Liberalisasi langkah wajar perkukuh ekonomi

Liberalisasi langkah wajar perkukuh ekonomi
Oleh Datuk Rahman Sulaiman

KEPUTUSAN kerajaan meliberalisasikan sebanyak 27 sektor kecil perkhidmatan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini mendapat sambutan yang cukup positif, terutama di kalangan tokoh perniagaan, ahli ekonomi serta pengulas asing.

Mereka berpendapat langkah itu adalah tepat pada masanya ketika ekonomi Malaysia sedang menghadapi pelbagai cabaran dan saingan berikutan globalisasi dan krisis ekonomi serta kewangan yang dihadapi dunia sekarang.

Usaha itu juga dianggap selaras dengan matlamat kerajaan untuk melakukan pembaharuan dan perubahan struktur ekonomi negara yang antara lain bertujuan membangunkan sektor perkhidmatan sebagai satu peneraju utama pertumbuhan.

Begitupun, ada juga segelintir pihak yang melihat pengumuman berkenaan dengan penuh syak wasangka kononnya ia akan menjejaskan kepentingan Bumiputera dari segi pemegangan ekuiti dalam sektor kecil terbabit.

Ada pula pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja memutarbelitkan fakta untuk memberi gambaran, terutama kepada orang Melayu di luar bandar kononnya langkah diumumkan itu sebagai titik permulaan kepada satu usaha terancang untuk merampas hak orang Melayu dan Bumiputera dalam ekonomi.

Akibat daripada perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini, ramai juga orang Melayu berasa gelisah dan kurang senang, terutama apabila keputusan untuk meliberalisasi sektor kecil terbabit dikaitkan dengan pengenalan konsep 1Malaysia, liberalisasi sektor kewangan dan mungkin sektor lain yang akan turut dibuka nanti dari semasa ke semasa mengikut jadual ditetapkan untuk memenuhi komitmen Malaysia dalam pelbagai perjanjian antarabangsa.

Memang betul liberalisasi membawa implikasi pengecualian terhadap syarat pemilikan ekuiti 30 peratus untuk Bumiputera dalam sektor atau sektor kecil terbabit. Tetapi seperti yang sering dijelaskan Perdana Menteri, syarat pemilikan 30 peratus itu tidak akan membawa sebarang makna jika ia tidak dipenuhi atau kalau penyertaan Bumiputera hanya sekadar ‘sleeping partner’ tanpa sebarang penyertaan aktif dalam pengurusan atau hanya untuk setakat digunakan bagi ‘membuka pintu’ kepada kerajaan.

Dalam hubungan ini, penyertaan 10 peratus yang tulen adalah lebih baik untuk masa depan orang Melayu daripada penyertaan 30 peratus sebagai ‘sleeping partner’ yang tidak akan memberi sebarang kelebihan kepada orang Melayu dari segi memperoleh ilmu dan kemahiran.

Liberalisasi juga akan membolehkan peniaga Melayu yang berkemampuan, berdaya saing dan gigih memiliki lebih daripada 30 peratus penyertaan dalam sebarang usaha sama dengan pelabur asing.

Adalah jelas bahawa liberalisasi akan membuka peluang yang seluas-luasnya kepada peniaga Melayu yang tulen dan berdaya saing.

Golongan ini sebenarnya sudah ramai wujud di negara ini dan mereka mengalu-alukan langkah kerajaan itu. Apa pun, seperti yang Najib jelaskan, keputusan kerajaan memperkenalkan liberalisasi itu tidak bermakna kerajaan akan mengabaikan tanggungjawabnya membantu peniaga yang perlu bantuan.

Peniaga Melayu benar-benar serius dan perlukan bantuan akan tetap dibantu. Sebagai contoh, serentak dengan langkah meliberalisasikan 27 sektor kecil yang terbabit, kerajaan turut menubuhkan Dana Pembangunan Kapasiti untuk Sektor Perkhidmatan (SSCDF).

Dana berjumlah RM100 juta berkenaan yang bertujuan untuk mengurangkan impak liberalisasi kepada penyelia perkhidmatan tempatan akan digunakan untuk tujuan penerangan dan latihan, penambahbaikan dan modenisasi, akreditasi dan pembiayaan bagi tujuan penggabungan serta pengambilalihan.

Apa pun liberalisasi bukanlah sesuatu yang baru untuk Malaysia. Sebagai contoh, proses liberalisasi bagi sektor perkhidmatan saja, sudah bermula sejak 1995 lagi apabila Malaysia memberi komitmen untuk meliberalisasikan sektor berkenaan di Pusingan Uruguay di bawah Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) dan menerusi Perjanjian Rangka Kerja Asean bagi Perkhidmatan (Afas).

Di bawah perjanjian Asean itu, negara-negara anggota sudah membuat komitmen untuk meliberalisasikan sepenuhnya sektor perkhidmatan pada tahun 2015.

Berbalik kepada langkah meliberalisasikan 27 sektor kecil yang dipertikaikan sekarang, sebenarnya jika diteliti sektor terbabit satu persatu, sebahagian besar daripadanya tiada pun penyertaan Bumiputera atau bukan Bumiputera tempatan.

Sebahagian daripada senarai itu pula sudah pun diliberalisasikan sebelum ini. Ia termasuk sektor ICT, pusat pengagihan wilayah dan pusat pemerolehan antarabangsa. Untuk sektor kecil yang langsung tiada penyertaan tempatan, adalah lebih baik membukanya kepada penyertaan asing untuk dimajukan daripada hanya membiarkan potensinya diabaikan begitu saja.

Sebenarnya, liberalisasi membawa banyak keuntungan kepada negara. Antaranya ialah, ia membantu meningkatkan pelaburan asing, di samping menambah pengkhususan kemahiran dan teknologi. Ia juga menambah kapasiti baru dalam perkhidmatan, mengisi kekosongan dalam sektor kecil yang tidak wujud dalam negara serta membuka peluang untuk perniagaan usaha sama dalam dan luar negara.

Semua ini pada jangka panjangnya akan membantu usaha meningkatkan sumbangan sektor perkhidmatan terhadap pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Pada tahun lalu saja, sektor terbabit menyumbang 55 peratus kepada KDNK negara, 47.6 peratus daripadanya disumbangkan oleh perkhidmatan bukan kerajaan.

Sebagai perbandingan, bagi negara-negara maju, sumbangan sektor ini kepada KDNK adalah lebih 70 peratus. Di bawah Pelan Induk Perindustrian Ketiga (IMP3), Malaysia menyasarkan untuk sektor ini menyumbang sebanyak 60 peratus kepada KDNKnya menjelang 2020.

Adalah jelas bahawa negara tiada pilihan lain, melainkan memilih liberalisasi jika ia mahu beralih status daripada sebuah negara yang berpendapatan sederhana kepada negara berpendapatan tinggi.



Datuk Rahman Sulaiman ialah bekas Ketua Pengarang Bernama

0 comments: