Mustahil junta diguling -- * 20,000 askar kawal Yangon * Hampir 1,000 aktivis ditahan


ANGGOTA Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) mencukur rambut bagi menunjukkan sokongan dan kesungguhan mereka menentang junta tentera Myanmar ketika mengadakan tunjuk perasaan di depan kedutaan Myanmar di Seoul, Korea Selatan, semalam. – AP.
YANGON 30 Sept. – Lebih 20,000 askar dan anggota polis mengadakan kawalan ketat di bandar terbesar di Myanmar ini hari ini bagi memastikan penunjuk perasaan yang paling tegar pun tidak dapat berhimpun di jalan raya.

Penangkapan puluhan aktivis malam tadi turut melemahkan lagi pemberontakan bagi menamatkan pemerintahan diktator tentera sejak berdekad-dekad lalu.

Bilangan askar di bandar ini melonjak kepada kira-kira 20,000 orang selepas askar tambahan dibawa masuk malam tadi.

Keadaan itu adalah untuk memastikan hampir semua penunjuk perasaan tidak dapat berhimpun untuk memprotes, kata seorang diplomat Asia.

“Pasukan keselamatan mahu menunjukkan kekuatan mereka.

“Saya fikir peluang penunjuk perasaan untuk memasuki jalan raya dan menggembleng penyokong yang cukup ramai bagi menumbangkan junta adalah sifar,” kata diplomat itu.

Sami Buddha yang sebelum ini menerajui protes antijunta kebanyakannya dikurung di wat masing-masing.

Hari ini segelintir sami kelihatan merayau di sebuah kawasan kediaman untuk meminta derma seperti yang biasa mereka lakukan setiap pagi.

“Kami tidak akan memprotes lagi. Sebaliknya kami akan menjalankan bantahan secara aman.

“Kami penganut Buddha percaya dhamma (ajaran Buddha) akhirnya akan mengalahkan kejahatan,” kata seorang sami.

Mereka yang disyaki mengetuai atau menganjurkan protes minggu ini terus ditangkap, kata diplomat Asia itu dengan menganggarkan jumlah yang ditahan mencecah 1,000 orang.

Mereka menyertai kira-kira 1,100 lagi tahanan politik yang meringkuk di penjara lama sebelum pergolakan sekarang meletus.

Memandangkan penjara utama sudah sesak, aktivis kini ditahan di dalam bangunan universiti dan institusi pendidikan, kata diplomat tersebut.

Seorang penduduk melaporkan di laman blognya bahawa askar di pusat bandar Yangon memeriksa setiap beg.

“Mereka akan menangkap sesiapa yang didapati membawa kamera.

“Mereka menangkap sesiapa yang mereka syaki,” tulis penduduk berkenaan, Ko Hla.

– AP

0 comments: