Chong Wei juara Terbuka Jepun

BERITA HARIAN


KUALA LUMPUR – Lee Chong Wei mempamer kebangkitan hebat sejak kegagalan di Kejohanan Dunia apabila merangkul kejuaraan badminton Terbuka Jepun dengan membenam juara Olimpik, Taufik Hidayat pada perlawanan akhir semalam di Tokyo, semalam.

Selepas menumbangkan juara dunia dua kali, Lin Dan di separuh akhir kelmarin, jaguh nombor satu negara itu berhempas pulas dalam pertarungan satu jam lima minit sebelum menundukkan bintang Indonesia, Taufik 22-20, 19-21, 21-19.

Chong Wei, 25, merupakan pemain Malaysia kedua berjaya memenangi gelaran perseorangan lelaki Terbuka Jepun selepas Mohd. Roslin Hashim melakukannya buat kali pertama pada 2001.

Malah, ini juga merupakan kejuaraan keempat buat Malaysia sejak kejohanan ini diperkenalkan pada 1984 selepas pasangan Razif Sidek-Jalani Sidek menang pada 1986, diikuti oleh Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock pada 1998.

Kemenangan ini juga memberikan kejuaraan antarabangsa ketiga buat Chong Wei sepanjang 2007 selepas turut menjuarai Terbuka Indonesia (Mei) dan Filipina (Julai).

Ia sekali gus menebus kekecewaannya yang tersungkur seawal pusingan ketiga Kejohanan Dunia di Stadium Putra, Bukit Jalil, bulan lalu setelah dikecewakan oleh rakan senegara Taufik, Sony Dwi Kuncoro.

“Adalah menjadi impian saya untuk merangkul kejuaraan Olimpik, dunia, Seluruh England dan Terbuka Jepun, jadi saya sangat gembira kerana berjaya memenangi salah satu daripadanya hari ini.

“Ini mungkin hanya satu permulaan untuk saya memburu kejuaraan yang lebih besar selepas ini, terutama ketika Sukan Olimpik di Beijing menanti tahun depan,’’ kata Chong Wei.

Dalam perlawanan semalam, pemain nombor empat dunia itu menguasai gelanggang dengan baik dan sering mengutip mata menerusi smash kencang untuk mengatasi permainan drop yang menjadi senjata Taufik.

Chong Wei, 25, juga memaksa Taufik menyelamatkan lima mata perlawanan di set penentuan sebelum mengesahkan kejuaraan selepas mengharungi 65 minit perlawanan.

Pada set pembukaan, Chong Wei dipaksa menyelamatkan mata set selepas ketinggalan 19-20, sebelum bangkit dengan kemenangan 22-20.

Taufik pula bermain lebih baik pada set kedua dengan bangkit daripada ketinggalan enam mata untuk mengutip lapan mata berturut-turut, dan mendahului 17-15 sebelum menamatkan saingan dengan 21-19.

Chong Wei, pemenang pingat emas Sukan Komanwel lebih banyak mendominasi saingan akhir dengan mendahului 15-8 pada set ketiga sebelum melakukan smash untuk menamatkan saingan.

Kemenangan ini membolehkan bekas pemain nombor satu dunia itu membawa pulang hadiah lumayan AS$16,000 (RM54,400), sementara Taufik meraih AS$6,400 (RM21,760).

“Dia (Taufik) adalah pemain hebat yang telah memenangi kejuaraan Olimpik dan dunia. Hari ini saya turun sebagai pencabar terkuat, dan saya hanya mengikut rentak permainan sendiri.

“Apabila dia berjaya mengejar di akhir set ketiga pada kedudukan 20-19, saya cuba menenangkan diri dan menanti dia melakukan kesilapan,’’ kata Chong Wei, yang memperbaiki rekod pertemuannya dengan Taufik kepada 3-4.

Sementara itu, pemain Denmark, Tine Rasmussen melakar kejutan terbesar pada pusingan kelapan kejohanan Siri Super itu apabila menumpaskan bekas juara dunia dua kali, Xie Xingfang dari China 21-17, 21-15 untuk muncul juara perseorangan wanita.

“Saya tidak langsung memikirkan tentang menang atau kalah ketika memasuki gelanggang kerana sedar saya bakal berdepan lawan yang hebat.

“Jika kalah sekali pun saya tetap gembira kerana telah melayakkan diri ke akhir,’’ kata Rasmussen, yang mengejutkan juara Eropah, Xu Huaiwen (Jerman), juara Asia, Jiang Yanjiao (China), pemain nombor satu dunia, Zhang Ning (China) dan Lu Lan (China) dalam laluan ke final.

Rasmussen membawa pulang hadiah kemenangan AS$13,800 (RM46,920) dan pemain nombor dua dunia, Xingfang meraih AS$5,520 (RM18,768).

Pasangan berpengalaman Indonesia/Amerika Syarikat, Candra Wijaya-Tony Gunawan mempertahankan kejuaraan beregu lelaki selepas menundukkan pasangan Indonesia, Luluk Hadiyanto-Alvent Yulianto 21-18, 21-17.

Kejuaraan beregu wanita pula milik Yang Wei-Zhang Jiewen dari China yang menang 21-17, 21-5 ke atas rakan senegara, Zhao Tingting-Yu Wang.

Pasangan nombor satu dunia, Zheng Bo-Gao Ling dari China pula menundukkan juara baru dunia, Nova Widianto-Lilyana Natsir dari Indonesia 21-19, 21-14 untuk muncul juara beregu campuran.





0 comments: