Kes Nurin: 'Penjaga' simpan petunjuk

Suspek wanita warga Indonesia kerap pengsan masih ditahan di hospital

KUALA LUMPUR: Rumah sewa wanita Indonesia yang ditahan kelmarin bagi membantu siasatan kes penculikan dan pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin, 8, dipercayai menyimpan petunjuk penting untuk polis menyelesaikan kes berkenaan.

Difahamkan, polis sedang berusaha mencari lokasi rumah sewa wanita itu tetapi percaya ia terletak tidak jauh dari sebuah pasar raya besar di Bandar Baru Nilai, tempat wanita berkenaan bekerja dan ditahan.

Sumber memberitahu Berita Harian, polis yakin maklumat dan bukti yang diperoleh di rumah suspek itu nanti dapat membuka rahsia kepada misteri dan motif penahanan serta pembunuhan kejam kanak-kanak itu.


Beliau yakin alamat rumah wanita itu dapat diketahui sebaik saja suspek terbabit, yang kini ditahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) tetapi kini masih belum sedarkan diri, beransur pulih.

�Dia masih ditahan di PPUM dengan kawalan ketat polis. Seperti di mahkamah semalam, suspek selalu pengsan dan kita tidak pasti sama ada itu helahnya untuk mengelak daripada disoal siasat atau benar-benar sakit.

�Pegawai perubatan sedang memeriksa keadaannya untuk membolehkan polis menyoal siasatnya. Kita percaya dia mempunyai maklumat mengenai kes pembunuhan Nurin Jazlin, malah mengenali suspek utama yang ditahan di Shah Alam, sebelum ini,� katanya.

Wanita Indonesia berusia 23 tahun itu ditahan di sebuah pasar raya di Bandar Baru Nilai, kelmarin. Polis percaya dia bersubahat mengurung mangsa di rumahnya.

Suspek juga dipercayai menjaga makan minum Nurin Jazlin sepanjang tempoh kehilangannya selama 27 hari, iaitu sejak 20 Ogos lalu sebelum mayatnya ditemui dalam beg pakaian sukan berhampiran pejabat sebuah syarikat di Petaling Jaya, 17 September.

Wanita itu yang bekerja sebagai jurujual pakaian di pasar raya besar berkenaan, dipercayai mempunyai hubungan dengan suspek utama yang ditahan bersama tiga lagi lelaki yang berusia 27 hingga 33 tahun, termasuk abang iparnya, dalam tiga serbuan di Shah Alam, Khamis dan Jumaat lalu.

Sumber itu memberitahu, siasatan awal menunjukkan wanita terbabit tinggal berseorangan di rumah sewanya tetapi sering dikunjungi beberapa lelaki, namun tidak dipastikan sama ada meraka adalah suspek yang ditahan.

�Usaha mengeluarkan kad SIM telefon bimbit yang ditelan wanita itu juga sedang dilakukan petugas perubatan hospital. Kita mahu mendapatkan kad itu bagi membantu siasatan kerana dia disyaki menggunakan nombor berkenaan untuk menghubungi bapa mangsa sebelum ini.

�Sebaik proses ini berjaya, wanita itu akan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk ujian DNA,� katanya.

Sementara itu, Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijangka memperoleh hasil analisis imej wanita dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah kedai, tempat beg berisi mayat Nurin Jazlin ditemui, minggu ini.

Sumber berkata, salinan imej itu sedang dianalisis di Makmal Forensik Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat di Washington, bagi mendapatkan gambaran lebih jelas identiti wanita yang dirakam dalam CCTV terbabit.

�Kita juga yakin ujian terhadap tiga helai rambut yang ditemui pada mayat Nurin Jazlin juga akan dapat diketahui dalam minggu ini. Ujian Jabatan Kimia itu akan menentukan sama ada ia milik mangsa atau pembunuhnya,� katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, bapa Nurin, Jazimin Abdul Jalil, 33, berkata beliau sekeluarga masih belum dimaklumkan mengenai perkembangan siasatan kes itu termasuk tempat dia dibunuh.

�Saya tidak kisah di mana anak saya dibunuh tetapi saya mahu berjumpa dengan pembunuhnya. Saya mahu tahu mengapa dia bertindak kejam... di luar batas sebagai seorang manusia, mendera dan membunuh seorang kanak-kanak yang tidak berdaya,� katanya.

Pada masa sama, beliau sekeluarga berhasrat untuk berpindah ke rumah baru bagi melupakan segala kenangan pahit berkaitan pembunuhan anak perempuannya itu.

�Memang kami mahu pindah tetapi tidaklah dalam waktu terdekat. Biarlah kami mulakan hidup baru. Isteri saya selalu terbayang-bayang Nurin jazlin menjaga adik-adiknya,� katanya sambil memberitahu tidak mengenali suspek terbabit, termasuk wanita yang ditahan kelmarin.

0 comments: