Sichuan selepas setahun

Sichuan selepas setahun

Oleh Hafizahril Hamid


PADA Selasa lepas genap setahun peristiwa gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda wilayah Sichuan di barat daya China. Kejadian tersebut telah mengorbankan hampir 87,000 dan pusat gegaran tertumpu di daerah Wenchuan di Sichuan dan kekuatan gempanya telah menyebabkan bangunan-bangunan tinggi di seluruh China bergoyang.

Lebih malang lagi hampir 10 juta penduduk di wilayah itu hilang tempat kediaman dan lebih sejuta daripada mereka cedera akibat dari kejadian gempa bumi terburuk bagi negara itu dalam tempoh tiga dekad.

Gempa bumi itu, yang berlaku pada 2.28 petang (waktu sama di Malaysia) boleh dirasai sehingga di ibu negara Thailand, Bangkok, kira-kira 3,300 kilometer jauhnya ke barat daya China.

Lebih menyedihkan lagi bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, ratusan ribu mangsa gempa bumi itu kemudiannya terpaksa dipindahkan untuk mengelakkan ancaman tanah runtuh berpunca daripada hujan lebat dan banjir yang melanda kawasan tersebut hampir sebulan selepas kejadian gempa bumi itu.

Itu belum lagi kesan dari beberapa bencana susulan yang berlaku yang menambahkan lagi derita penduduk. Gempa bumi tersebut turut memusnahkan lereng-lereng bukit di kawasan bergunung-ganang yang memudahkan aliran banjir akibat dari hujan lebat. Gegaran kuat berterusan menyebabkan tebing runtuh dan banjir lumpur di Daerah Wenchuan, dan rumah-rumah yang rosak runtuh akibat gegaran itu.

Mengeruhkan lagi keadaan, 30 tasik terbentuk akibat tanah runtuh berikutan gempa bumi tersebut dengan tasik terbesar dikenali sebagai Tasik Tangjiashan menunggu masa untuk pecah.

Beratus-ratus anggota tentera bekerja sepanjang 24 jam membina terusan bagi Tasik Tangjiashan di wilayah Sichuan yang terbentuk di bahagian hulu bandar Beichuan dan telah menyekat aliran sungai.

Bertafakur

Bagi mengenang dan menghayati kemusnahan yang berlaku, satu majlis telah diadakan di Beijing dan juga di wilayah Sichuan. Presiden China, Hu Jintao mengetuai penduduk negara komunis itu untuk bertafakur selama seminit bagi memperingati bencana tersebut.

Beliau dan beberapa pemimpin lain meletakkan bunga kekwa putih sebagai simbol kesedihan di dinding peringatan dalam siaran langsung yang di kaca televisyen negara.

Sesungguhnya gempa bumi ini telah mengakibatkan kesan yang sangat tragis bukan sahaja kepada penduduk di Sichuan tetapi di seluruh China. Malah ramai lagi penduduk masih hilang selepas bencana yang meninggalkan parut emosi yang sangat dalam bagi penduduk.

Kesan psikologi sememangnya masih mendalam kepada kebanyakan penduduk kerana bukan sahaja rumah dan tanah pertanian musnah lebih menyayat hati ahli keluarga tercinta turut menjadi mangsa gempa bumi yang tidak mengenal mangsa itu.

Namun bagi penduduk kehidupan mesti diteruskan dan di sana sini kita boleh melihat kehidupan seharian penduduk telah semakin pulih seperti biasa. Kawasan perumahan, sekolah dan kilang telah dibina semula walaupun keseluruhan penduduk telah dipindahkan ke tempat lain.

Namun sebanyak mana usaha dilakukan, ia tidak akan mengubah hakikat bahawa kawasan itu sudah menjadi tanah perkuburan tanpa batu nisan.

Ini kerana hampir 18,000 orang masih disenaraikan sebagai hilang dan besar kemungkinan mereka ini mati tertimbus di bawah runtuhan dalam bencana alam paling dahsyat yang pernah melanda China sejak tiga dekad lalu.

Ramai yang beranggapan tempoh setahun yang berlalu mungkin cukup untuk memulihkan kesan yang berlaku akibat gempa tersebut tetapi hati penduduknya tetap terluka.

Bagaimanapun kini usaha pembinaan semula besar-besaran di wilayah Sichuan selepas genap setahun, membantu mengimbangi kesan bencana tersebut terhadap ekonomi negara ini dan membawa kemasukan pelaburan yang besar ke wilayah terbabit.

"Usaha pembangunan semula memberi kan hasil yang penting dan rakyat di kawasan bencana sedang membina semula kehidupan yang baru," kata Jintao dalam ucapan beliau selepas bendera China dikibarkan di situ.

Menurut penganalisis, rumah-rumah telah dibina semula dan pokok-pokok telah ditanam di barat daya Sichuan, melalui aktiviti yang dibiayai kerajaan, sekali gus melegakan wilayah tersebut daripada krisis kewangan global.

Malah gempa bumi itu dikatakan turut membantu melindungi ekonomi China ketika kebanyakan negara di dunia sedang berhadapan dengan pergolakan ekonomi dunia sekarang.

"Kerajaan bersungguh-sungguh membangunkan semula Sichuan, jadi aktiviti pelaburan semakin pulih, dan ia merupakan satu sumbangan positif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," kata penganalisis Sherman Chan, dari sebuah firma kajian Moody's Economy.com yang berpangkalan di Sydney.

kesan

Bagaimanapun ramai yang tidak bersetuju dengan kenyataan ini kerana kebanyakan penduduk dan kawasan yang terlibat merupakan satu wilayah yang miskin dan pembangunan yang di uar-uarkan tidak memberi kesan yang mendalam kepada ekonomi China.

"Ia adalah satu fakta yang sensitif, namun gempa bumi itu betul-betul melanda kawasan yang miskin. Kebanyakan daripada mangsa yang maut serta cedera memang sangat miskin.

"Daripada segi ekonomi secara keseluruhannya, kesan gempa bumi itu amat sedikit berbanding jika ia melanda bandar Chongqing atau kawasan-kawasan lain," kata pakar ekonomi, Mark Williams dari sebuah syarikat pakar runding, Capital Economics.

Sesungguhnya malapetaka ini benar-benar memberi kesan kepada penduduk di wilayah ini. Walaupun pelbagai bantuan dan insentif diberikan kerajaan terhadap penduduk yang menderita akibat kejadian ini namun ia masih belum memadai.

Trauma dan kesan yang dihadapi mereka bukannya sedikit. Mereka terpaksa melihat di depan mata bagaimana kemusnahan yang turut mengorbankan ahli keluarga mereka berlaku di depan mata.

Malah bagi mereka yang terselamat kejadian ini sememangnya sangat melukakan hati dan sanubari mereka. Walaupun bersyukur terselamat namun bagi mereka kesan yang terpaksa ditanggung mereka pastinya akan terus terpahat sehingga ke akhir hayat.

Kehidupan pastinya sangat sukar bagi mereka seperti mana yang dialami oleh penduduk Aceh yang menderita akibat kejadian Tsunami pada 2005 begitulah penderitaan mental dan fizikal yang dialami oleh penduduk Sichuan.

Bagi mereka pembangunan yang lengkap dan moden selepas kejadian itu tidak cukup untuk mengubati luka dan trauma yang berlaku namun sama ada suka atau tidak ia pastinya akan mengambil masa sebelum hakikat sebenar kejadian itu mampu mereka terima.

0 comments: