Aishwarya Rai terbunuh nahas di London?

UTUSAN MALAYSIA


LONDON 25 Mei - Dunia hiburan hari ini gempar dengan berita kematian pelakon wanita dan model Bollywood, Aishwarya Rai selepas dikatakan terlibat dalam satu nahas jalan raya di sini.

Sebuah laman web, Global Associated News (GAA) melaporkan, pelakon jelita berusia 33 tahun itu menghembuskan nafas terakhir di tempat kejadian.

Sekeping gambar yang menunjukkan sebuah kereta terbalik juga disiarkan di laman web itu bagi menguatkan dakwaan tersebut.

Menurut GAA, anggota Penyiasat Keselamatan Lebuh Raya London memberitahu pemberita, Aishwarya dikatakan hilang kawalan ketika memandu kereta rakannya dengan kelajuan 152 kilometer sejam di Jalan Interstate 80 di sini sebelum kereta berkenaan terbalik beberapa kali.

Laporan itu juga memetik beberapa saksi di tempat kejadian sebagai berkata, kereta yang dipandu oleh pelakon itu melewati beberapa garisan berkembar sebelum melanggar pembahagi jalan, menyebabkannya terpelanting.

Bagaimanapun, dua buah laman web lain iaitu, Indiatarget.com dan aishwaryaworld. com pula menyangkal berita tersebut.

Indiatarget.com turut memetik pengurus perniagaan pelakon itu, Hari Singh sebagai berkata, beliau tidak tahu siapa yang menyebarkan khabar angin tersebut.

``Kini, Rai (Aishwarya) sedang menjalani penggambaran untuk filem arahan Mani Ratnam berjudul Guru di Chennai, India,'' ujar Singh.

Selain itu, laman web aktres tersebut, aishwaryaworld.com yang menyiarkan soalan dan jawapan berhubung kematian pelakon seksi tersebut di England, memaklumkan yang Aishwarya masih hidup.

Khabar angin ini mengingatkan kita kepada aktor kacak Bollywood, Shah Rukh Khan yang turut dikatakan mati akibat ditembak di kepalanya, di Dubai beberapa tahun lalu.

Persoalannya, apakah tujuan penyebaran berita palsu ini dan siapakah dalang di sebaliknya?

- Agensi

0 comments: