Remaja, belia tercicir ganti pekerja asing

MELAKA: Putera Umno akan memastikan bidang pekerjaan dikuasai pekerja asing di negara ini dapat diisi puluhan ribu remaja dan belia tempatan yang tercicir dalam pelajaran dengan memberi mereka pekerjaan menerusi Program Skim Peluang Kedua.

Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata usaha berkenaan mampu mengatasi lambakan pekerja asing yang kini semakin membimbangkan kerajaan dan rakyat di negara ini.

"Dengan menyertai program berkenaan, golongan berkenaan berpeluang membantu kerajaan bagi mengatasi masalah lambakan pekerja asing.

"Putera Umno amat prihatin dengan masalah belia dan remaja yang gagal mendapatkan pekerjaan selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang kurang memuaskan," katanya selepas merasmikan Perkampungan Belia Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), di Kampung Semabok Dalam, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) yang juga Pengerusi Belia DMDI, Datuk Idris Haron, Pemangku Ketua Umno Kota Melaka, Datuk Latif Tamby Chik dan Ketua Pemuda Umno negeri, Ashakari Abu Noor.

Abdul Azeez berkata, beliau sendiri akan mengetuai sekumpulan petugas Putera Umno menjelajah semua 191 kawasan Parlimen di seluruh negara bagi mencari belia yang tercicir untuk ditawarkan pekerjaan dalam bidang tertentu.

0 comments: