Misi Malaysia jadi pusat dagang, industri halal mampu direalisasi

Misi Malaysia jadi pusat dagang, industri halal mampu direalisasi
Oleh Jami’ah Shukri
jamia@bharian.com.my

MISI Malaysia menjadi pusat rujukan integriti halal dan mengembangkan industri pengeluaran serta dagangan makanan halal peringkat dunia bukan sesuatu yang mustahil memandangkan potensi besar dalam bidang itu pada peringkat global.

Dengan jumlah penduduk Islam dunia yang melebihi 1.8 bilion, pastinya pasaran berorientasikan produk penjagaan kesihatan, makanan halal serta perkhidmatan perdagangan serta perdagangan Islam mampu merealisasikan misi berkenaan.

Negara kita mempunyai kelebihan daya saing serta pelan induk bersepadu yang dirangka dengan penuh sistematik untuk menjadi hab bagi mempromosi, pengedaran dan pengeluaran pelbagai jenis makanan halal dan perkhidmatan.

Malah, Pelan Induk Perindustrian Ketiga (IMP3) dan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) memberi kemudahan kepada syarikat tempatan untuk meneroka pasaran baru di luar negara. Secara keseluruhan negara mempunyai perancangan bersepadu terhadap usaha membangunkan industri halal ke peringkat global.

Penganjuran setiap tahun Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas), sejak 2004 lalu adalah landasan terbaik menghimpun dan membuka peluang perniagaan antara negara Islam bagi mendapatkan sumber bekalan dan memperoleh produk halal berkualiti dunia.

Pada masa sama, penganjuran Mihas membina jaringan kerjasama strategik perdagangan antara pengusaha industri halal tempatan dengan antarabangsa .

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), yang diberi tanggungjawab menganjurkan misi Mihas serta mempromosi industri halal ke peringkat global melihat berlaku lonjakan mendadak setiap tahun menerusi penganjuran pameran itu.

Justeru, tradisi Mihas diteruskan lagi tahun ini dengan tema ‘Gabungan Halal Sedunia’ yang disertai lebih 1,000 peserta pengusaha tempatan dan luar negara diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade, Jalan Duta, mulai kelmarin hingga 10 Mei ini.

Cuma apa yang diharapkan suasana kegawatan ekonomi global ini tidak menjejaskan minat syarikat antarabangsa untuk menyertai pameran itu.

Pengarah Bahagian Produk dan Pembangunan Perkhidmatan Matrade, Wan Norma Wan Daud, berkata Mihas sudah dikenali dan popular sebagai pameran industri halal terbesar dunia yang menghimpunkan syarikat tempatan dan luar negara dalam satu bumbung.

Katanya, selepas enam tahun penganjurannya, ternyata Mihas memberikan peluang yang sangat baik kepada syarikat tempatan mempromosi produk dan perkhidmatan dalam pameran serta memperluaskan ke pasaran eksport kerana ia turut dikunjungi syarikat antarabangsa.

“Dari segi penyertaan, pada awal Mihas diadakan hanya kira-kira 300 syarikat menyertai pameran ini, tetapi ia meningkat lebih 600 syarikat tahun lalu. Dari segi jualan keseluruhan, sebanyak RM683.2 juta manakala RM2.02 bilion jualan diperoleh daripada rundingan antara syarikat tempatan dan luar negara.

“Dari segi pemadanan perniagaan, Matrade berjaya membawa masuk syarikat antarabangsa ke negara ini. Hanya 196 pembeli dicatatkan 2005 dan bertambah kepada 600 pembeli tahun lalu,” katanya. Tahun lalu, ia menarik penyertaan 545 pembeli yang mewakili 442 syarikat dari 57 negara.

Daripada jumlah itu, syarikat tempatan yang terbabit tahun lalu ialah 378 syarikat dengan memadankan bersama 545 pembeli dari luar negara dengan jualan keseluruhan RM2.02 bilion yang diperoleh menerusi Mihas.

Mihas mampu menjadi platfom kepada syarikat tempatan untuk mempromosi produk dan perkhidmatan tanpa perlu ke luar negara, sekali gus dapat menjimatkan perbelanjaan serta lebih ramai penyertaan dalam pameran itu.

Dalam hal ini, Mihas hanya perlu membawa syarikat yang terbabit dalam industri halal ke pameran Mihas bagi membolehkan mereka meneroka pasaran baru terhadap produk dan perkhidmatan syarikat tempatan menerusi pemadanan dan kerjasama bidang perniagaan.

“Dengan kaedah itu, ia dapat memberi peluang lebih besar kepada syarikat tempatan mendedahkan diri tanpa memerlukan perbelanjaan banyak.

“Kalau kita ingin bawa syarikat tempat dalam pameran di luar negara, pastinya memerlukan perbelanjaan tinggi dan tidak ramai yang dapat menyertainya. Oleh itu, dengan ada pameran ini, lebih banyak syarikat tempatan mempamerkan produk dan perkhidmatannya di negara ini. Ini dapat memberi pendedahan kepada syarikat tempatan,” katanya.

Apabila membincangkan mengenai halal ia merangkumi banyak perkara termasuk kosmetik, barangan perubatan dan perbankan Islam yang boleh diperoleh di dalam satu. Industri halal tidak terhad kepada industri pengeluaran dan pemprosesan makanan, malah merangkumi sektor perkhidmatan, seperti perbankan dan logistik.

Untuk mempromosi produk perlu memastikan ia mematuhi standard antarabangsa, tidak saja halal standard (menepati syariah) malah perlu dari segi kebersihan penyediaan serta pembungkusan selain berupaya menembusi pasaran global.

Kemampuan Malaysia sebagai hab halal tidak dinafikan dan mempunyai kekuatan dan landasan yang baik kerana sudah tersedia infrastruktur serta asas pengeluaran halal. Berdasarkan maklumat, sebanyak 361 syarikat mempunyai sijil halal untuk mengeksport pengeluaran makanan, farmaseutikal dan penjagaan kesihatan (103).

Selain itu, pembangunan industri halal itu turut meliputi perkhidmatan perdagangan, pengurusan Islam serta perbankan Islam. Jika dilihat daripada eksport produk halal ke negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) ia juga amat memberangsangkan iaitu mencatat RM2.09 bilion pada 2007 dan meningkat RM3.94 bilion tahun lalu - peningkatan 72 peratus.

Produk yang dieksport itu antara lain termasuk penyediaan bijiran, tepung, koko dan daging segar. Pada masa sama, semua pihak perlu mengambil kesempatan sempena Mihas ini untuk menyertai persidangan Penyelidikan Halal Dunia 2009 selama dua hari mulai semalam, bertujuan menyediakan landasan kepada saintis, penyelidik dan ahli akademik membincang serta bertukar idea mengenai penemuan penyelidikan baru, teknologi baru, isu dan cabaran industri halal global.

0 comments: