Tulisan karya Adam Kadir versatil

Tulisan karya Adam Kadir versatil

SEMALAM, Khamis 9 Julai, mantan Perdana Menteri telah melancarkan dua buah buku karya mantan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Adam Kadir. Penulis dan dua buku berkenaan mempunyai keistimewaan yang tersendiri.

Sebelum mencapai puncak kerjayanya sebagai Yang Dipertua Dewan Negara, Adam telah melalui serentetan kerjaya yang pelbagai ragam. Beliau pernah dilantik sebagai seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam Kumpulan Pernas, Ahli Dewan Rakyat, Setiausaha Parlimen dan sebelum itu sebagai pegawai di Bank Negara dan akhirnya mencapai kemuncak sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.

Dari zaman remaja hingga umurnya meningkat separuh usia, Adam menempah nama sebagai sasterawan yang menulis novel dan cerpen serta skrip drama.

Keistimewaan dua bukunya yang dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam masing-masing ditulis dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Buku yang berjudul ISU: Ekonomi, Politik, Sosial dan Budaya mengandungi 111 artikel yang pernah tersiar dalam kolum mingguannya di Utusan Malaysia. Yang satu lagi berjudul Sense of Proportion merupakan kumpulan artikelnya yang pernah tersiar di dalam akhbar The Edge.

Kedua-dua buku berkenaan membuktikan bahawa Adam Kadir adalah seorang cendekiawan, penulis Melayu yang benar-benar mempunyai keupayaan dwi-bahasa.

Beliau juga mempunyai kebolehan yang istimewa menulis dalam bahasa Inggeris tentang hal ehwal korporat di serata tempat, tentang pasaran bersama Eropah, ASEAN, WTO, AFTA, NAFTA, EFTA dan SAFTA. Huraiannya juga cukup menarik mengenai politik antara kaum di Malaysia, tentang politik antarabangsa di serata dunia, tentang pencerobohan Bush ke atas Iraq serta tentang hubungan Lee Kuan Yew dengan Yusof Ishak.

Sama ada berkarya dalam bahasa Melayu atau pun bahasa Inggeris, tulisan Adam Kadir senantiasa sedap dibaca, merangsang minda dengan persoalan-persoalan yang polemikal dan sekali gus memenuhi tuntutan-tuntutan estetika dengan langgam bahasa yang menarik, idiomatik dan kadang-kadang puitik.

Ayat-ayatnya pendek dan jelas. Kadang-kadang suka menyindir. Beliau mempunyai kemahiran menjelaskan perkara-perkara yang kompleks dan abstrak dalam bahasa yang mudah difahami.

Kedua-dua buku yang dilancarkan Tun Mahathir itu mengandungi buah fikiran Adam yang meliputi aspek-aspek ekonomi, politik, sosial dan budaya, adalah antara bukti-bukti yang menggambarkan versatility Adam.

Sebagai seorang penulis beliau bukan sahaja mempunyai mata pena yang tajam, tetapi juga memiliki minda yang peka terhadap pelbagai persoalan di luar negara atau di kampung halaman. Dengan nada seakan-akan menyindir Adam melihat dan mencatat aspek-aspek "Kota London yang sudah penat."

Dengan nada nostalgia, beliau mengingatkan kita tentang nasib "Kampung Baru yang tidak baru lagi" yang sudah menjadi ibarat kampung setinggan di halaman bangunan KLCC yang megah tersergam.

Artikel Kota London yang sudah penat dan artikel Kampung Baru yang tidak baru lagi mempunyai persamaan dari segi kepekaan Adam melihat proses perubahan yang melibatkan tempat, masa dan manusia. Tetapi secara tersirat beliau memberi penilaian yang berbeza terhadap sebab dan akibat proses perubahan yang dialami Kampung Baru di Kuala Lumpur dan bandaraya London di Great Britain itu.

Adam seolah-olah berhujah atau menyindir bahawa Kampung Baru terabai dan terbengkalai kerana pemimpin politik dan pegawai tadbir yang cuai, manakala London menjadi penat akibat keangkuhan satu kuasa yang sudah kehilangan glori.

Perbezaan penilaian Adam terhadap kenapa London menjadi 'penat' dan kenapa Kampung Baru tidak baru lagi, saya anggap sebagai satu manifestasi daripada semangat nasionalisme dan yang masih terpendam dalam dada Adam. Dan semangat yang sedemikian, khususnya sentimen anti imperialisme dapat kita kesan dalam artikel-artikel yang merujuk kepada keserakahan kuasa-kuasa imperialisme di Iraq, Afghanistan dan Palestin.

Artikel pada halaman 196 yang berjudul Bush Patut Alami Nasib Milosevic memperlihatkan lagi kemarahan Adam terhadap presiden sebuah kuasa besar yang zalim dan kejam.

Versatiliti Adam sebagai seorang cendekiawan selanjutnya dapat kita lihat daripada keragaman subjek atau tajuk yang dibincangkannya. Dengan imaginasi dan daya kreatif yang mengagumkan, beliau memberi versi baru tentang kisah Si Luncai dan Mat Jenin, di samping bercerita tentang Edward Kenneddy dan Teddy Rooselvelt, Lyndon Johnson dan George Bush.

Beliau mengingatkan kita tentang kekejaman tentera Amerika di Vietnam dalam tahun 1960-an, khususnya peristiwa penganiayaan penduduk kampung di My Lai. Senada dengan itu dirujuknya pula kezaliman dan penganiayaan yang berlaku di penjara Abu Gharib, lebih kurang 40 tahun kemudian.

Mengenai isu-isu dalam negara, minatnya terentang daripada persoalan menggubal istilah-istilah baru dalam bahasa Melayu hinggalah kepada peranan Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri dalam memerangi rasuah. Tidak syak lagi, Adam adalah seorang tokoh kebangsaan yang cemerlang dalam berbagai-bagai bidang, versatile, bilingual serta kreatif dan analitikal.

Datuk Dr. Firdaus Abdullah ialah Felo Penyelidik Kanan (Pelawat) di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya

0 comments: