BN kembali berkuasa -- Pembangkang buat kejutan besar menang 9 kerusi

Oleh ZULKIFLI JALIL, BORHAN ABU SAMAH, MUSTAFA KAMAL BASRI, SAYED HESHAM IDRIS dan ABD. HALIM HADI

KUCHING 20 Mei - Barisan Nasional (BN) memperoleh semula mandat apabila memenangi 62 daripada 71 kerusi untuk kembali memerintah Sarawak pada pilihan raya negeri kesembilan hari ini.

Pembangkang bagaimanapun membuat kejutan besar dalam tempoh 19 tahun dengan meraih sembilan kerusi berbanding hanya dua pada pilihan raya negeri 2001. Pada 1987, pembangkang memenangi 20 kerusi, berbanding 28 BN.

Pembangkang menang di Pending, Batu Lintang, Kota Sentosa, Bukit Assek, Kidurong, Meradong, Padungan, Engkilili manakala seorang calon Bebas di Ngemah.

Daripada sembilan kerusi itu, parti komponen BN, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) hilang lapan daripada 19 kerusi yang ditandingi manakala Parti Rakyat Sarawak (PRS) pula tewas satu daripada sembilan kerusi.

Kejayaan BN membentuk kerajaan negeri diketahui seawal 8.30 malam apabila memperoleh majoriti mudah 36 daripada 71 kerusi, yang diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Keputusan lengkap pilihan raya itu ialah: BN 62 (termasuk Daro dan Dalat menang tanpa bertanding), SNAP 1, DAP 6, PKR 1, Bebas 1 dan Pas 0.

Pada pilihan raya kali ini sembilan kerusi adalah kerusi baru ekoran persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud ketika mengulas kemenangan itu mengucapkan syukur dan terima kasih kepada rakyat kerana memberi kepercayaan semula kepada BN untuk menerajui Sarawak.

``Ia memberi perangsang kepada saya dan rakan-rakan untuk berkhidmat lebih dedikasi lagi selepas ini.

``Apa pun, kita akan kaji apa ertinya kekalahan kita di beberapa kerusi. Nampaknya DAP dapat menjalankan propaganda yang dipercayai rakyat dan sama ada betul atau tidak, kita terima keputusan ini,'' katanya kepada pemberita di kediamannya di Demak di sini malam ini. Hari ini merupakan ulang tahunnya ke-70.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menghubungi timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui telefon dari Sharm El-Sheikh, Mesir, mengulas:

``Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada rakyat Sarawak kerana masih memilih BN untuk terus menerajui kepimpinan negeri itu.''

Bagaimanapun, dalam perbualan yang disiarkan secara langsung melalui TV1 malam ini, beliau meminta supaya satu kajian menyeluruh diadakan bagi mengenal pasti kelemahan sehingga menyebabkan kekalahan BN di sembilan kawasan terutama di bandar.

Najib pula berkata, mandat yang diperoleh itu memberi peluang kepada BN untuk menunaikan janji kepada rakyat Sarawak dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

``Kita boleh ambil iktibar daripada keputusan ini, hakikatnya 62 kerusi yang kita menangi adalah kemenangan besar, pembangkang tidak boleh menggembar-gemburkan pengaruh mereka (setelah memenangi beberapa kerusi),'' katanya.

Kepimpinan Abdul Taib di Sarawak pernah diuji pada pilihan raya 1987 apabila satu kumpulan pembangkang ketika itu dikenali ``Kumpulan Maju'' pimpinan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Yaakub menyapu 20 daripada 48 kerusi yang dipertandingkan.

Pada pilihan raya negeri 2001, BN menang 60 daripada 62 kerusi yang ditandingi manakala masing-masing satu oleh DAP dan calon Bebas.

Keputusan pilihan raya kali ini menyaksikan kesemua empat Presiden parti-parti komponen BN termasuk Abdul Taib menang di kawasan masing-masing.

Abdul Taib mempertahankan kerusi Balingian, Presiden SUPP, Tan Sri Dr. George Chan mengekalkan kerusi Piasau, Datuk Seri Dr. James Jemut Masing yang mengetuai PRS menang di Baleh manakala Presiden SPDP, Datuk William Mawan Ikom di Pakan.

Beberapa pemimpin kanan PBB pula seperti Timbalan Presiden yang juga Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu mengekalkan kerusi Layar sementara seorang lagi Timbalan Presiden PBB, Datuk Seri Abang Johari Tun Abang Openg mengekalkan kerusi Satok.

Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Seri Adenan Satem yang disebut-sebut sebelum ini sebagai pengganti Abdul Taib pula menang di kawasan baru yang ditandinginya, Tanjong Datu.

Sementara itu, DAP dalam reaksinya menyifatkan kemenangan itu sebagai isyarat jelas penerimaan rakyat kepada kepimpinan mereka.

``Ini akan membuat DAP lebih agresif untuk membawa isu-isu rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak,'' kata Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giew.

UTUSAN MALAYSIA

0 comments: