BN dapat mandat baru di Sarawak


WAJAH KERIANGAN: Abdul Taib bersama timbalannya,
Tan Sri Alfred Jabu Numpang (kiri) dan Menteri Perumahan
Sarawak, Datuk Seri Abang Johari Tun Haji Openg
meraikan kemenangan BN di kediaman Ketua Menteri,
di Kuching, semalam.

KUCHING: Barisan Nasional (BN) sekali lagi diberi mandat memerintah Sarawak apabila mendapat kemenangan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya negeri kesembilan semalam.

BN memenangi 62 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk dua dimenangi tanpa bertanding pada hari penamaan calon 9 Mei lalu.

Kekalahan sembilan kerusi BN kali ini adalah yang kedua terbesar selepas tewas 20 kerusi daripada 48 kerusi pada pilihan raya negeri 1987.

Daripada sembilan kerusi yang jatuh ke tangan pembangkang semalam, enam diperoleh DAP serta masing-masing satu oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan Bebas.

Ini adalah pertama kali PKR, yang bertanding di 25 kawasan menang di Sarawak.

Bagaimanapun, Pas yang meletakkan calon tunggal di Beting Maro di bahagian Sri Aman, sekali lagi gagal.

Semua 18 calon Parti Kongres Dayak Malaysia (MDC) yang bertanding atas tiket SNAP selepas parti baru itu gagal didaftarkan, juga tewas.

Pada pilihan raya negeri 2001, BN Sarawak yang dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), menang 60 daripada 62 kerusi.

Bagaimanapun, berikutan persempadanan semula kawasan, Sarawak kini mempunyai 71 kerusi. Pada pilihan raya negeri kali ini, PBB diperuntukkan 35 kerusi, SUPP (19), PRS (sembilan) dan SPDP (lapan).

Selepas keputusan akhir diumumkan pada jam 10.50 malam, PBB dan SPDP menang semua kerusi yang ditandingi, manakala SUPP (11) dan PRS (lapan).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengisytiharkan kejayaan BN membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah pada jam 8.35 malam tadi dan lima minit selepas itu, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengumumkan pembentukan kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.

Pilihan raya kali ini adalah yang keenam diketuai Abdul Taib yang juga Pengerusi BN Negeri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerusi perbualan telefon dari Sharm El-Sheikh, Mesir, mengucapkan tahniah kepada Abdul Taib dan BN Sarawak atas kemenangan itu.

“Kemenangan itu membolehkan BN mengurus dan memberi khidmat kepada rakyat Sarawak,” katanya sambil meminta BN Sarawak mengkaji sebab kekalahannya di kawasan bandar.

Beliau dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengenai keputusan pilihan raya itu menerusi perbualan telefon yang disiarkan RTM.

Abdul Taib, yang menyambut hari lahirnya ke-71 hari ini, mengekalkan kerusi Balingian yang diwakilinya sejak 2001, setelah menewaskan pencabar tunggalnya, Ibrahim Bayau dari PKR dengan majoriti 5,726 undi.

Seramai 60 peratus daripada 859,051 pemilih mengundi dengan keputusan pertama diumumkan pada jam 5.40 petang membabitkan kawasan Krian yang dimenangi calon BN, Datuk Peter Nyarok Entrie daripada SPDP.

FAKTA NOMBOR
Kerusi dimenangi

62 - BN
6 - DAP
1 - SNAP, PKR, Bebas

BERITA HARIAN

0 comments: