Akhirnya Bush, Blair akui kesilapan sendiri serang Iraq

UTUSAN MALAYSIA

WASHINGTON 26 Mei - Akhirnya, Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush dan Perdana Menteri Britain, Tony Blair membuat pengakuan berterus terang mengenai kesilapan dan salah langkah yang mereka lakukan berhubung perang di Iraq.

Mereka mengakui perang tersebut telah menimbulkan kekecewaan dan kebimbangan mendalam di negara masing-masing.

Bagaimanapun pada sidang media luar biasa selama 50 minit di White House semalam, dua sekutu rapat itu menegaskan negara mereka mesti terus menempatkan tentera di Iraq dan masyarakat antarabangsa perlu menyokong kerajaan baru di Baghdad.

Kedua-dua pemimpin itu memang diketahui tidak mudah mengakui kesilapan masing-masing tetapi pada sidang media tersebut mereka mengakui tersilap langkah, melahirkan rasa kesal dan kebimbangan dengan apa yang berlaku di Iraq sekarang.

Bush berkata, perkara yang paling dikesali oleh beliau dalam perang itu ialah skandal penderaan tahanan di penjara Abu Ghraib, Baghdad.

Blair pula mengakui, usaha untuk membebaskan Iraq daripada pengaruh Parti Baath pimpinan Saddam Hussein, termasuk menyingkirkan anggota parti itu daripada kerajaan dan pasukan keselamatan Iraq tidak ditangani dengan betul.

Sikap kedua-dua pemimpin tersebut semalam berbeza sama sekali dengan keangkuhan yang ditunjukkan oleh mereka pada sidang media sebelum ini dalam tempoh tiga tahun lalu.

Tidak syak lagi perang Iraq telah menimbulkan rasa kecewa dan bimbang di Amerika.

``Apabila kita menonton televisyen dan menyaksikan orang tidak bersalah terbunuh setiap hari, ini mempengaruhi mentaliti rakyat di negara ini,'' kata Bush.

Presiden AS itu menambah, beliau juga menyesal membuat kenyataan-kenyataan berani yang mencabar gerila anti-Amerika di Iraq pada Julai 2003 apabila serangan terhadap askar AS dan orang awam Iraq kian meningkat.

``Saya mendapat pengajaran daripada perkara ini supaya menyuarakan pandangan saya dengan cara lebih halus,'' tegas beliau.

Kedua-dua Bush dan Blair telah menyaksikan populariti mereka menjunam dalam tempoh setahun lalu, sebahagian besarnya disebabkan perang di Iraq, tetapi mereka tetap mempertahankan keputusan untuk melancarkan serangan pada Mac 2003 itu.

``Keputusan untuk menggulingkan Saddam memang penuh kontroversi. Kita tidak menemui senjata pemusnah besar-besaran yang kita percaya ada di sana, menyebabkan timbul persoalan sama ada pengorbanan di Iraq wajar atau tidak,'' kata Bush.

0 comments: