Romantis susur Tasik Mines

Romantis susur Tasik Mines

Oleh Azrul Affandi Sobry

azr@bharian.com.my


PENUMPANG Mines Cruise dibawa menyusuri beberapa kawasan sekitar Mines Resort & Golf Club.

Pusat beli-belah sedia khidmat teksi air untuk nikmati panorama

MEMBELI-belah sambil menikmati pemandangan tasik yang dipenuhi ikan pelbagai spesies atau bersiar-siar dengan bot mengelilingi kawasan sekitar pusat beli-belah sambil merasai sendiri pelbagai pengalaman yang sukar diperoleh di tempat lain.

Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan pengalaman mengunjungi pusat beli-belah Mines di Seri Kembangan, Selangor bakal meninggalkan satu kekaguman terhadap konsep tasik dalam bangunan selain keunikan sistem perjalanan bot yang merentasi tasik arah selatan dan utara iaitu dari kawasan stesen komuter Serdang ke Hotel Palace Of The Golden Horses.

Mines tidaklah sehebat pusat beli-belah Mid Valley atau KLCC, tetapi tasik terbuka yang disediakan di situ memberikan impak besar untuk menarik pengunjung ke sana.

Dengan dua tasik iaitu utara dan selatan yang dihubungkan laluan sejauh 1,054 meter melalui kawasan tengah pusat beli-belah itu, pengunjung berpeluang menaiki bot dikenali sebagai teksi air untuk melihat sendiri suasana kawasan sekitar termasuk Mines Resort & Golf Club, Mines Waterfront Business Park, Mines Wellness Hotel, Mines Wonderland, Mines Shopping Fair, Mines International Exhibition & Convention Centre serta kumpulan burung bangau yang sentiasa memenuhi tasik itu.

Paling unik ialah pengalaman ke tasik utara yang memerlukan bot dibawa turun dengan lif air khas lantaran laluan air dari pusat beli-belah berada pada ketinggian tujuh meter dari tasik itu. Menggunakan sistem hidraulik, air sebanyak 241,400 liter dipam keluar bagi membolehkan bot turun ke bawah dalam masa tidak sampai tujuh minit. Keadaan yang sama juga akan berulang apabila bot dinaikkan untuk kembali ke pusat beli-belah.

PASANGAN menikmati suasana romantik menyusuri tasik dengan Mines Cruise.

Terdapat beberapa jenis bot yang dikhususkan bagi penggunaan tertentu disediakan bagi memenuhi cita rasa pengunjung terutama pelancong asing yang kebanyakannya menginap di hotel berhampiran. Antaranya ialah Sunset Dining Cruise yang menyediakan perkhidmatan makan malam atas bot dengan kadar bayaran RM199 seorang bagi kumpulan antara tujuh hingga 10 orang.

Massage Cruise pula membolehkan penumpang merasai pengalaman merentasi tasik selama sejam sambil menikmati urutan kaki daripada tukang urut profesional selama 45 minit dengan bayaran sebanyak RM199 seorang atau RM299 bagi pakej romantik (untuk dua orang).

Bagi mereka yang mahu mengadakan jamuan atau parti dengan konsep atas air, DME Cruise adalah pilihan terbaik kerana ia menyediakan kemudahan itu dalam satu bot sederhana besar dan dihias dengan gaya mewah, berlabuh di tengah tasik utara dengan suasana sekitar yang sangat mengasyikkan.

Mahukan keseronokan berganda terutama untuk pengunjung berkeluarga? Ia boleh dirasai dengan menaiki Wawa Splash Tour, sebuah bas yang membawa penumpang melalui jalan darat sekitar pusat beli-belah sebelum meredah tasik sejauh 200 meter seterusnya berfungsi seperti bot yang membawa penumpang melihat suasana sekitar tasik selama 30 minit.

TEKSI air dalam pusat beli-belah menjadi tarikan utama di Mines.

Semua gambaran itu tidak cukup sekadar diterjemahkan dengan tulisan atau kata-kata melainkan merasai sendiri pengalaman itu yang pastinya menjanjikan sebuah keriangan. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.minescruise.com.

0 comments: