ECER: RM360j bangun projek Tok Bali

PASIR PUTEH 12 Nov. - Kerajaan Pusat memperuntukkan RM360 juta bagi membangunkan tiga projek utama di Tok Bali dekat sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Datuk Kamaruddin Md. Nor berkata, pembangunan tersebut bertujuan menarik minat sektor swasta untuk melabur dalam projek berasaskan perikanan di bawah program Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Datuk Kamaruddin Md. Nor berkata, pembinaan Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bernilai RM200 juta dan jalan dari bandar ini ke Tok Bali bernilai RM60 juta sedang dilaksanakan.

Beliau berkata, di samping itu projek yang sedang dirancang ialah pembinaan Institut Kemahiran Mara (IKM) bagi jurusan marin dan kejuruteraan laut bernilai RM100 juta.

‘‘Beberapa tempat yang melibatkan kawasan seluas 20 hektar bagi pembinaan pusat kemahiran ini sedang dikenal pasti.

‘‘Ia bukan sahaja memusatkan kepada pembangunan infrastruktur tetapi mencakupi impak sampingan termasuk kemajuan perniagaan yang boleh diusahakan penduduk setempat,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Tekun Nasional (Tekun) Jajahan Pasir Puteh semalam.

Kamarudin berkata, antara kawasan yang sudah dikenal pasti ialah di Kampung Tasek dan di sekitar Pintu Kawalan Air Pasang Surut di Terusan Semerak.

Beliau berkata, IKM akan berfungsi melatih belia dalam bidang penyelenggaraan bot termasuk membaiki enjin dan kaedah menangkap ikan mengikut sistem moden dan kaedah maritim terkini.

0 comments: