Warisan, wawasan dan kewarasan

Warisan, wawasan dan kewarasan

oleh Zin Mahmud


Sempena hari ulang tahun penubuhan UMNO ke-63 pada 11 Mei lalu diperturunkan di sini suatu analisis terhadap pertubuhan itu sebagai sebuah parti warisan bagi orang Melayu, juga sebagai parti wawasan bagi negara Malaysia dan kewajaran untuk memiliki kewarasan dalam menghadapi cabaran-cabaran mendatang.

Hampir kesemua negara besar mempunyai parti warisan masing-masing. Apa yang dimaksudkan dengan parti warisan ialah parti yang telah berjaya menubuhkan negara masing-masing, baik dalam bentuk kemerdekaan mahupun dari segi pembinaan bangsa.

Contoh parti warisan ialah Parti Konservatif di Britain yang mengungkapkan rupa bentuk negaranya melalui aliran konservatisme. Begitu juga dengan Parti Republikan di Amerika Syarikat yang juga berpegang kepada aliran konservatisme dan seterusnya mencorak rupa bentuk negaranya.

Bagi India, Parti Kongres India telah memimpin bangsanya hingga mencapai kemerdekaan. Sementara di Pakistan, parti warisannya ialah Liga Muslim. Bagi China, parti warisannya ialah Parti Kebangsaan China atau Kuomintang yang kini kembali memerintah Taiwan setelah beberapa pilihan raya kalah kepada Parti Progresif Demokratik. Di Jepun, parti warisan ialah Parti Liberal Demokratik (LDP) yang mencorak rupa bentuk negara itu apabila ia mengamalkan demokrasi selepas Perang Dunia Kedua.

Berbanding parti-parti warisan lain, UMNO berjaya menjadi parti dominan dalam pemerintahan negara bagi jangka masa yang lama, beserta dengan kemampuan untuk terus mempertahankan identiti dan fahaman asalnya.

Daripada 63 tahun sejak penubuhannya, UMNO memperoleh kuasa bermula pilihan raya umum tahun 1955 dan secara berterusan dapat mempertahankan kuasanya, iaitu mencapai 55 tahun.

Tetapi sifat warisan yang ada pada UMNO jauh lebih lama dan mendalam berbanding dengan parti-parti lain di dunia. Ini kerana UMNO, walaupun mencabar penjajah British dan menuntut kemerdekaan daripadanya tetapi tidak menentang pemerintahan berdaulat yang sebenar bagi negara ini.

Sebaliknya perjuangan asas UMNO ialah untuk memulihkan kedaulatan pemerintahan warisan iaitu Raja-raja Melayu yang telah disingkirkan oleh British melalui gagasan Malayan Union.

Itu membezakan UMNO dengan parti-parti warisan yang lain. Banyak parti-parti warisan di negara lain ditubuhkan kerana menentang penjajahan bagi mencapai kemerdekaan. Umpamanya Parti Kongres India dan Parti Nasional Indonesia. Di China pula, Kuomintang ditubuhkan untuk menjatuhkan dinasti Ching dan menubuhkan sebuah republik.

0 comments: