Wang rakyat, moral ahli Parlimen Britain

Wang rakyat, moral ahli Parlimen Britain

PARLIMEN Westminster sedang dilanda krisis gara-gara ada ahli Parlimen rakus membelanjakan wang rakyat.

Sistem Parlimen Britain membolehkan ahli Parlimennya menerima gaji tetap berserta elaun-elaun tertentu.

Gaji tetap mereka tidaklah terlalu tinggi, sekitar £65,000 (RM357,000) setahun. Selepas ditolak cukai pendapatan dan lain-lain potongan, gaji bulanan mereka mungkin menjadi sekitar £3,700 (RM20,350) sahaja.

Tetapi mereka menerima banyak elaun tambahan. Contohnya, mereka boleh menuntut sehingga £100,000 (RM550,000) setahun untuk menggaji pekerja, elaun perhubungan sehingga £10,000 (RM55,000) setahun, elaun perbelanjaan sehingga £22,000 (RM121,000) setahun, dan elaun penempatan sehingga £24,000 (RM132,000) setahun.

Ada lagi beberapa jenis elaun yang juga boleh mereka manfaatkan. Wakil rakyat yang menjawat jawatan rasmi pula ada yang mendapat gaji lebih tinggi. Secara kasarnya, gaji Perdana Menteri Britain ialah £195,000 (RM1.07 juta) setahun. Menteri-menteri Kabinet dan Speaker Dewan Rakyat pula mendapat gaji sebanyak £142,000 (RM781,000) setahun.

Pembangkang diiktiraf sebagai elemen penting dalam sistem Demokrasi Berparlimen di sini. Sikap ini mudah difahami kerana apa faedahnya Britain mempunyai Parlimen untuk mengimbangi kerajaan jika peranan pembangkang tidak dihargai?

Dengan pengiktirafan itu, maka Ketua Pembangkang mendapat gaji yang hampir sama dengan menteri Kabinet iaitu £142,000 (RM781,000) setahun. Ketua Whip Pembangkang pula mendapat gaji £104,000 (RM572,000) setahun.

Setelah ditolak cukai pendapatan dan lainlain, sebenarnya gaji ini tidaklah terlalu tinggi. Kerana itu tidak ada sesiapa yang mempersoalkan gaji wakil rakyat Britain.

Krisis yang sedang dihadapi sekarang ialah mengenai jumlah tuntutan perbelanjaan yang telah menjadi di luar kawalan.

Krisis ini bermula dengan pendedahan akhbar Daily Telegraph. Hampir tiga minggu berturut-turut pendedahan dibuat. Akhbar itu tidak memilih parti yang akan 'diserang' olehnya.

Perbelanjaan Perdana Menteri, Gordon Brown merupakan antara yang pertama didedahkan oleh akhbar tersebut. Antara lain, beliau dilaporkan menuntut sebanyak £650 (RM3,570) untuk makanan, £83 (RM456.5) untuk bil telefon, £1,403 (RM7,716.5) untuk membersihkan rumah, £90 (RM495) bagi membaiki rumah, dan £108 (RM594) sebagai sewa bulanan pakej televisyen satelit.

Seorang menteri kanan iaitu Menteri Kewangan, Alistair Darling, dilaporkan menuntut £2,000 (RM11,000) untuk membeli perabot, £2,000 lagi bagi membeli karpet baru, dan £300 (RM1,650) sebulan untuk makanan. Beliau juga menuntut £1,200 (RM6,600) untuk membayar cukai pintu kediamannya.

Ini tidak termasuk perbelanjaan yang jauh lebih besar untuk membayar kos rumah kedua mereka. Ada wakil rakyat yang menuntut puluhan ribu untuk kos itu. Setakat ini perbelanjaan lebih 200 orang wakil rakyat telah didedahkan. Dan dijangka lebih banyak lagi pendedahan akan dibuat kerana Britain mempunyai 646 orang wakil rakyat.

Krisis ini menjadi begitu serius sehingga Speaker Dewan Rakyat dipaksa meletak jawatan minggu lepas. Ini merupakan kali pertama sejak lebih 300 tahun Speaker dipaksa meletak jawatan. Ramai juga yang mengatakan satu-satunya cara untuk menyelesaikan krisis ini adalah dengan membubarkan Dewan Rakyat agar pilihan raya diadakan lebih awal untuk membolehkan mereka yang tidak beretika dikeluarkan.

Saya melihat ada beberapa perkara yang boleh kita pelajari daripada krisis di Britain ini.

Pertama, wang yang digunakan untuk menampung kos wakil-wakil rakyat sebenarnya adalah wang rakyat. Rakyat mesti mengambil tahu ke mana wang dibelanjakan. Membiarkan wakil-wakil rakyat membelanjakan wang rakyat sewenang-wenangnya merupakan satu sikap yang tidak bertanggungjawab.

Untuk mengelakkan kita menghadapi masalah yang sama, Parlimen kita juga mestilah telus. Penyata tahunan perlu dikeluarkan untuk menggariskan secara teliti jumlah perbelanjaan setiap ahli Parlimen yang dibayar dengan wang rakyat. Had perbelanjaan, gaji dan elaun setiap ahli Parlimen mesti dinyatakan dengan jelas.

Saya rasa keluarga diraja Britain lebih telus daripada wakil rakyat di sini. Akaun pendapatan dan perbelanjaan tahunan keluarga diraja Britain boleh diperolehi secara terbuka sejak beberapa tahun lalu. Mungkin institusi raja di Malaysia boleh mengorak langkah yang sama dan menunjukkan kepimpinan seperti yang dibuat oleh keluarga diraja Britain.

Pengajaran kedua yang boleh kita teladani ialah bagaimana wakil rakyat Britain begitu menghormati adab Dewan mereka. Sejak minggu pertama pendedahan dibuat, telah ada wakil rakyat yang mahu Speaker meletak jawatan. Kritikan terhadap Speaker memuncak pada minggu kedua. Malah seorang wakil rakyat berjaya mengumpul cukup tanda tangan untuk memulakan undi tidak percaya terhadap Speaker.

Tetapi walaupun wujud rasa tidak puas hati yang ketara terhadap Speaker, wakil-wakil rakyat Britain tetap berakhlak. Mereka mengikut prosedur Dewan dan tidak bertindak tanpa kebenaran Speaker.

Selagi Speaker tidak membenarkan undi tidak percaya dibahaskan, selagi itulah mereka menerima hakikat bahawa beliau memegang jawatan tertinggi dalam Dewan itu. Tidak ada sesiapa yang mencemar maruah Dewan dalam usaha menyingkirkan Speaker tersebut.

Satu lagi pengajaran penting ialah mengenai pentingnya urusan politik diselesaikan dalam Dewan. Walaupun krisis yang melanda Parlimen di sini amat serius, tidak ada ahli Parlimen yang mahu membawa kes ke mahkamah atau merujuk kepada Ratu Elizabeth II atau Putera Charles.

Ratu Elizabeth II dan Putera Charles dihormati dunia kerana mereka memisahkan diri daripada urusan politik harian. Tiada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Buckingham walaupun krisis politik teruk yang sedang melanda memberi kesan terhadap sistem pemerintahan di negara itu.

Rakyat Britain juga faham ketinggian dan kemuliaan institusi raja mereka. Tidak ada sesiapa pun mencadangkan agar kes itu dirujuk ke Istana Buckingham. Mungkin itulah rahsia kenapa penghormatan dan institusi raja Britain terus kekal selama ratusan tahun.

Wan Saiful Wan Jan ialah Ketua Pengarah Malaysia Think Tank yang kini menetap di London.

e-mel: wansaiful@malaysiathinktank.org

0 comments: