Jenayah ragut di KL membimbangkan

Jenayah ragut di KL membimbangkan


BEG tangan yang dibawa wanita seringkali menjadi tumpuan
peragut. - GAMBAR HIASAN



KUALA LUMPUR 6 Mei - Polis Kuala Lumpur baru-baru ini mendedahkan bahawa jenayah ragut di ibu kota meningkat 99 peratus dan ia merupakan satu fenomena yang perlu dipandang serius oleh masyarakat di negara ini.

Berdasarkan statistik yang diperoleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, sebanyak 1,915 kes ragut dilaporkan bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini berbanding 1,058 kes sepanjang tempoh yang sama tahun lalu.

Terdapat beberapa daerah yang meningkat kadar jenayahnya. Antaranya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, mencatatkan peningkatan sebanyak 170 kes kepada 269 pada tahun ini berbanding 99 kes pada tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah memberitahu, IPD Brickfields turut menunjukkan peningkatan yang banyak iaitu 110 kes pada tahun lalu kepada 322 kes bagi tahun 2009.

Menurutnya peningkatan juga berlaku bagi IPD Cheras yang mencatatkan kenaikan 244 kes daripada 80 kes tahun lalu kepada 324 kes tahun ini.

Bagaimanapun, bagi IPD Sentul ia menunjukkan penurunan sebanyak 63 kes daripada 239 tahun lalu kepada 176 kes tahun 2009.

Walaupun berlaku penurunan di kawasan Sentul, secara keseluruhannya jenayah ragut di sekitar ibu kota dilihat kritikal dan perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.

"Orang awam terutamanya wanita dilihat mudah menjadi mangsa ragut berikutan sikap mereka yang gemar memberi peluang.

"Peningkatan kes ragut ini dipercayai disebabkan sikap ingin memperoleh wang dengan cepat dan mudah," katanya.

Pihak polis kini giat menjalankan operasi bersepadu khas bagi mencegah jenayah di ibu kota termasuk jenayah ragut.

0 comments: