu, yang berhasrat menyatukan pendidikan di sekolah bagi semua kaum di negara ini, yang berteraskan perpaduan kaum melalui bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

Pada kebiasaannya sambutan diadakan di peringkat negara, negeri, daerah dan sekolah. Berbagai tema perayaan dikemukakan seperti: "Guru Pembentuk Pembangunan Negara" dan sebagainya.

Di perhimpunan tersebut biasanya dibacakan perutusan Hari Guru daripada Menteri Pelajaran. Biasalah selepas itu diadakan kegiatan seperti sukan kecil, jamuan dan diakhiri dengan sumbangan hadiah daripada murid atau pelajar kepada guru-guru mereka.

Hadiah hanya berupa jambangan bunga, pen atau buku dan sambutan Hari Guru berakhir begitu sahaja, sehingga menunggu sambutan pada tahun hadapan. Tiada kesan yang ditinggalkan yang menjadi kenangan kepada guru dan murid.

Bagaimana sepatutnya masyarakat menyambut atau merayakan Hari Guru yang nampaknya semakin malap, yang agaknya sudah hampir kehabisan idea dan tenaga.

Bagi murid adakah cukup hanya mengucapkan "Selamat Hari Guru" bila menjelang hari tersebut? Di samping itu hanya menghadiahkan kuntuman bunga, kemudian layu, dibuang dan dilupakan begitu sahaja.

Ketika ini, mungkin boleh dianggap sebagai kelakar, katakan seorang murid yang belajar di sekolah rendah di tahun lima pada 2000, berjumpa semula dengan guru mereka pada tahun 2009.

Perkataan yang keluar daripada pelajar tersebut: "Ini guru saya dulu semasa di sekolah rendah yang selalu mencubit perut saya kalau tak menyiapkan kerja sekolah". Patutkah pelajar tersebut berkata begitu?

Perkataan "mencubit" itu sangat diingati tetapi pengajaran guru tersebut hingga dia ke institusi pengajian tinggi (IPT), langsung tidak timbul atau diingati. Masyarakat masa kini sangat sukar untuk 'menghargai' apatah lagi 'mengingati' jasa guru.

Kepada kaum guru sekarang, jangan bersikap negatif kerana kerjaya seorang pendidik juga seperti kerjaya seorang doktor - mereka selalu dilupakan bila pelajar pandai dan berjaya, dan ketika pesakit sihat dan boleh bergerak dengan cergas dan makan dengan berselera.

Kerjaya seorang pendidik adalah kerja yang mulia. Jika dilakukan dengan penuh keikhlasan, pahalanya akan sampai ke akhirat.

Sesuatu perlu dilakukan dalam sistem pendidik sekarang, seperti program "tanam semangat" dilakukan seawal-awalnya di peringkat sekolah. Melalui langkah ini, setidak-tidaknya masyarakat kita tahu menghormati ibu bapa, menghargai guru dan berterima kasih kepada pemerintah yang telah membelanjakan begitu banyak wang dalam pendidikan.

Kepada ibu bapa, adakah pernah menghantar sepucuk surat penghargaan kepada pihak sekolah kerana kejayaan anak kita dalam pelajaran atau kerana telah berjaya menyelesaikan satu-satu kes yang melibatkan anak kita.

Kepada kaum guru, fikirkan slogan dulu yang menyatakan "Guru ibarat lilin, membakar diri dan menerangi orang lain" - sesuai lagikah dengan keadaan semasa sekarang.

PENULIS ialah Tokoh Guru Temerloh 1998
Parti politik Indonesia belum matang

KEBANYAKAN parti di Republik Indonesia masih lagi tidak matang dan bersifat keanak-anakan. Mereka tidak mempunyai pendirian tetap, mudah merajuk, mudah dipujuk dan masih tercari-cari tapak untuk berdiri serta dahan untuk berteduh.

Kebanyakan parti walaupun dikategorikan sebagai heavyweight dalam politik Indonesia seperti Parti Keadilan Sejahtera dan Parti Amanat Nasional (PAN), tetapi masih seperti "melukut di tepi gantang" bagi parti pemerintah iaitu Parti Demokrat pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Ketika timbul ura-ura Susilo bakal memilih daripada kalangan bukan ahli politik sebagai pendampingnya untuk jawatan naib presiden ketika masuk ke gelanggang pemilihan presiden, parti-parti politik berkenaan terus membuat pelbagai ancaman.

Ancaman paling popular ialah akan keluar daripada pakatan itu kerana mereka tahu Parti Demokrat yang usianya baru 'setahun jagung' itu tidak mampu berdiri sendiri menghadapi Pilihan Raya Presiden pada 8 Julai ini.

Bagaimanapun rajuk mereka tidak panjang apabila dipujuk dan digula-gulakan oleh Susilo dan Demokrat. Akhirnya mereka segera bermain di halaman Demokrat dan terus melupakan apa yang berlaku sebelumnya.

Tarikan utama Demokrat dan Susilo ialah berada di tampuk pentadbiran negara. Dan itulah yang diimpikan oleh parti-parti berkenaan yang mahu bergabung dengan parti pemerintah kerana mereka akan berada tidak jauh daripada kuasa kerana ia penting untuk survival parti.

Berlainan dengan segelintir daripada 44 buah parti yang terdapat di Indonesia, seperti Parti Golkar dan Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP). Mereka mempunyai sosok pemimpin yang tegas dan tetap dengan pendirian.

Parti Golkar contohnya setelah mengumumkan keluar daripada pakatan Demokrat pada Pilihan Raya Parlimen lalu, terus dengan pendirian tersebut apabila Ketua Umum Golkar, Jusuf Kalla mengumumkan akan menentang Susilo.

Rakan pendampingnya ialah Ketua Dewan Pembina Parti Hati Nurani Rakyat (Hanura), Wiranto yang bakal bertanding untuk jawatan naib presiden.

Ketegasan Jusuf itu harus dihormati walaupun masih terdapat para pemimpin Golkar yang 'menjeling-jeling' ke arah Demokrat dan hati masih berbunga jika ditawarkan oleh Susilo untuk menjadi pendamping.

Begitu juga Megawati Soekarnoputri yang memimpin PDIP. Beliau cukup tegas dengan pendiriannya untuk tetap mengemukakan calon presiden daripada parti itu. Ia dilakukan walaupun terdapat pemimpin yang menyarankan untuk bergabung dengan Demokrat dan menerima tawaran untuk bertanding jawatan naib presiden.

Megawati dalam satu mesyuarat di kediamannya baru-baru ini telah menghalau seorang pemimpin parti itu gara-gara membuat saranan sedemikian. Usul itu dibuat selepas mencongak peluang parti berkenaan untuk menang terlalu tipis.

Pemimpin berkenaan terdiam dan terus terbenam di tempat duduknya dan lantas mematikan niat para pemimpin lain untuk menyokong saranan tersebut. Sepantas itu juga khabar angin parti berkenaan bakal bergabung dengan Demokrat mati begitu sahaja.

PAN pula kini terbahagi dua apabila penasihat parti itu yang juga bekas ketua umumnya, Amien Rais masuk campur urusan parti membentuk kumpulan sendiri sehingga mematikan langkah Ketua Umum PAN, Soetrisno Bachir.

Perpecahan itu memang telah kelihatan sebelum ini. Ia jelas semasa penulis membuat liputan kempen terbuka PAN di Lampung pada Pilihan Raya Parlimen lalu.

Soetrisno yang terkenal dengan panggilan Mas Soetrisno itu meninggalkan pentas kempen apabila Amien menjejakkan kaki ke situ. Sesuai dengan gelaran "Mas", Soetrisno membawa aliran baru di dalam PAN iaitu sebagai pemimpin muda yang berani serta berdisiplin dan mahu menjadikan parti berkenaan sebagai parti golongan muda.

Lantaran itu beliau lebih awal menyatakan persetujuan untuk bergabung dengan Prabowo Subianto iaitu Ketua Dewan Pembina Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) untuk bertanding jawatan presiden, manakala Soetrisno bagi jawatan naib presiden.

Langkah itu tidak mendapat restu Amien yang masih lagi mempunyai pengaruh kuat di dalam PAN, apatah lagi Soetrisno juga dipilih oleh Amien untuk menggantikannya.

Amien melihat demi survival parti itu, lebih baik ia bergabung dengan tampuk kekuasaan iaitu Demokrat.

Kini Soetrisno terus mendiamkan diri, Prabowo pula membentuk gabungan lebih 20 parti kecil untuk mendukung beliau bertanding jawatan presiden.

Bagaimanapun sokongan parti-parti kecil itu tidak menjanjikan kemenangan kerana tidak mempunyai impak. Lantaran itu Prabowo terus menunggu restu Megawati kerana ia bakal melengkapkan sokongannya.
Kawalan media demi pertahan nilai teras

Oleh RUHANIE AHMAD


DEMIKIANLAH hakikatnya kebebasan akhbar di Malaysia dan Singapura. Tetapi, oleh kerana sesetengah pihak yang mendakwa diri mereka jaguh kebebasan akhbar dan sering berkiblatkan kepada Amerika Syarikat (AS), maka wajarlah ditinjau apakah bentuk dan realiti kebebasan akhbar di negara tersebut.

Konsep kebebasan akhbar di Amerika Syarikat

Kebebasan akhbar di AS adalah bersumberkan The First Amendment (1791) Perlembagaan AS. Antara seluruh media di AS, media cetak paling bebas. Bagaimanapun, kebebasan akhbar di AS juga adalah bersyarat. Namun ia tidak termasuk kebebasan untuk menyiarkan bahan-bahan lucah atau pornografi. Kebebasan itu juga tidak mengatasi keselamatan serta kepentingan negara.

Media penyiaran yang terangkum di bawah First Amendment AS pula menghadapi peraturan dan sekatan.

The Communications Act 1934 AS mewujudkan The Federal Communications Commission (FCC) untuk meregulasikan radio, televisyen dan telekomunikasi. Anggota FCC dilantik oleh Presiden AS. (Ryan & Wentworth 1999:120-122).

Pada awal 1990-an kerajaan AS menggunakan alasan "keselamatan ketenteraan" untuk menyekat kebebasan akhbar. Contohnya, campur tangan ketenteraan AS di Granada, Panama dan Teluk Parsi membolehkan kerajaan menggunakan isu "keselamatan ketenteraan" sebagai alasan untuk memperkenalkan satu sistem yang menyeluruh bagi menapis penyaluran berita mengenai perang terbabit.

Wartawan yang membuat liputan Perang Teluk, contohnya, hanya diizinkan melaporkan berita-berita atas kawalan pegawai Pentagon. Wartawan yang diizin membuat liputan juga disaring oleh pihak Pentagon (Exoo, 1994:96).

Berikutan tragedi 11 September 2001, kerajaan AS pula mengambil beberapa langkah yang disifatkan sebagai menjejaskan kebebasan akhbar. Hakikat ini dihuraikan secara panjang lebar oleh Navasky (2002:28). Antaranya, Navasky menyatakan, kerajaan AS mengeluarkan arahan eksekutif untuk menghalang pengedaran kertas-kertas maklumat mengenai bekas Presiden AS.

Peguam Negara AS menarik balik andaian di sebalik Freedom of Information Act bahawa sesuatu dokumen hanya akan dilarang daripada edaran jika ia menimbulkan mudarat. Kerajaan AS juga meluluskan Patriot Act. Akibatnya, pengaliran maklumat di AS telah dikompromi dan hak rakyat AS untuk mendapatkan maklumat turut terjejas.

Hakikat kebebasan akhbar di AS seperti dihuraikan di atas membuktikan Perlembagaan AS juga memberikan kebebasan akhbar secara bersyarat.

Ia selaras dengan kebebasan akhbar yang dipelopori menerusi Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan PBB. Pada waktu yang sama, dua nilai teras yang amat dipelihara oleh AS adalah kepentingan dan keselamatan negara.

Oleh itu, kebebasan akhbar di AS tidak boleh mengatasi aspek nilai-nilai teras berkenaan.

Realiti kebebasan akhbar di Malaysia

Berdasarkan seluruh huraian di atas, kerajaan Malaysia terbukti memberikan kebebasan akhbar di negara ini selaras dengan prinsip dan konsep kebebasan akhbar yang dipelopori oleh Deklarasi Hak Manusia Sejagat, PBB dan juga AS.

Nilai-nilai teras yang dipertahankan oleh kerajaan Malaysia juga sama dengan nilai-nilai teras yang dipertahankan menerusi deklarasi itu dan juga AS. Dalam lain perkataan, kebebasan akhbar di Malaysia adalah sama piawaiannya dengan kebebasan akhbar yang dilindungi oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, selaras dengan matlamat serta prinsip PBB dan sama tarafnya dengan standard kebebasan di AS.

Pada waktu yang sama, amalan kebebasan akhbar di Malaysia juga tidak jauh berbeza dengan amalan di Singapura dan Indonesia.

Oleh itu, mengapakah pihak yang kononnya juara kebebasan akhbar di Malaysia gagal menerima hakikat? Mengapakah NGO antarabangsa yang memberikan ranking negatif terhadap kebebasan akhbar di negara ini seolah-olah tidak mahu menerima realiti? Mengapakah diketepikan kebenaran dan diperbesarkan pula kepalsuan?

Isu kebebasan akhbar di Malaysia juga menjadi polemik dan dipolitikkan. Mungkinkah kerana ia adalah antara isu terbaik untuk dijadikan perkakas yang boleh melumpuhkan kekuasaan Melayu yang menjadi teras pemerintahan negara ini? Oleh itu, adakah soal kebebasan akhbar di negara ini yang kononnya negatif akan lenyap bila kuasa negara beralih ke tangan yang lain, khususnya ke tangan bukan Melayu?

Mengapakah kelompok antarabangsa dan tempatan yang prihatin terhadap kebebasan akhbar di Malaysia tidak memberikan minat dan komen terhadap tindakan seorang exco sebuah kerajaan negeri yang menyaman sebuah akhbar Melayu dengan jumlah jutaan ringgit semata-mata kerana akhbar itu menyiarkan sebuah cerpen mengenai seorang individu yang hanya wujud dalam dunia khayalan?

Mengapakah kelompok ini juga tidak pernah membuat apa-apa kritikan bila exco yang sama juga menyaman seorang penyair dan menuntut gantirugi sebanyak RM30 juta semata-mata kerana penyair itu menghasilkan sebuah puisi yang kononnya merujuk kepada exco tersebut? Tidakkah tindakan undang-undang seperti ini merupakan langkah yang tidak kondusif kepada kebebasan berkarya dan kebebasan akhbar?

Kesimpulan

Kebebasan akhbar yang menjadi sebahagian ciri-ciri kebebasan masyarakat yang demokratik adalah kebebasan yang bersyarat dan yang dihadkan oleh nilai-nilai teras sesebuah masyarakat dan negara. Nilai-nilai teras yang sangat dititikberatkan oleh kerajaan Malaysia adalah ketenteraman awam, keselamatan negara, keharmonian kaum dan perpaduan masyarakat.

Amalan kebebasan akhbar yang bersyarat ini juga terdapat di AS, Singapura dan Indonesia. Oleh sebab itu, tuduhan kononnya kerajaan Malaysia tidak memberikan kebebasan akhbar adalah dakyah semata-mata.

DATUK RUHANIE AHMAD ialah bekas wartawan dan juga bekas Ahli Parlimen Parit Sulong
Guru pendukung aspirasi membentuk modal insan holistik


Pendidik bukan sekadar lahirkan pelajar cemerlang tetapi lebi utama membimbing generasi bersahsiah mulia

SAMBUTAN Hari Guru 2009 amat dinantikan oleh kira-kira 350,000 pendidik di seluruh negara berikutan perubahan dalam kepemimpinan Kementerian Pelajaran baru-baru ini. Apakah akan berlaku sebarang perubahan dalam sistem pendidikan negara apabila kepemimpinannya bertukar tangan. Ikuti wawancara wartawan Pendidikan, ZAINOR SAID, TAMRIN ANUAR dan NORLIZA ABDULLAH bersama Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena sambutan Hari Guru yang disambut hari ini.

Apa relevannya tema Hari Guru tahun ini iaitu 'Guru Pembina Negara Bangsa' dengan peranan pendidik dalam membina perpaduan dan meningkatkan kecemerlangan?

Tema Hari Guru tahun ini mengingatkan kita peri pentingnya peranan guru dalam membentuk negara bangsa. Mereka bukan hanya berperanan mendidik, malah membentuk bangsa yang bersatu padu dan bangsa yang mampu memahami aspirasi negara seterusnya membawa Malaysia ke mercu lebih gemilang pada masa depan. Kita melihat pentingnya guru dalam membentuk generasi lebih seimbang. Dalam hal ini, kerajaan menekankan aspek kualiti untuk meningkatkan mutu pendidikan dan aspirasi lebih cemerlang dalam kerjaya mereka. Masa depan negara bergantung kepada keupayaan guru melahirkan generasi berkemahiran dan memenuhi cita rasa bangsa dan negara. Sempena Hari Guru tahun ini, kami pada peringkat kementerian memberi perhatian khusus kepada usaha meningkatkan kemahiran guru agar lebih kreatif dan inovatif di samping memiliki ilmu dan pengetahuan lebih luas. Guru juga bertanggungjawab membimbing anak kita untuk terus menjadi manusia sempurna, insan kamil yang sekali gus dapat mewarisi usaha membangunkan negara.

Adakah tema itu bertepatan dengan hasrat mewujudkan 1Malaysia seperti diharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak?

Semestinya ia selari dengan hasrat itu dengan rakyat didahulukan dan prestasi diutamakan. Matlamat itu mahu melihat Malaysia memegang satu wadah walaupun berada dalam masyarakat berbilang kaum. Kepelbagaian kaum dan keturunan di negara ini membentuk keistimewaan tersendiri selain bersatu padu dan mempunyai impian sama dalam memajukan negara. Menerusi sistem pendidikan negara, antara matlamat utama ialah membentuk rumpun bangsa. Kepelbagaian bangsa dan bahasa itu bukan satu kekangan, sebaliknya kekuatan dan tambah nilai dalam membentuk satu bangsa yang kuat. Pembentukan perpaduan serta toleransi bermula pada peringkat sekolah. Ia menjadi tanggungjawab semua pihak terutama guru dalam membentuk keseimbangan di kalangan pelajar yang datang daripada pelbagai kaum dan keturunan dalam proses membentuk perpaduan. Saya berharap perpaduan yang dipupuk di sekolah akan terus kukuh dan berkekalan sehingga menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat majmuk.

Apakah cabaran utama guru masa kini dalam melaksanakan tanggungjawab untuk melahirkan modal insan holistik?

Tidak dinafikan perkembangan semasa turut memberi kesan kepada proses pembentukan sahsiah terutama di kalangan anak muda. Namun, apa yang penting ialah perkembangan bidang pendidikan perlu diambil kira supaya seiring dengan apa yang berlaku di negara maju. Penekanan perlu diberikan kepada pembangunan secara menyeluruh (holistik). Dalam mencapai sasaran itu, kita harus melihat pelbagai aspek termasuk mengambil kira soal kebajikan guru, antaranya kekurangan guru. Kementerian sedang berusaha mengurangkan nisbah guru dan bilik darjah daripada 1:7 kepada 1:5. Selain itu, usaha meningkatkan pendidikan negara dengan memberi penekanan terhadap perkembangan aspek perisian iaitu meningkatkan kecemerlangan ilmu, inovasi dan kreativiti dalam proses pembelajaran dan pengajaran (P&P). Penambah-baikan akan dilaksanakan terhadap kurikulum dan kokurikulum di sekolah dalam melahirkan generasi seimbang dari segi perkembangan rohani dan jasmani. Mengupas isu meningkatkan infrastruktur pendidikan, ia tidak terhad kepada kemudahan luaran seperti membina lebih banyak sekolah tetapi kerajaan perlu melengkapkan guru dengan pelbagai kemahiran.

Dakwaan guru terpaksa melaksanakan tugas pengurusan dan pentadbiran memberi tekanan dan menjejas tumpuan mereka terhadap tanggungjawab hakiki sebagai pendidik. Apakah usaha kementerian untuk menanganinya?

Itu antara isu yang dikenal pasti kerana institusi pendidikan sendiri begitu kompleks. Guru bukan saja bertindak sebagai pendidik dan mengajar semata-mata malah pada masa sama, mereka juga bertugas sebagai pegawai disiplin, pegawai kebajikan dan penyelaras kokurikulum. Setiap kali kerajaan melaksanakan dasar baru, guru perlu melaksanakannya. Pelaksanaan itu termasuk menyediakan laporan dan proses penyediaan itu menambah tugas sedia ada. Kajian awal mengenai bebanan tugas guru menunjukkan pada 2005, lebih 16,000 guru dari 400 sekolah mendapati tugas dan tanggungjawab mereka meningkat berbanding 20 tahun lalu. Peningkatan itu adalah kesan penggubalan dasar, perubahan sistem dan bertambahnya jumlah mata pelajaran. Antara pendekatan yang dapat dilaksanakan kementerian dalam menangani masalah ini ialah mengambil lebih ramai guru dan kakitangan sokongan dalam memperkemaskan urusan sekolah.

Beberapa usaha dilaksanakan dengan mewujudkan jawatan kumpulan sokongan bagi membantu guru melaksanakan kerja pentadbiran, antaranya jawatan pembantu tadbir, pembantu makmal sains dan juruteknik di Pusat Kegiatan Guru. Selain itu juga, kementerian mewujudkan jawatan pembantu pengurus murid gred N17 di Kelas Pendidikan Khas dan murid prasekolah normal.

Sempena sambutan Hari Guru pertama sejak Tan Sri menerajui Kementerian Pelajaran, apakah insentif baru yang bakal diumumkan?

Setakat ini ia masih rahsia. Bagaimanapun ada beberapa perkara menarik bakal diumumkan sebagai usaha menyuntik semangat serta kesungguhan guru dalam mendidik anak bangsa, sekali gus meningkatkan martabat profesion keguruan agar terus disanjung. Ia juga mengambil kira pelbagai usaha lain, antaranya menyeimbangkan nisbah guru lelaki dan perempuan dalam kerjaya guru di negara ini. Setakat ini nisbah guru lelaki dan perempuan adalah sekitar 80:20 dan kita harus merapatkan jurang supaya tidak begitu ketara. Bagi menyeimbangkan peratusan itu, kementerian sedang mengenal pasti kaedah terbaik untuk menanganinya termasuk menyediakan insentif tambahan kepada golongan lelaki yang menyertai profesion ini. Langkah kerajaan bukan bertujuan memperkecilkan usaha wanita atas sumbangan mereka selama ini, namun perlu ada keseimbangan yang sesuai di antara guru lelaki dan perempuan.

Bagaimana Tan Sri melihat soal disiplin pelajar sekarang, apakah ia sudah sampai ke tahap membimbangkan?

Isu disiplin pelajar itu sendiri antara perkara besar yang harus ditangani segera. Setakat ini kita mempunyai hampir enam juta pelajar dan jika satu atau dua peratus daripada mereka terbabit dengan kegiatan tidak diingini pastinya ia memberi kesan kepada institusi pendidikan itu sendiri. Ia memerlukan perhatian serius. Dalam membentuk generasi ini, ia bukan tugas satu pihak semata-mata. Ibu bapa perlu bertindak pantas mengenal pasti kelemahan dan mengawasi anak masing-masing supaya pergerakan mereka dikawal. Begitu juga dengan peranan masyarakat yang harus memainkan peranan memastikan institusi masyarakat itu sempurna dan dilengkapi dengan pengisian rohani membentuk sahsiah. Usaha itu menuntut kepada kerjasama serta tanggungjawab yang perlu dilaksanakan semua pihak supaya setiap perlakuan sumbang dan salah laku anak-anak dapat ditegur dan diperbetulkan dari awal.

Apakah kementerian serius mahu melaksanakan kembali hukuman rotan terhadap pelajar?

Hal ini perlu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan tata cara betul mengikut prosedur. Jika diteliti, hal ini tidak sepatutnya menjadi isu besar, bagaimanapun pelaksanaan perlu berlandaskan kepada garis panduan khas. Ini perlu dibincangkan bagi mendapat persetujuan daripada banyak pihak antaranya persatuan ibu bapa dan guru (PIBG). Persetujuan itu penting kerana saya tidak mahu ada guru yang dihadapkan ke mahkamah gara-gara bertindak luar batas sedangkan pada awalnya niat mereka ikhlas untuk mengajar. Pendekatan mendisiplinkan pelajar kini lebih kepada kasih sayang dan berdiplomasi. Mungkin sesetengah ibu bapa tidak memberikan kasih sayang sewajarnya kepada anak masing-masing. Bagi menanganinya, semua pihak perlu melihat kepada falsafah pendidikan negara iaitu bukan hanya melahirkan pelajar yang cemerlang semata-mata kerana apa yang lebih penting ialah melahirkan generasi memiliki sahsiah mulia.

Apa komen Tan Sri terhadap dakwaan berleluasanya isu mat rempit mencerminkan sistem pendidikan kita gagal membentuk generasi berakhlak mulia?

Sebelum itu kita perlu lihat berapa ramai yang terbabit dengan gejala ini. Tidak dinafikan aktiviti negatif turut membabitkan masalah sosial lain seperti bohsia. Bagaimanapun ia perlu dilihat secara menyeluruh. Ia membabitkan pengawasan semua pihak termasuk faktor persekitaran yang menyebabkan berlaku kejadian sedemikian. Pendekatan menyeluruh diperlukan bagi menangani masalah ini kerana ia membabitkan banyak institusi iaitu keluarga, ibu bapa, pihak penguatkuasaan seperti polis serta pihak berkuasa tempatan selain anggota masyarakat seperti jiran dan pemimpin penduduk. Faktor persekitaran seperti kediaman tidak selesa dan sempit di bandar turut mendorong anak muda keluar selain kedangkalan minda mengenai kesan negatif tindakan mereka menyebabkan mereka mudah terpengaruh dalam gejala tidak sihat.

Bagaimana dengan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), adakah dasar ini akan diteruskan?

PPSMI masih dalam perbincangan. Sebelum sebarang keputusan dilaksanakan, ia akan diteliti dan diperhalusi kesannya kepada proses pembelajaran masa kini. Walaupun sudah tujuh perbincangan meja bulat dilaksanakan namun saya masih belum puas hati mengenai hasilnya. Walau apa pun keputusan yang bakal dibuat, sama ada diteruskan atau diganti dengan dasar lain, perkara yang lebih utama adalah mengenal pasti keupayaan kita mengenai penguasaan bahasa itu sendiri. Yang penting memperhalusi pelaksanaannya supaya tidak menjejaskan mana-mana pihak. Kepentingan anak bangsa harus diutamakan kerana masing-masing berdepan cabaran lebih besar bagi memenuhi pasaran kerja tempatan dan antarabangsa. Kementerian mengharapkan kajian menyeluruh dan berdasarkan fakta konkrit. Adakah ia benar-benar meningkatkan kefahaman murid dalam menguasai sesuatu mata pelajaran atau apakah penggunaan bahasa itu menyukarkan mereka menguasai mata pelajaran Sains dan Matematik seperti yang didakwa. Adakah kita mempunyai pilihan lain untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris tetapi pada masa sama, memudahkan murid memahami mata pelajaran Sains dan Matematik yang diajar dalam bahasa kebangsaan. Perkara ini perlu dilihat secara menyeluruh sebelum membuat sebarang keputusan sama ada mengekal atau meminda dasar sedia ada.

Setakat ini bagaimana perkembangan pengstrukturan semula dasar pendidikan negara daripada sistem berasaskan peperiksaan kepada penilaian berasaskan sekolah?

Sistem penilaian berasaskan sekolah akan dilaksanakan mulai tahun depan. Ia lebih kepada kaedah pendidikan seimbang dengan mengambil kira usaha membimbing secara menyeluruh. Kita tidak menyatakan kecemerlangan akademik itu tidak penting, sebaliknya apa yang ditekankan di sini ialah usaha melahirkan pelajar pintar, cerdik dan berkemahiran. Kami mengharapkan menerusi sistem ini, ibu bapa dan guru tidak hanya ghairah mengharapkan kecemerlangan akademik daripada pelajar, sebaliknya mereka perlu lebih rasional dalam menilai kecemerlangan setiap individu dalam pelbagai aspek. Mereka perlu cemerlang dalam akademik dan pada masa sama mempunyai kemahiran lain untuk meneruskan kelangsungan hidup yang membolehkan mereka membuat keputusan secara rasional berdasarkan kepada keadaan dan cabaran semasa
Minda Pengarang: Kenaikan kos di luar kawalan Tabung Haji


KRISIS kegawatan ekonomi global sudah masuk tahun kedua. Ketika krisis itu mula melanda tahun lalu, ada umat Islam di beberapa negara gagal menunaikan haji kerana kos yang meningkat secara mendadak. Bagaimanapun, bagi 27,000 jemaah haji kita yang menunaikan haji tahun lalu, mereka bernasib baik kerana kos mengerjakan haji tidak dinaikkan, bukan kerana Malaysia tidak terheret oleh fenomena global itu, tetapi berikutan kesediaan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) menanggung kos tambahan sebanyak RM2,350 bagi setiap jemaah. Tabung Haji memperuntukkan lebih RM75 juta daripada keuntungan pada tahun sebelumnya untuk menampung kos kenaikan tambang, penginapan dan makanan yang tidak dapat dielakkan. Pada 2007, Tabung Haji hanya membelanjakan RM36 juta sebagai bantuan menampung kekurangan perbelanjaan, termasuk membiayai kos kenaikan tambang jemaah akibat kenaikan harga minyak serta sewa penginapan yang tinggi. Tetapi bagi musim haji tahun ini, Tabung Haji terpaksa menaikkan juga kos berkenaan kepada RM9,980 seorang. Seperti dijelaskan oleh Tabung Haji dalam satu kenyataannya semalam, kenaikan minimum itu tidak dapat dielakkan berikutan peningkatan pelbagai kos, khususnya kos penginapan di Tanah Suci akibat kekurangan tempat penginapan disebabkan kerja-kerja pembesaran di sekitar Masjidil Haram yang menyebabkan beberapa hotel dan rumah penginapan bagi jemaah haji terpaksa dirobohkan. Keadaan ini menyebabkan kekurangan jumlah katil di kawasan berhampiran masjid, sekali gus menyebabkan harga bilik hotel di kawasan berkenaan meningkat. Kali terakhir kos menunaikan haji dinaikkan adalah pada 2002 iaitu dari RM8,585 kepada RM9,445. Bagaimanapun, pada musim haji 2004, bayaran haji itu dikurangkan lima peratus dan sejak itu jemaah haji kita hanya dikenakan RM8,973 saja.

Apapun, kita harus bersyukur kerana kesediaan serta pengorbanan Tabung Haji selama ini yang sanggup menyerapkan kenaikan kos dalam usaha untuk tidak menyebabkan kos mengerjakan haji terus meningkat. Sebagai contoh, bagi tahun ini saja anggaran kos haji bagi setiap jemaah adalah RM12,600. Ini bermakna, Tabung Haji perlu menampung sekurang-kurangnya RM70 juta bagi membolehkan bakal haji hanya membayar kos seperti ditetapkan, sekali gus mengurangkan beban mereka. Kita juga perlu menyedari bahawa Tabung Haji pada masa yang sama perlu menyediakan pelbagai kemudahan untuk keselesaan jemaah haji sama ada di Malaysia atau ketika di Arab Saudi, selain menanggung kos berkaitan persediaan jemaah haji sebelum menunaikan ibadat haji seperti bayaran penganjuran kursus haji bersiri, intensif dan perdana serta penyediaan buku panduan haji dan kos penghantaran petugas haji. Apa yang kita harapkan ialah Tabung Haji dapat terus berusaha menangani peningkatan kos ini, di samping meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kepada jemaah. Kita juga amat berharap Tabung Haji dapat mengkaji semula kos menunaikan haji ini untuk musim akan datang dan mengurangkannya jika keadaan semasa mengizinkan. Walaupun bayaran haji pada tahun ini meningkat, kita menyedari secara puratanya bayaran yang dikenakan kepada jemaah haji kita masih lagi yang terendah jika dibandingkan dengan kos yang perlu dibayar oleh jemaah dari negara lain di rantau ini.
Pendidikan berteras fitrah
FITRAH ciptaan manusia ialah menjadi hamba kepada Allah SAW. Berasaskankepada fitrah itu, maka umat Islam perlu membentuk jati diri berasaskankeimanan kepada-Nya. Dunia perlu dibangunkan berdasarkan perundangandan peraturan di dalam al-Quran dan hadis. Ilmu dan pendidikan yangsempurna berperanan penting dalam pembentukan jati diri umat Islam.

Belia dan agenda Satu Malaysia
HARIBelia diraikan pada 15 Mei setiap tahun. Pengiktirafan kepada beliaadalah penting kerana golongan ini bukan sahaja generasi pewaris tetapinadi dan indikator keadaan sesebuah negara. Maju atau mundur ekonominegara, perubahan nilai dan budaya, struktur pekerjaan dan konsepkenegaraan dicerminkan oleh generasi belia.

Realiti kebebasan media di Malaysia
KEBEBASAN adalah antara elemen penting dan fundamental bagi seluruhumat manusia. Elemen ini termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi ManusiaSejagat 1948. Ia dititikberatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB).

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
AWANGmengucapkan tahniah kepada pasukan polis kerana berjaya menumpaskan duakumpulan penjenayah warga asing yang berbahaya dalam tempoh tidaksampai seminggu.

Akhlak penentu kelangsungan tamadun bangsa
AKHLAKmulia merupakan unsur penting yang perlu ada dalam diri setiap umatIslam. Malah tujuan Nabi Muhammad SAW sebagai utusan Allah SWT adalahuntuk menyempurnakan akhlak mulia manusia.

Belajarlah sayangi negara
ANTARAyang teruk menjadi mangsa 'serangan' pakatan pembangkang terutama DAPdan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehingga saat ini ialah TimbalanSpeaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Hee Yit Foong.

Dakwaan rasuah dalam Pas jadi polemik blogger
PENDEDAHANKetua Majlis Ulama Pas, Datuk Mohamed Daud Iraqi berhubung wujudnyagejala rasuah dalam parti itu mendapat reaksi beberapa penulis blog,termasuk mereka yang cenderung propembangkang.




Minda Pengarang: Kerajaan tidak abai nasib pegawai kumpulan sokongan
KAKITANGANawam sekali lagi mendapat perkhabaran gembira apabila kerajaan semalammengumumkan kira-kira 176,066 pegawai kumpulan sokongan bagiperkhidmatan Persekutuan yang berkhidmat lebih 15 tahun dipertimbangkanuntuk kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP) mulai 1 Julaiini.

Gagasan PM ceriakan alam sekitar
PEPATAHMelayu menyebut bersatu teguh, bercerai roboh. Demikian kepentinganperpaduan dalam sesebuah keluarga, masyarakat, organisasi dan sesebuahnegara. Tanpa perpaduan sekurang-kurangnya dari segi aspirasi danwawasan, maka kita tidak dapat bersaing, apatah lagi mengangkasa bangsaMalaysia untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negaramaju.

Belia berwawasan bantu jayakan konsep 1Malaysia
BELIAadalah aset terpenting dalam sesebuah negara. Jatuh bangunnya sesebuahnegara pada masa depan, bergantung kepada peranan dimainkan golonganini. Tentunya kita sudah biasa mendengar ungkapan itu.
Pendidikan berteras fitrah

Oleh DR. SAODAH ABD. RAHMAN


FITRAH ciptaan manusia ialah menjadi hamba kepada Allah SAW. Berasaskan kepada fitrah itu, maka umat Islam perlu membentuk jati diri berasaskan keimanan kepada-Nya. Dunia perlu dibangunkan berdasarkan perundangan dan peraturan di dalam al-Quran dan hadis. Ilmu dan pendidikan yang sempurna berperanan penting dalam pembentukan jati diri umat Islam.

Ciptaan manusia adalah terlalu unik dan pelbagai. Ia bertujuan memudahkan manusia mengendalikan urusan hidup secara terurus bagi membangun dunia sebagai persinggahan yang indah sebelum ke alam akhirat.

Manusia mempunyai perbezaan dalam akal fikiran, perasaan dan cita rasa. Kepelbagaian ini menyebabkan manusia mempunyai perbezaan corak kehidupan dan minat.

Perbezaan dan kepelbagaian ini merupakan perancangan Ilahi. Oleh itu, umat Islam sepatutnya memahami bahawa mereka akan menjadi umat paling baik jika mereka mendidik dan mengasuh anak-anak berasaskan kepada fitrah manusia diciptakan.

Setiap anak yang dilahirkan dihiasi oleh Allah dengan bakat dan kebolehan tertentu. Bakat anugerah Allah itu jika dipupuk dan diasuh sebaik mungkin, akan menjadikan umat Islam menguasai pelbagai kepakaran. Ia merupakan asas pendidikan Islam.

Masyarakat Islam kadang-kala membuat kesilapan dalam penafsiran kebijaksanaan dan kepintaran kanak-kanak dan pelajar. Pencapaian akademik dalam bentuk kecemerlangan sewaktu peperiksaan sering ditafsirkan sebagai kebijaksanaan. Mereka yang gagal dalam peperiksaan dianggap sebagai "bodoh dan kurang berkemampuan".

Sedangkan tidak semua manusia yang dicipta itu mempunyai bakat yang sama. Ibu bapa dan guru-guru dapat memahami bakat kanak-kanak dengan melihat cara mereka berfikir, bertindak dan berbicara. Gelagat dan tingkah laku mereka perlu diteliti dan dikaji supaya bakat yang dimiliki oleh mereka diperkembangkan mengikut fitrah mereka diciptakan.

Kanak-kanak dan pelajar yang tidak berminat dan kurang berjaya dalam akademik tidak sepatutnya dipaksa menuntut ilmu yang tidak diminati oleh mereka kerana ia bertentangan dengan fitrah ciptaan mereka.

Penilaian kebolehan para pelajar perlu dilihat dalam bidang mata pelajaran yang diambil oleh mereka secara keseluruhan bukan hanya menekankan sesuatu bidang sahaja. Tindakan begini boleh membantutkan pelajar untuk mengembangkan bakat dan kepakaran yang dianugerahkan oleh Allah kepada mereka. Kesilapan dalam penilaian kebolehan para pelajar dalam ilmu pengetahuan merupakan faktor utama yang menyebabkan negara menghadapi krisis pengangguran, bertambahnya bilangan remaja berkeliaran sehingga terjerumus dalam gejala tidak bermoral.

Oleh itu, sistem pendidikan perlu berasaskan kepada dua aspek utama iaitu mendidik para pelajar memahami kehendak rohani dan fizikal. Pendidikan rohani secara teori dan praktikal membolehkan pelajar mengimbangkan jiwa dan pemikiran mereka apabila berada dalam kegelisahan, kekecewaan dan penderitaan. Mereka tidak akan menjadi liar dan melakukan sesuatu yang boleh membahayakan diri sendiri dan masyarakat. Pendidikan kerohanian boleh membentuk anak-anak dan pelajar menjadi mantap dan kental dalam mempertahankan prinsip hidup sebagai orang yang beriman dan mulia.

Pendidikan yang berasaskan kepada kehendak fizikal adalah berkaitan dengan kepelbagaian kepakaran dalam bidang ilmu sehinggalah kepada peringkat menjadi petani, nelayan dan buruh kasar. Para pelajar yang tidak berminat dalam bidang akademik, terkenal dengan kelasakan sepatutnya dimasukkan ke sekolah tentera dan polis sejak kanak-kanak lagi. Bakat lasak dan keberanian memberi gambaran kepada ibu bapa dan guru bahawa kanak-kanak ini akan menjadi wira dalam mempertahankan negara jika bakat dan minat mereka diasuh sejak kecil lagi. Bakat begini amat penting dalam latihan ketenteraan dan pertahanan negara.

Rasulullah SAW dan para sahabat amat prihatin mengasuh kanak-kanak, sama ada lelaki dan perempuan menjadi lasak dan berani. Menunggang kuda dan memanah merupakan satu latihan lasak yang diamalkan oleh Rasulullah dan para sahabat. Latihan begini boleh membentuk remaja lelaki dan wanita menjadi orang yang mempunyai jiwa kental dalam mempertahankan negara dan masyarakat.

Kementerian Pelajaran, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pertahanan perlu bekerjasama dalam mengembangkan bakat dan minat kanak-kanak dan remaja yang tidak berminat dalam bidang akademik.

Kanak-kanak dan pelajar dalam kategori ini sepatutnya diberi pendidikan dalam bentuk pergerakan fizikal, kemantapan mental dan kerohanian. Ilmu pengetahuan yang diajar kepada mereka adalah berkaitan dengan sejarah dunia, kepahlawanan dunia, strategi mempertahankan negara, politik dan seumpamanya. Ilmu-ilmu begini amat penting diserapkan ke dalam minda remaja dalam golongan ini kerana ia boleh membentuk mereka menjadi orang yang amat prihatin terhadap keselamatan masyarakat dan negara. Sekolah dan institusi melatih remaja dan lelaki dan wanita berkaitan dengan ilmu kepahlawanan amat penting bagi memperkukuhkan kedudukan politik dan keselamatan negara.

Kanak-kanak yang lemah dalam bidang akademik dan mempunyai personaliti yang agak pasif perlu diberi latihan dan pendidikan berkaitan dengan kemahiran pertukangan, jahitan, kesenian, pertanian dan ilmu-ilmu yang membolehkan mereka berdikari dan mencari nafkah hidup. Ia sekali gus membantu negara menonjolkan keindahan Islam melalui kreativiti mereka. Kanak-kanak dalam golongan ini dianugerahkan oleh Allah dengan bakat seni dan kehalusan yang mampu mengeluarkan barang-barang yang unik dan indah. Oleh itu usah diasak pemikiran mereka dengan ilmu-ilmu akademik yang tidak diminati dan dicapai oleh akal fikiran mereka.

Latihan dan proses memperkembangkan bakat perlu dilakukan ketika mereka di peringkat kanak-kanak dan remaja. Ilmu dalam perspektif Islam adalah luas dan merangkumi keseluruhan aspek kehidupan manusia. Kepelbagaian bakat dan minat merupakan satu bentuk ciptaan Allah. Ini kerana untuk membangun dan membina tamadun yang tinggi, manusia memerlukan kepelbagaian peranan dan kepakaran. Buruh juga memainkan peranan penting bagi menghasilkan pengukuhan bangunan dan pekerjaan yang memerlukan tenaga dan titik peluh. Oleh itu taraf dan status manusia di sisi Allah ialah ketaqwaan bukan wang dan pangkat.

Allah tidak menjadikan kesemua manusia mempunyai bakat menjadi pemimpin, sarjana dan kepakaran yang sama kerana jika ini merupakan fitrah ciptaan Allah maka dunia akan hancur kerana masing-masing berebutrebut untuk menjadi pemimpin dan menjawat jawatan tinggi.

Oleh itu sistem pendidikan negara sepatutnya dikaji semula supaya kanak-kanak yang nakal dan lasak tidak memilih jalan hidup menjadi pelumba haram di jalan raya kerana bakat dan keberanian mereka tidak disalurkan ke arah latihan dan pendidikan sejajar dengan "bakat" berkenaan.

PENULIS ialah Pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, UIAM
Belia dan agenda Satu Malaysia

Oleh DR. SAMSUDIN A. RAHIM


HARI Belia diraikan pada 15 Mei setiap tahun. Pengiktirafan kepada belia adalah penting kerana golongan ini bukan sahaja generasi pewaris tetapi nadi dan indikator keadaan sesebuah negara. Maju atau mundur ekonomi negara, perubahan nilai dan budaya, struktur pekerjaan dan konsep kenegaraan dicerminkan oleh generasi belia.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk membangunkan belia di negara ini, masih banyak isu membabitkan belia diketengahkan. Antaranya ialah keterpinggiran belia dalam sektor ekonomi, salah laku sosial dan tahap perpaduan di kalangan belia pelbagai kaum.

Pendekatan dan pengisian pembangunan belia perlukan perubahan. Selaras dengan perubahan kepimpinan negara dan juga untuk mengatasi kelemahan pendekatan lalu perlu difikirkan pendekatan dan pengisian daripada perspektif baru.

Satu cabaran yang memerlukan perspektif baru adalah bagaimana program pembangunan belia dapat merealisasikan gagasan Satu Malaysia.

Walaupun perpaduan kaum sentiasa menjadi tunggak matlamat pembangunan negara tetapi setelah lebih 50 tahun merdeka, isu perpaduan masih lagi belum dapat diatasi sepenuhnya. Kebelakangan ini, ikatan perpaduan antara kaum kelihatan semakin rapuh.

Kajian oleh Social Science Research Center-Youthsay di kalangan 4,500 belia pada April lalu mendapati, 35 peratus menyatakan rakyat lebih berpecah dan tidak bersatu. Sementara 24 peratus menyatakan rakyat lebih bersatu dan 36 peratus merasakan tahap perpaduan seperti biasa sahaja. Sejumlah sembilan peratus tidak memberikan pendapat.

Kajian itu mendapati 88 peratus belia setuju agar kita kurang menekankan aspek kaum atau etnik dalam wacana seharian. Apabila ditanya tentang konsep Satu Malaysia, 61 peratus menyokong gagasan itu.

Bermula dengan masyarakat majmuk sewaktu mencapai kemerdekaan, kita memulakan proses asimilasi dan seterusnya menuju ke arah integrasi sebagai bangsa Malaysia.

Adalah sukar untuk menjadi satu bangsa yang bersatu jika rakyat tidak dibentuk dalam acuan yang benar-benar diperlukan oleh negara. Sudah tiba masanya program pembangunan belia menekankan aspek pembangunan kewarganegaraan.

Ia berkisar kepada empat kategori iaitu kewarganegaraan sosial, politik, budaya dan ekonomi bersesuaian dengan hak warganegara. Kewarganegaraan tidak hanya boleh dilihat sebagai keahlian seseorang dalam sesebuah negara berdasarkan status kelahiran mereka.

Kewarganegaraan tidak perlu terbatas dengan hubungan negara dan warganya. Sebaliknya ia memerlukan peranan aktif warga untuk membawa perubahan dalam pelbagai dimensi hidup.

Di England satu suruhanjaya Youth Citizenship Commission ditubuhkan pada 2007. Ia bertujuan meningkatkan keterlibatan belia dalam proses demokrasi, melaksanakan pendidikan kewarganegaraan di kalangan kumpulan terpinggir, menggalakkan warga aktif melalui kerja komuniti dan sukarela, serta bagaimana sistem politik boleh mencerminkan cita rasa generasi masa kini.

Negara-negara Kesatuan Eropah juga melancarkan kertas putih New Impetus for European Youth pada 2001. Ia bertujuan menggalakkan kewarganegaraan aktif di kalangan generasi belia. Ini bermaksud melibatkan belia dalam penggunaan kemahiran dan keupayaan sosial, kognitif dan budaya dalam proses membuat keputusan dan pendidikan kewarganegaraan.

Apa yang perhatikan, kebanyakan program pembangunan belia tertumpu kepada aktiviti riadah dan sukan untuk mengisi masa lapang. Memang diakui aktiviti itu penting untuk menjamin tahap kesihatan. Tetapi di manakah program pembangunan yang mendidik belia untuk menjadi warganegara aktif, berpengetahuan dan bertanggungjawab?

Secara umum, kewarganegaraan melibatkan tiga perkara iaitu identiti, rasa diterima dan juga keterlibatan.

Identiti berkait dengan siapa kita. Sukar untuk tentukan identiti fizikal kerana kita berasal daripada pelbagai kaum. Kita ibarat rojak. Tetapi yang menjadikan rojak itu sedap adalah sos petis yang menggarap pelbagai ramuan rojak menjadi satu.

Selain identiti nasional, kita juga boleh mewujudkan identiti budaya. Ia boleh mengambil kira nilai-nilai seperti budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.

Nilai-nilai Satu Malaysia boleh mewujudkan warganegara yang mempunyai karakter nasional.

Kewarganegaraan juga melibatkan rasa diterima oleh orang lain. Setiap belia perlu merasa mereka diterima oleh masyarakat, persatuan dan majikan. Aspek penting dalam membentuk kewarganegaraan adalah keterlibatan. Ia mesti aktif dan efektif bukan setakat status sebagai ahli sesebuah negara sahaja.

Indeks Belia Malaysia 2008 menunjukkan, tahap keterlibatan belia dalam berpersatuan dan juga sosial politik masih di tahap rendah. Begitu juga dengan skor mengenai identiti.

Walaupun jutaan ringgit dilabur untuk pelbagai program pembangunan belia tetapi pencapaian terhadap intipati pembangunan kewarganegaraan di kalangan belia masih rendah.

Kelemahan itu berlaku kerana program pembangunan belia tidak begitu fokus. Ia tidak mempunyai visi yang jelas untuk dicapai dalam konteks pembangunan negara.

Sementara itu, kita juga perlu mempunyai sistem pemantauan yang akan menilai keberkesanan setiap program melahirkan hasil yang diperlukan. Sistem itu perlu memantau pencapaian dalam tiga domain utama itu identiti, rasa diterima dan keterlibatan dalam empat dimensi kewarganegaraan iaitu politik, sosial, budaya dan ekonomi.

Daripada segi struktur pula, mekanisme program pembangunan belia perlu dirombak dan disusun semula.

Adakah kepelbagaian bentuk persatuan belia yang ada sekarang ini sesuai untuk mencapai matlamat gagasan Satu Malaysia? Kita perlukan kepelbagaian daripada segi bentuk program dan aktiviti yang merangkumi aspek politik, ekonomi, budaya dan sosial.

Usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan kapasiti keupayaan sistem penyampaian program pembangunan belia agar mereka boleh melakukan transformasi ke arah Satu Malaysia secara efektif.

Program pembangunan belia tidak boleh lagi dilaksanakan melalui persatuan berbentuk kaum. Sasaran program tidak semestinya terbatas kepada keahlian dalam persatuan dan mereka yang ingin turut serta sahaja.

Pendidikan kewarganegaraan melalui program pembangunan belia haruslah mengambil kira untuk menyampaikan maklumat dan mendidik belia mengenai cabaran dalam bidang pekerjaan, peluang-peluang memajukan diri untuk masa depan, meningkatkan kemahiran dan kapasiti diri, menghayati kualiti kehidupan berkeluarga yang baik dan sebagainya.

Perpaduan antara pelbagai kaum tidak akan tercapai sekiranya generasi belia masih lagi dibelenggu dengan masalah-masalah peribadi. Perpaduan kaum juga mungkin tidak akan tercapai jika kita tidak mempunyai warganegara yang berkualiti dan aktif menunaikan tanggungjawab mereka.

Gagasan Satu Malaysia boleh dicapai jika generasi belia berusaha berjuang untuk masa depan dengan ciri kewarganegaraan satu bangsa, satu bahasa dan satu negara.

PENULIS ialah adalah Profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia dan mantan Ketua Pengawai Eksekutif, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia
Realiti kebebasan media di Malaysia

KEBEBASAN adalah antara elemen penting dan fundamental bagi seluruh umat manusia. Elemen ini termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948. Ia dititikberatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sesebuah negara yang demokratik juga memaktubkan aspek kebebasan dalam perlembagaannya. Contohnya, Groves (1978:27) menyatakan, Perlembagaan Persekutuan memaktubkan sembilan aspek hak dan kebebasan. Satu daripadanya adalah mengenai kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.

Bagaimanapun antara aspek kebebasan yang sering menjadi polemik dan dipolitikkan oleh sesetengah pihak di Malaysia adalah kebebasan akhbar.

Pihak-pihak terbabit melontarkan pelbagai tuduhan dan kecaman kononnya Malaysia tidak mengamalkan kebebasan akhbar. Mereka mendakwa kononnya Malaysia tidak mematuhi prinsip kebebasan yang termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.

Mereka juga memperbesar-besarkan ranking kebebasan akhbar Malaysia yang dikeluarkan oleh pelbagai pertubuhan antarabangsa untuk menyokong dakwaan kononnya Malaysia adalah negara yang tidak mesra akhbar dan menggunakannya semata-mata demi keselamatan rejimnya sahaja.

Anehnya, majoriti golongan yang mendakwa sebagai juara kebebasan akhbar di negara ini bukannya pengamal kewartawanan. Mereka juga bersuara dan berbicara mengenai isu tersebut bukan atas dasar profesionalisme.

Majoriti mereka adalah pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Mereka menggunakan isu kebebasan akhbar sebagai perkakas untuk mengecam kerajaan yang melaksanakan beberapa undang-undang yang matlamat utamanya adalah bagi memelihara nilai-nilai teras Malaysia yang berbilang keturunan. Mereka menggunakan isu kebebasan akhbar untuk memperolehi perbatuan siasah.

Konsep media dan akhbar

Media massa, terutamanya akhbar, tidak wujud berasingan daripada lain-lain institusi masyarakat. Ia merupakan bahagian penting dalam proses perubahan dan pemeliharaan sesebuah masyarakat (Ryan & Wentworth 1999:23). Menurut teori liberal, akhbar mempunyai empat fungsi utama, iaitu menyampaikan maklumat kepada masyarakat umum, memantau kerajaan, mendorong debat umum, dan menyalurkan pendapat umum.

Lain-lain fungsi tambahan adalah memupuk nilai-nilai utama yang dikongsikan oleh sesuatu masyarakat, membantu masyarakat menyesuaikan diri kepada perubahan, dan mendedahkan kemungkaran (Curran & Seaton, 2003: 346).

Dalam pada itu, istilah media massa pula tidak boleh didefinisikan dengan sejelas-jelasnya. Sesetengah media memang benar-benar bersifat media massa. Ini termasuklah radio, aktiviti rakaman, panggung wayang dan televisyen. Bagaimanapun, media massa lazimnya merujuk kepada radio, akhbar, televisyen dan media rakaman (Ryan & Wentworth, 1999:11).

Dalam konteks Malaysia, akhbar adalah apa-apa hasil penerbitan yang mengandungi berita, penerangan, laporan kejadian atau apa-apa pendapat, pemerhatian atau ulasan, berhubungan dengan apa-apa berita, penerangan atau kejadian, atau dengan apa-apa perkara lain, yang menarik minat orang ramai, atau apa-apa majalah, komik atau bentuk majalah berkala lain yang dicetak dalam apa-apa bahasa untuk dijual atau diedarkan dengan percuma pada lat-lat tempoh yang kerap atau tidak kerap, tetapi tidaklah termasuk apa-apa hasil penerbitan yang diterbitkan oleh atau untuk Kerajaan Persekutuan atau mana-mana Kerajaan Negeri atau Kerajaan Singapura (Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, 1984: Fasal 2).

Konsep kebebasan akhbar sejagat

Sebagaimana dinyatakan dalam pengenalan artikel ini, konsep kebebasan akhbar termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat yang diluluskan oleh PBB pada 10 Disember 1948. Artikel 19 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat menyatakan, setiap individu mempunyai hak kepada kebebasan bersuara dan pendapat.

Hak ini termasuklah kebebasan mempertahankan pendapat-pendapat tanpa gangguan. Ia juga merangkumi kebebasan memperoleh, menerima dan menyebarkan maklumat serta idea menerusi sebarang media tanpa mengira sempadan.

Artikel 29(2) deklarasi tersebut memaktubkan, dalam melaksanakan seluruh hak dan kebebasan, setiap individu adalah tertakluk kepada sekatan-sekatan yang ditentukan oleh undang-undang khusus.

Sekatan-sekatan itu adalah bagi memastikan keperluan-keperluan yang saksama terhadap moraliti, ketenteraman awam dan kesejahteraan umum di dalam suatu masyarakat yang demokratik.

Artikel 29(3) deklarasi berkenaan menegaskan, seluruh hak dan kebebasan tidak boleh mencanggahi seluruh matlamat dan prinsip PBB. Menurut Piagam PBB, antara matlamat dan prinsip PBB adalah pengamalan toleransi dan kehidupan bersama secara aman; bersatu memelihara keamanan dan keselamatan antarabangsa; menghapuskan seluruh ancaman kepada keamanan; pemansuhan tindakan-tindakan ganas; dan bertindak selaras dengan undang-undang antarabangsa untuk meleraikan persengketaan atau lain-lain tindakan yang menjejaskan keamanan.

Artikel 30 deklarasi yang sama pula memaktubkan, tiada peruntukan dalam Deklarasi yang boleh ditafsirkan sebagai menggambarkan sesebuah negara, kumpulan atau individu mempunyai hak untuk melakukan apa-apa kegiatan atau melakukan apa-apa tindakan yang bertujuan untuk menghancurkan seluruh hak dan kebebasan yang termaktub dalam deklarasi.

Huraian di atas membuktikan kebebasan akhbar yang dijamin oleh Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat adalah kebebasan yang terhad, bersyarat, mempunyai batas dan mempunyai sekatan. Hakikat ini kurang diketahui oleh masyarakat umum.

Ini kerana pihak-pihak yang mendakwa diri mereka sebagai juara kebebasan akhbar sengaja menyembunyikan fakta-fakta tersebut supaya masyarakat umum dapat dikelirukan bahawa kebebasan akhbar adalah kebebasan yang total dan tanpa batas atau sekatan.

Huraian tersebut juga membuktikan nilai-nilai teras sejagat yang dititikberatkan dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan oleh PBB adalah kesusilaan, kesejahteraan, ketenteraman, keamanan, keselamatan, kesaksamaan, toleransi, serta pemeliharaan hak dan kebebasan manusia daripada kemusnahan.

Ini bermakna seluruh anggota komuniti dunia wajar memelihara dan mempertahankan nilai-nilai teras sejagat atau universal core values ini supaya tidak terancam dan tergugat.

Hakikatnya demikian kerana ramai sarjana keselamatan antarabangsa berpendapat ancaman dan gugatan kepada nilai-nilai teras dunia atau nilai-nilai teras sesebuah negara memang boleh mengancam keselamatan serta menjejaskan kelangsungan sesebuah negara yang berdaulat dan merdeka.

Konsep kebebasan akhbar di Malaysia

Kebebasan akhbar di Malaysia tidak dimaktubkan secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Bagaimanapun, Fasal 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan memaktubkan bahawa tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4), tiap-tiap warganegara adalah berhak bebas bercakap dan mengeluarkan pendapat.

Bagaimanapun, Fasal 10 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan pula memaktubkan bahawa Parlimen boleh dengan undang-undang menggunakan ke atas hak-hak yang diberi oleh perenggan (a) Fasal (1), apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau mustahak demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, perhubungan persahabatan dengan negeri-negeri lain, ketenteraman awam untuk melindungi keistimewaan-keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Negeri atau untuk mengelakkan penghinaan terhadap mahkamah, fitnah, atau perbuatan mengapi-apikan supaya dilakukan sesuatu kesalahan.

Fasal 10(4) Perlembagaan Persekutuan pula memaktubkan bahawa pada mengenakan sekatan-sekatan demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam di bawah Fasal 10 (2) (a).

Parlimen boleh meluluskan undang-undang melarang perbuatan mempersoal apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang ditetapkan atau dilindungi oleh Bahagian 3, Perkara 152, 153 dan 181 berhubung dengan apa-apa jua melainkan berhubung dengan pelaksanaannya sebagaimana dinyatakan dalam undang-undang itu.

Bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan yang dimaksud di atas adalah mengenai kewarganegaraan. Perkara 152 mengenai Bahasa Kebangsaan, 153 mengenai perezaban kuota mengenai perkhidmatan, permit dan sebagainya untuk orang Melayu.

Hakikat sekatan terhadap kebebasan di Malaysia seperti di atas adalah selaras dengan Artikel 29(2) Artikel 29(3) dan Artikel 30 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.

Ia juga selari dengan matlamat serta prinsip PBB. Nilai-nilai teras di sebalik sekatan yang dikenakan oleh kerajaan Malaysia pula adalah keselamatan negara, ketenteraman awam, dan perpaduan rakyat.

Ini membuktikan bahawa sekatan-sekatan terhadap kebebasan akhbar di Malaysia adalah demi kepentingan negara dan majoriti rakyat jelatanya.

Konsep Kebebasan akhbar di Singapura

Kebebasan akhbar di Singapura adalah berasaskan falsafah kebebasan akhbar PAP selaku parti pemerintah. Oleh sebab itulah PAP menjadi determinen yang tunggal dan penting kepada perkembangan akhbar di Singapura. Falsafah berkenaan adalah berasaskan kenyataan Lee Kuan Yew di Perhimpunan Agung International Press Institute di Helsinki, Finland pada 9 Jun 1971.

Kuan Yew menyatakan: "freedom of the press, freedom of the news media, must be subordinated to the overriding needs of the integrity of Singapore, and to the primacy of purpose of an elected government."

Beliau juga menyatakan, Singapura mahu "the mass media to reinforce, not to undermine, the cultural values and social attitudes being inculcated in our schools and universities."

Nilai-nilai yang dimaksudkan adalah nilai-nilai multi rasialisme, toleransi agama dan menghormati hak-hak golongan minoriti.

PAP juga berpendapat, "the press may be separate and independent of the government but in no circumstances should it imagine itself as having an equal role or status. An elected government is ultimately the only institution with the legitimacy to represent public opinion and interpret the national interest. The press is unelected, and cannot be permitted to obstruct the government as it carries out its mandate."

Falsafah kebebasan akhbar ini direalisasikan menerusi undang-undang akhbar, terutamanya the Newspaper and Printing Presses Act. (presspedia.journalism.sg: diakses pada 8 Mei 2009).

Hakikat di atas membuktikan bahawa Singapura juga memberikan kebebasan akhbar secara bersyarat, berdasarkan kepada nilai-nilai terasnya, iaitu multirasialisme, toleransi agama dan perasaan hormat terhadap masyarakat minoriti. Amalan ini adalah selaras dengan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.

Menurut presspedia.journalism.sg, kebebasan akhbar di Singapura juga diberikan berasaskan agenda pembangunan negara dan tanggungjawab sosial. Menurut www.wikipedia.org (diakses pada 8 Mei 2009).

Oleh sebab itulah kerajaan Singapura tidak berasa malu terhadap ranking kebebasan akhbar yang rendah yang diberikan oleh sebuah NGO antarabangsa. Ini kerana republik itu mempunyai ranking yang tinggi di bidang kebebasan ekonomi dan kemakmuran.

Bahagian kedua rencana ini akan disiarkan esok.

DATUK RUHANIE AHMAD ialah bekas wartawan dan juga bekas Ahli Parlimen Parit Sulong
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

AWANG mengucapkan tahniah kepada pasukan polis kerana berjaya menumpaskan dua kumpulan penjenayah warga asing yang berbahaya dalam tempoh tidak sampai seminggu.

Lima anggota Geng Ipol mati ditembak di Selangor pada 10 Mei lalu dan kelmarin, lima anggota Geng Bonding menemui maut di Johor.

Kejayaan polis ini cukup bermakna ketika kejadian jenayah terutama samun bersenjata, pecah rumah dan ragut semakin berleluasa.

Suka atau tidak untuk diakui, jenayah sudah menjadi ancaman nombor satu negara. Rakyat semakin merasa tidak selamat dengan persekitaran yang ada pada hari ini.

Di mana silapnya? Itulah persoalan yang selalu menghantui rakyat.

Malaysia yang suatu ketika dulu dipuji kerana kurangnya kejadian jenayah kini menjadi antara negara yang dianggap ‘syurga’ penjenayah.

Isu tersebut turut menjadi bahan sinikal diplomat asing dan pelancong apabila bercakap tentang negara ini.

Atas sebab itu, Awang sangat berharap polis akan lebih agresif dan kreatif menangani gejala tersebut sebelum ia menjadi tidak terkawal.

Awang – Yakini polis.
Akhlak penentu kelangsungan tamadun bangsa

Oleh MUHAMMAD HISYAM MOHAMAD


AKHLAK mulia merupakan unsur penting yang perlu ada dalam diri setiap umat Islam. Malah tujuan Nabi Muhammad SAW sebagai utusan Allah SWT adalah untuk menyempurnakan akhlak mulia manusia.

Ia adalah cerminan kebersihan hati yang diterjemah menerusi tingkah laku pemiliknya. Jadi, jika seseorang itu beriman dan mengamalkan perintah Allah, maka akan timbullah sifat-sifat mulia dalam bentuk budi pekertinya.

Sebaliknya jika memiliki jiwa yang kotor, maka tingkah lakunya banyak dipengaruhi oleh hawa nafsu yang cenderung untuk melakukan perkara yang dilarang oleh agama.

Dewasa ini kita berdepan dengan segala macam kerenah dan musibah yang berpunca daripada kelunturan penghayatan akhlak yang mulia di kalangan anggota masyarakat. Daripada masalah buli di kalangan pelajar sekolah hinggalah kepada onar oleh mat-mat rempit. Dan daripada soal kerenah birokrasi penjawat bawahan hinggalah kepada masalah akhlak golongan atasan. Semua itu berpunca daripada kurang penghayatan serta pengamalan kepada akhlak Islamiah yang dibawa oleh Nabi SAW.

Dalam satu riwayat, Saidatina Aishah r.a pernah ditanya berkenaan akhlak Rasulullah. Jawapan oleh Umm al-Mukminin itu amat ringkas sekali. Namun ia mempunyai pengertian yang besar iaitu akhlak Rasulullah "adalah al-Quran".

Kitab suci itu adalah panduan hidup yang lengkap untuk manusia. Jadi apabila Aishah menjawab seperti itu, secara jelas menunjukkan unsur akhlak tidak boleh dipandang remeh.

Dalam hal ini juga, kita tidak menafikan peranan tradisi keilmuan yang tinggi dalam pembangunan tamadun bangsa. Malah sejarah membuktikan bahawa bangsa yang mempunyai budaya ilmu yang baik mampu mencapai kemajuan dan kecemerlangan dalam pelbagai bidang kehidupan. Sebagai contoh, bangsa Yunani purba serta umat Islam suatu ketika dahulu telah mencapai kegemilangan masing-masing menerusi penghayatan tradisi keilmuan yang tinggi.

Namun tradisi keilmuan semata-mata tanpa penekanan yang sewajarnya diberikan kepada soal penghayatan nilai-nilai murni tidak memungkinkan kegemilangan tadi dapat bertahan lama.

Masyarakat Yunani purba walaupun berilmu, namun gagal daripada segi penghayatan dan amalan. Mereka mengakui bahawa ilmu perlu selari dengan akhlak, namun daripada segi amalan adalah sebaliknya.

Begitu juga dengan tamadun Islam. Jatuh bangun tamaddun ini sepanjang sejarah lalu ada kaitan rapat dengan amalan ajaran agama. Asuhan dan didikan Rasulullah SAW yang menekankan unsur pengukuhan akidah, penghayatan budaya ilmu dan pembinaan sahsiah berjaya mengangkat masyarakat Arab jahiliah.

Mereka menerima ajaran Islam untuk membina empayar pemerintahan dan membangunkan satu peradaban yang jauh mengatasi tamadun bangsa lain yang sezaman dengannya.

Kelunturan terhadap pegangan agama dan nilai murni yang dianjurkan agama Islam terutama di kalangan pemimpin telah menghumban maruah bangsa ke tahap paling rendah. Paling menyedihkan apabila masyarakat Islam sendiri menolak Islam dalam sistem pemerintahan. Ini berlaku di Turki selepas kejatuhan empayar Othmaniah. Pemimpin Turki mengisytiharkan ia sebagai negara sekular yang tiada hubung kait dengan dunia Islam. Secara tidak langsung ia menafikan kepentingan unsur akidah dan peranan akhlak Islamiah dalam membangunkan bangsa dan negara.

Hasilnya, hari ini tiada sebuah pun negara Islam disenaraikan sebagai negara maju walaupun kaya dengan sumber alam. Sebaliknya negara-negara Islam atau majoriti penduduk Islam terkenal dengan ciri kemunduran, pergolakan siasah, kekacauan, rasuah, tadbir urus yang lemah dan sebagainya.

Ini juga boleh dilihat di kalangan umat Islam Malaysia. Perangkaan pada 2008 menunjukkan, 48.7 peratus atau 13.67 juta penduduk terdiri daripada kaum Melayu beragama Islam. Tetapi jumlah yang ramai bukan bukti menunjukkan masyarakat Islam di Malaysia menguasai pelbagai bidang.

Memang tidak dinafikan terdapat ramai tokoh Melayu Islam yang menyumbang kepada usaha pembangunan bangsa dan negara. Namun orang Melayu juga dilihat begitu menonjol menerusi salah laku yang tidak selaras dengan ajaran agama. Islam menganjurkan umatnya supaya mengamalkan akhlak yang mulia di dalam kehidupan harian.

Lihat saja gejala mat rempit, penagihan dadah, buang anak dan jenayah lain. Majoriti ialah orang Melayu beragama Islam.

Ilmu semata-mata tidak menjanjikan kejayaan yang dihasratkan. Justeru jika kita ingin melihat masyarakat Melayu membangun dalam erti kata sebenarnya dan mampu mempertahankan kemajuan itu, kita tidak boleh mengabaikan unsur pengamalan dan penghayatan akhlak. Ia perlu ada dalam setiap peringkat pembangunan modal insan dan pendidikan anak-anak.

Usaha ini tidak seharusnya terhad kepada peranan ibu bapa dan guru-guru sahaja. Ia perlu melibatkan anggota masyarakat dan juga pihak pembuat dasar. Kerjasama semua pihak amat perlu.

Di sini kita melihat gabung jalin di antara sistem pendidikan oleh ibu bapa dan guru dengan sistem pemantauan oleh jiran dan ahli masyarakat. Ia perlu diperkukuhkan dengan penguatkuasaan undang-undang bagi membantu memperkukuhkan penghayatan nilai murni dan akhlak mulia masyarakat.

PENULIS ialah Felo, Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial, IKIM
Belajarlah sayangi negara

ANTARA yang teruk menjadi mangsa 'serangan' pakatan pembangkang terutama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehingga saat ini ialah Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Hee Yit Foong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang itu mengaku beliau terpaksa 'menyembunyikan diri' kerana tidak tahan dengan budaya samseng oleh bekas rakan-rakannya.

Beliau dibenci kerana meninggalkan DAP untuk menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong Barisan Nasional.

Kebencian itu membara apabila Yit Foong memainkan peranan penting menyingkirkan V. Sivakumar sebagai Speaker dan membolehkan bekas ADUN Sungkai, Datuk R. Ganesan mengambil alih jawatan tersebut.

Keberaniannya membelakangkan kepentingan peribadi demi keharmonian negeri, bukan sahaja mengundang kebencian tetapi mewujudkan dendam.

"Ini adalah pilihan saya. Saya tidak akan menoleh ke belakang," tegas Yit Foong. Ia menjelaskan betapa beliau nekad untuk tidak bersekongkol dengan 'niat-niat tertentu' pakatan pembangkang.

Kini Yit Foong bukan sahaja dihina dan diancam "untuk mencederakannya", malah dituduh sengaja menggunakan penyembur lada hitam ketika kekecohan pada sidang DUN Perak 7 Mei lalu.

"Saya hanya mengambil penyembur lada hitam yang dibaling kepada saya tetapi bila saya pegang, mereka kata saya gunakan penyembur lada hitam. Kalau saya pegang handphone mungkin mereka akan kata saya pegang pistol," tegasnya.

Penyembur lada hitam itu tidak seharusnya menjadi isu. Tetapi untuk mengalihkan perhatian daripada isu sebenar, beberapa laporan polis telah dibuat oleh pihak pembangkang.

Namun perkara yang cuba disembunyikan oleh mereka bagaimanapun didedahkan oleh ADUN Hulu Kinta, Datuk Rusnah Kassim.

Katanya, beberapa ADUN pembangkang mematahkan mikrofon semata-mata untuk menghalang Yit Foong bercakap.

"Sekurang-kurangnya tiga mikrofon dipatahkan di depan kami. Bayangkan mereka sanggup bertindak begitu," tegasnya.

Dalam keadaan kecoh itu, ada juga di antara ADUN pembangkang yang mengambil kesempatan memeluk ADUN ADUN wanita BN.

Biarpun sikap ganas ADUN-ADUN DAP dan PKR ditonjolkan dengan jelas selama kira-kira lima jam sidang berlangsung, sesuatu yang agak luar biasa ialah sikap "berkecuali" ADUN-ADUN Pas.

Kecuali ADUN Pasir Panjang yang juga bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, yang lain hanya memerhati sahaja drama DAP dan PKR.

Paling kebudak-budakkan ialah sikap Sivakumar. ADUN Tronoh itu sanggup duduk selama hampir lima jam dan enggan meninggalkan kerusi Speaker kerana bimbang ia akan 'direbut' oleh Ganesan.

Bertitik tolak daripada kedudukan ini, kekecohan di Perak ketika ini sebenarnya bukanlah terlalu rumit untuk diselesaikan. Ia boleh diatasi

Pun begitu, ia hanya dapat dileraikan sekiranya semua pihak terutamanya pembangkang memahami bentuk sistem pentadbiran yang dipraktikkan.

Telah tiba masanya untuk kita belajar melepaskan sesuatu yang bukan hak dengan hati terbuka. Tiada guna terus mempertaruhkan masa depan negara dan rakyat. Sedarlah bahawa kedegilan dan kerakusan untuk memiliki kuasa hanya akan merosakkan sistem yang dipersetujui sejak sekian lama.

Tindakan itu juga akan mematikan semangat untuk memajukan bangsa. Sebagai rakyat, sama ada penyokong pembangkang atau kerajaan, kita perlu belajar menyayangi negara.

SITI MARIAM MD. ZAIN
Dakwaan rasuah dalam Pas jadi polemik blogger

Kelolaan LUKMAN ISMAIL
lukman@utusan.com.my


PENDEDAHAN Ketua Majlis Ulama Pas, Datuk Mohamed Daud Iraqi berhubung wujudnya gejala rasuah dalam parti itu mendapat reaksi beberapa penulis blog, termasuk mereka yang cenderung propembangkang.

Mohd. Sayuti Omar (msomelayu.blogspot.com) dalam tulisannya bertajuk Isyarat Penting Mengenai Rasuah Dalam Pas semalam berkata, Mohamed Daud tidak mungkin berbohong mengenai hal itu kerana beliau sangat tahu hukum membuat fitnah.

"Saya yakin 100 peratus Mohamed Daud ada bukti mengenai perkara itu. Kalau tidak masakan beliau berani menuturkannya.

"Tok Guru Nik Aziz sendiri rasanya tidak berani kerana beliau mempunyai perhitungan politik yang jauh ke depan berbanding dengan Mat Iraq yang lebih tulus,'' tulisnya merujuk kepada gelaran Mohamed Daud.

Malah penulis turut mendedahkan dua peristiwa sepanjang muktamar Pas kawasan baru-baru ini yang mempunyai unsur-unsur rasuah.

"Pertama, saya dengar ada beberapa kawasan Pas telah dihulurkan wang sebanyak RM5,000. Tujuan wang itu diberi ialah kononnya untuk membantu Pas kawasan berkenaan.

"Pemberian itu bagaimanapun ada syaratnya. Pas kawasan yang menerima wang itu hendaklah memanggil si pemberi wang untuk merasmikan mesyuarat Pas kawasan berkenaan atau mencalonkan orang itu untuk jawatan-jawatan tertentu,'' tulisnya.

Kata beliau, satu lagi kejadian ialah apabila terdapat individu tertentu yang menggunakan kedudukan dan kuasanya untuk mengugut ketua-ketua cawangan atau para perwakilan.

"Bentuk ugutan ialah sekiranya mereka tidak mengundi calon tertentu kemudahan yang parti anugerah akan ditarik balik,'' tulisnya.

Kata beliau, berdasarkan kepada kejadian-kejadian tersebut maka jelaslah elemen rasuah ketika pemilihan pemimpin parti Pas benar-benar berlaku tetapi ia belum diketengahkan lagi.

Muhammad Azli Shukri (azlishukri.blogspot.com) pula menulis, beliau agak sedih kerana beberapa perkara yang berlaku dalam Pas. Malah mula rasa hilang hormat kepada parti yang selama ini melaungkan kepimpinan ulama dan Islam.

Katanya, perkara itu ialah kerana wujud rasuah atau politik wang pada pemilihan kepimpinan Pas pada kali ini, seperti yang diakui oleh Mohamed Daud.

Selain itu beliau kecewa dengan isu penolakan konsep kerajaan perpaduan oleh Mursyidul Am parti, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Sebuah parti Islam tidak seharusnya mempunyai ahli yang mengamalkan politik wang. Yang jelas, ini adalah kesalahan Pas sendiri, tidak perlu menyalahkan orang lain.

"Pas pada hakikatnya lebih banyak menumpukan kepada politik berbanding dengan urusan dakwah.

" Pas lupa tanggungjawab mereka yang sebenarnya adalah berdakwah dan bukan merebut kuasa semata-mata,'' tulis penulis berusia 29 tahun itu.

Mengenai penolakan kerajaan perpaduan, penulis berkata, adalah tidak wajar mendesak UMNO menukar dasar kepada Islam terlebih dahulu sebelum Pas menerima UMNO kembali.

"Ini merupakan cakap orang yang tidak ikhlas. DAP dan PKR tidak ada dasar Islam pun, tetapi bagaimana Pas boleh percaya dan yakin kepada mereka?

"DAP menentang negara Islam dan PKR pula tiada pendirian yang jelas berhubung penubuhan negara Islam. Jadi bagaimana Pas boleh bekerjasama dengan mereka?'' soalnya.

Kamal Farsya (kamalfarsya.blogspot. com) semalam turut mengupas mengenai gejala rasuah dalam Pas seperti yang didedahkan itu.

Katanya, perebutan kuasa dalam Pas kini sangat ketara sehinggakan terdapat individu yang sanggup memberikan hadiah kepada perwakilan bagi mendapatkan sokongan.

"Rasuah memang wujud dalam Pas tetapi pemimpin mereka mentafsirkannya sebagai hadiah atau sumbangan.

"Bagi Pas, mereka akan menggunakan pelbagai kaedah untuk menutup amalan rasuah dalam parti mereka.

"Dalam Pas semua halal kerana bagi mereka ia hanya berupa sumbangan. Itulah tafsiran Pas,'' tulisnya.

Sementara itu Sofi Wahab (mutaligat.blogpsot.com) dalam tulisan bertajuk Benarkah apa yang didakwa oleh Ketua Ulama? masih belum dapat menerima hakikat itu.

Malah beliau menganggap kenyataan Mohamed Daud sebagai permainan media untuk memburuk-burukkan Pas.

"Saya ingin mengingatkan seluruh pemimpin dan ahli Pas supaya berhati-hati membuat kenyataan kerana media yang menjadi musuh utama kita sedang berusaha untuk menghancurkan Pas.

"Mereka mengutarakan berita-berita negatif supaya perpaduan di dalam Pas menjadi longgar dan kepercayaan rakyat kepada Pas terhakis,'' tulisnya.

Kupasan-kupasan yang dibuat oleh para penulis blog itu sekali gus menunjukkan terdapat polemik nyata mengenai isu rasuah di kalangan ahli dan pemimpin parti berasaskan Islam itu.

Ramai yang percaya dengan dakwaan itu tetapi tidak kurang yang skeptikal mengenainya.
Minda Pengarang: Kerajaan tidak abai nasib pegawai kumpulan sokongan


KAKITANGAN awam sekali lagi mendapat perkhabaran gembira apabila kerajaan semalam mengumumkan kira-kira 176,066 pegawai kumpulan sokongan bagi perkhidmatan Persekutuan yang berkhidmat lebih 15 tahun dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP) mulai 1 Julai ini. Pengumuman itu yang memang dinantikan oleh lebih 100,000 kakitangan dalam kumpulan terbabit sejak beberapa tahun lalu, sudah pasti menyuntik semangat baru kepada mereka. Kita tahu, sesetengah daripada kumpulan sokongan berkenaan sudah lama berkhidmat tetapi tidak merasai kenaikan pangkat berikutan had kategori jawatan mereka. Ada di antara mereka sudah berkhidmat dalam gred sama antara 20 hingga 30 tahun, tetapi sukar atau tidak boleh dinaikkan pangkat kerana jawatan yang disandang bukan jawatan kenaikan pangkat, kecualilah mereka melanjutkan pelajaran dan kemudian perlu memohon jawatan lebih tinggi yang sesuai dengan kelayakan akademik. Kita percaya keputusan itu akan turut diperluaskan kepada kakitangan Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun Persekutuan dan Negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan. Kumpulan sokongan adalah tulang belakang perkhidmatan awam yang nasib mereka sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan selama ini. Antara faedah kepada penjawat awam termasuk pegawai kumpulan sokongan sebelum ini ialah kenaikan gaji 35 peratus pada 2007, lanjutan umur persaraan daripada 56 ke 58 tahun, kadar kiraan pencen dipinda daripada 50 peratus gaji terakhir bagi perkhidmatan 25 tahun ke atas kepada 70 peratus gaji terakhir untuk perkhidmatan 30 tahun, Skim Elaun Kritikal sebanyak 10 peratus daripada gaji pokok, pencen terbitan iaitu kadar pencen susut 30 peratus selepas 12 setengah tahun bersara dipinda kepada pencen 100 peratus tanpa susut sehingga meninggal dunia dan diwarisi isteri atau anak.

Malah, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja diberi opsyen menjadi skim pencen kepada mereka selain cuti berbayar dinaikkan daripada 120 hari kepada 150 hari. Ini adalah satu penghargaan kepada khidmat cemerlang kakitangan awam selama ini serta membuktikan keprihatinan kerajaan meskipun berdepan keadaan ekonomi yang agak muram sekarang ini. Sebenarnya, gaji terendah kakitangan awam kini sudah mencecah RM649.15 sebulan berbanding RM480.85 sebulan sebelum ini, manakala pendapatan terendah dicampur elaun tetap lain ialah RM1,024.15 sebulan berbanding RM805.85 sebulan. Kita berharap keadaan itu akan turut menggalakkan pekerja sektor swasta, yang sesetengahnya kini terpaksa diberhentikan kerana tekanan keadaan ekonomi semasa untuk menyertai perkhidmatan awam seperti dikehendaki Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah kakitangan awam bukan saja perlu bersyukur dan berterima kasih, malah terus memberi khidmat yang sebaik mungkin. Bagi meningkatkan keupayaan mereka, setiap kementerian dan jabatan juga perlu memberi latihan semula kepada mereka seperti dilakukan majikan sektor swasta bagi mencapai nilai tambah ekonomi yang tinggi dalam situasi ekonomi yang agak lembap
Gagasan PM ceriakan alam sekitar
Oleh Zaini Ujang

PEPATAH Melayu menyebut bersatu teguh, bercerai roboh. Demikian kepentingan perpaduan dalam sesebuah keluarga, masyarakat, organisasi dan sesebuah negara. Tanpa perpaduan sekurang-kurangnya dari segi aspirasi dan wawasan, maka kita tidak dapat bersaing, apatah lagi mengangkasa bangsa Malaysia untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara maju.

Itulah barangkali latar suasana sehingga menyebabkan Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan slogan ‘1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ pada hari pelantikannya sebagai Perdana Menteri enam minggu lalu. ‘1Malaysia’ nampaknya sudah dikembangkan bukan sekadar slogan, malah menjadi gagasan mengenai perpaduan negara.

Dalam konteks Malaysia, isu perpaduan menjadi semakin rencam dan rumit disebabkan kepelbagaian kumpulan etnik dan agama. Kata perbidalan, banyak orang banyak ragam. Mahu tidak mahu, keragaman itu perlu dikembangkan secara positif dalam segala bidang sebagai suatu kepelbagaian yang mewarnakan pencapaian, bukan pertelingkahan apatah lagi permusuhan.

Dalam bidang pelestarian alam sekitar misalnya, gagasan 1Malaysia juga perlu dibina dan dihayati. Pada hemat saya, kesedaran dan komitmen untuk sama-sama berganding bahu melestarikan alam sekitar adalah satu aspirasi besar. Ketika ini aspirasi itu sudah bermula walaupun masih banyak ruang dipertingkatkan.

Dalam ruang pojok ini, saya sering menulis bahawa tahap kesedaran dan komitmen rakyat Malaysia memang sudah menyerlah tetapi perlu lebih menyeluruh ke tahap lebih tinggi. Buktinya, berdasarkan Indeks Prestasi Alam Sekitar (EPI) pada 2008, Malaysia berada pada kedudukan ke-26. Kedudukan itu lebih baik berbanding banyak negara maju seperti Amerika Syarikat, Belanda dan Australia disebabkan komitmen secara keseluruhan warga Malaysia khususnya dalam bidang keseimbangan ekosistem.

Hal sama juga ditunjukkan dari segi tapak ekologi global dengan 2.2 gha per kapita walaupun nilai itu lebih tinggi berbanding tapak ekologi lestari global pada tahap 1.9 gha per kapita (Global Fooprint Network, 2006). Pencapaian itu bergantung kepada komitmen warga Malaysia secara menyeluruh kepada pelestarian sejagat dan serantau.

Inisiatif perseorangan tidak banyak memberi kesan kepada keseimbangan ekosistem, apatah lagi untuk menjayakan gagasan besar seperti mengurangkan pemanasan suhu bumi dan pencemaran air. Di sinilah peranan gagasan 1Malaysia diperlukan. Pada hemat saya, 1Malaysia tidak boleh dibahas dalam konteks gagasan politik semata-mata untuk bersatu hati membina negara dan ‘menyejukkan’ iklim politik tempatan.

Malah, perlu juga diolah supaya turut berperanan menyejukkan iklim global dan menceriakan alam sekitar. Sehubungan itu, kita memerlukan sokongan dan komitmen setiap warga Malaysia untuk mengamalkan cara hidup lestari dalam setiap lapangan. Cara hidup lestari tidak akan terhasil jika minda tidak lestari.

Minda lestari bermakna memahami dan berusaha untuk menghayati nilai murni dan abadi mengenai kepentingan alam sekitar dan makhluk ciptaan Allah SWT yang hidup (biotik) atau sebaliknya (abiotik). Nilai berkenaan akan menjadi asas pemikiran untuk beramal dan komited memberi sumbangan dalam semua sektor supaya kepentingan sejagat, negara dan masyarakat lebih diutamakan, khususnya berkaitan dengan keseimbangan ekosistem.

Dalam sektor industri misalnya, 1Malaysia dihayati dengan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan proses penghasilan produk tidak mencemarkan alam sekitar yang boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan penduduk sekitar. Selain itu produk yang dihasilkan mestilah memenuhi ciri mesra alam supaya penggunaan sehinggalah pelupusannya tidak memudaratkan kesihatan awam.

Dari segi sosial, konsep 1Malaysia minda lestari boleh dihayati menerusi kerjasama penduduk setempat untuk bergotong-royong membersih kawasan supaya takungan air pembiakan nyamuk dimusnahkan, menanam pokok di sekitar kawasan perumahan, atau sekadar memastikan kawasan bersih tanpa sampah berserakan. Kerjasama ini nampak mudah dan santai tetapi besar kesan kepada keseimbangan ekosistem dan perpaduan masyarakat.

Selain itu, rakyat didahulukan dalam inisiatif pelestarian alam sekitar. Ketika ini banyak inisiatif dilaksanakan tetapi perlu dipertingkatkan secara berterusan dari segi kesihatan dan keselamatan awam, dan keseimbangan ekosistem. Hal ini ketara dalam kes membabitkan kelulusan projek pembinaan di tanah tinggi berisiko tinggi, perumahan awam di kawasan berisiko banjir dan guna tanah di kawasan tadahan air.

Selain itu, kepentingan rakyat juga perlu didahulukan dari segi rundingan tarif air dan tenaga elektrik yang mempunyai implikasi kepada penggunaan sumber asli yang juga perlu dilestarikan. Pada hemat saya, salah satu komitmen ‘rakyat didahulukan’ adalah dengan memperkenalkan cukai alam sekitar dalam pakej tarif air dan elektrik bagi memastikan tidak berlaku pembaziran dan penggunaan sumber asli dilestarikan membabitkan semua pihak, termasuk pengguna dan penyedia perkhidmatan.

Sejak awal 1970-an, Malaysia adalah antara negara terawal melaksanakan pelbagai langkah perundangan untuk mengurus alam sekitar menerusi penggubalan pelbagai akta seperti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Pindaan demi pindaan dilakukan secara berterusan untuk menangani perubahan dan perkembangan semasa, termasuk penggubalan Akta Perkhidmatan Pembetungan 1994 dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Kepelbagaian akta itu menunjukkan komitmen kerajaan dan inisiatif berterusan untuk menghayati minda dan cara hidup lestari. Namun demikian, masih banyak perkara yang perlu dilaksanakan, atau masih belum dilaksanakan dengan jayanya, seperti penguatkuasaan undang-undang dan kesedaran masyarakat. Dalam konteks ‘Pencapaian Diutamakan’, komitmen ini perlu diserlahkan dalam bentuk lebih sistematik dan terarah.

Sehubungan itu, saya mencadangkan agar kerajaan segera melaksanakan penilaian prestasi berasaskan EPI (environmental performance index atau indeks prestasi alam sekitar) yang diterima pakai secara global dan diperkenalkan Universiti Colombia dan Universiti Yale di Amerika Syarikat.

Sekadar makluman, UTM adalah universiti tempatan yang menjalin kerjasama dengan kedua-dua universiti ternama itu untuk memastikan EPI dapat dilaksana.

Saya percaya gagasan 1Malaysia boleh dikembangkan bagi menjana dinamisme memantapkan lagi pelestarian alam sekitar untuk kepentingan rakyat menerusi EPI sebagai petunjuk pencapaian secara lebih menyeluruh.



Prof Datuk Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)
Belia berwawasan bantu jayakan konsep 1Malaysia

Oleh Amirullah Andi Nur
arullah@bharian.com.my

BELIA adalah aset terpenting dalam sesebuah negara. Jatuh bangunnya sesebuah negara pada masa depan, bergantung kepada peranan dimainkan golongan ini. Tentunya kita sudah biasa mendengar ungkapan itu.

Justeru, sebagai menghargai sokongan serta sumbangan penting golongan ini kepada negara sejak lebih 51 tahun lalu, maka setiap tahun kerajaan meraikan mereka menerusi sambutan Hari dan Minggu Belia Negara yang tetapkan pada setiap 15 Mei, seperti pada hari ini.

Tahun ini, sambutan perhimpunan berpusat di Melaka, negeri yang kaya dengan sejarah dan paling aktif dengan aktiviti belia. Sambutan awal program ini sebenarnya sudah dilancarkan di Stadium Utama Kangar pada 3 Mei lalu. Bagaimanapun sempena perhimpunan hari ini, acara di Melaka bermula sejak 13 Mei lalu dan berakhir Ahad ini.

Sambutan yang dianjurkan bersama Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Belia Malaysia dan Bahagian Sahabat Belia, Jabatan Ketua Menteri Melaka itu, menyaksikan penganjuran pelbagai acara menarik. Antaranya Karnival Remaja, Festival Rekreasi dan Sukan Belia Kebangsaan serta Konvensyen Belia Kebangsaan.

Kemuncak sambutan tentunya, perasmian oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh. Perhimpunan kali ini bertemakan `Belia Berwawasan Penggerak Kejayaan'.

Dianggarkan kira-kira 20,000 pemimpin dan wakil pelbagai pertubuhan belia dari seluruh negara hadir pada majlis ini. Ketua Menteri Melaka yang juga Presiden Perhimpunan Belia Sedunia, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek serta Presiden Majlis Belia Malaysia, Datuk Shamsul Anuar Nasarah dijangka hadir.

Pada awalnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijadual merasmikan dan sekali gus menyampaikan amanat penting pada majlis ini. Namun beliau terpaksa membatalkannya pada saat akhir kerana menghadiri Sidang Kemuncak Inisiatif Segitiga Terumbu Karang (CTI) di Menado, Sulawesi Utara, Indonesia.

Tahun lalu, perhimpunan diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil yang dihadiri kira-kira 15,000 pemimpin dan wakil belia, mewakili pelbagai pertubuhan atau persatuan dari seluruh negara. Perasmian program bertemakan `Belia Cemerlang, Negara Terbilang' itu disempurnakan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sebagai imbasan, antara lain, dalam amanahnya yang terakhir sebagai Perdana Menteri, Abdullah mahu golongan belia di negara ini menanam sikap untuk sentiasa maju, hebat dan bersemangat tinggi agar dapat mencapai kejayaan dalam setiap bidang diceburi.

“Dengan sikap untuk sentiasa maju dan disertakan dengan ilmu atau kemahiran, belia akan mampu menghadapi saingan yang semakin mencabar. Kita tidak mahu belia tidak bekerja atau terbabit dalam kerja tidak berfaedah... kita mahu tenaga muda ini diperkasakan dan sama-sama membangunkan negara,” katanya.

Perhimpunan secara besar-besaran di Ballroom MITC, Melaka pada petang ini sememangnya sangat dinantikan pelbagai pihak, khususnya di kalangan pemimpin dan ahli belia sama ada di peringkat pusat, negeri atau daerah yang berkumpul di negeri kelahiran Hang Tuah itu sejak beberapa hari lalu.

Sejak mengambil alih kepemimpinan negara pada awal April lalu, tidak banyak diketahui mengenai hala tuju belia negara berlandaskan konsep ‘1Malaysia’ yang diperkenalkan Perdana Menteri. Malah pada peringkat kementerian sendiri, dikatakan belum ada pendekatan paling tepat mengenainya.

Apa lagi dengan pelbagai kes membabitkan golongan belia hari ini yang agak membimbangkan. Misalnya, terbaru, seramai 500 mat rempit dan pelumba kereta haram ditahan di Dataran Merdeka dalam operasi mencegah kegiatan lumba haram dan kesalahan lalu lintas.

Itu tidak termasuk kes berkaitan penyalahgunaan dadah, ragut, pecah rumah, curi kenderaan, gangsterisme, seks rambang atau sumbang mahram termasuk membabitkan remaja di peringkat sekolah yang kebelakangan ini banyak disiarkan media. Kes sebegini tentunya amat membimbangkan kita sebagai rakyat Malaysia.

Ahmad Shabery sebelum ini ada menyentuh konsep 1Malaysia ketika mewakili Timbalan Perdana Menteri melancarkan sambutan Hari dan Minggu Belia Negara 2009 di Kangar. Selepas majlis itu, beliau mengumumkan mengenai konsep ‘Satu Belia’.

Antara lain, beliau berkata, kejayaan konsep 1Malaysia sukar untuk dijayakan jika belia yang kini berjumlah kira-kira 12 juta, tidak bersatu. Bagi menjayakan konsep 1Malaysia, katanya, cara berfikir golongan muda juga perlu ditukar dan ia sepatutnya dimulakan pada peringkat sekolah rendah lagi.

“Belia seharusnya bersatu dan berfikir sebagai satu. Mereka mempunyai tanggungjawab lebih besar sebagai pelapis kepemimpinan negara pada masa depan. Kita patut mengajar mereka supaya menjadi warganegara yang mencintai dan mengasihi negara sebab mereka adalah mewakili masa depan.

“Sebab itu, konsep 1Malaysia yang diperkenalkan kerajaan akan menjadi realiti, malah mampu dicapai dengan cepat jika belia bersatu,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim ketika ditemui pada satu majlis di Melaka baru-baru ini berkata, amanat yang bakal disampaikan Muhyiddin pada petang ini sangat penting terutama kepada belia, bagi memahami apa yang ingin dibawakan pucuk pimpinan menerusi konsep 1Malaysia.

Katanya, ini adalah amanat sulung pucuk pimpinan negara kepada belia dalam satu acara yang menghimpunkan semua pemimpin belia, sejak kepemimpinan baru mengambil alih.

“Sebab itu, saya berharap, perhimpunan ini bakal menjadi titik pertemuan kepada seluruh kepemimpinan belia seluruh negara untuk memahami konsep 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri. Amanat ini penting untuk mengajak belia bergerak atas satu nada dan lebih penting, atas satu pemahaman.

“Selepas daripada itu, apabila mereka kembali ke tempat atau kawasan masing-masing, pemimpin atau wakil belia yang hadir ini akan membawa satu suara yang sama dan bukan lagi atas andaian serta pemahaman berbeza-beza. Belia perlu sepakat mencari jalan untuk sama-sama menjayakan konsep 1Malaysia ini,” katanya.

Setiausaha Agung Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Nizam Omar berkata, pertubuhan itu sememangnya menantikan amanat yang bakal disampaikan Timbalan Perdana Menteri terutama berkaitan konsep 1Malaysia.

“Kita berharap akan ada satu perkhabaran gembira disampaikan dalam amanat Timbalan Perdana Menteri nanti, sama ada untuk belia di kampung atau di bandar,” katanya.



Penulis ialah Ketua Biro Berita Harian, Melaka