Persengketaan kuasa di Perak, jangkitan H1N1

Persengketaan kuasa di Perak, jangkitan H1N1

LAPORAN nanyang.com pada 5 Mei 2009 yang bertajuk Persengketaan Kuasa Pemerintahan Negeri Perak menyiarkan berita Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar mempersembahkan surat kepada Sultan Perak untuk merayu ditangguhkan Sidang DUN yang dijadual pada 7 Mei 2009.

Pengerusi DAP Negeri Perak, Ngeh Koo Han pula mencadangkan sidang itu jangan menukar Speaker DUN dahulu tetapi tangguhkan sidang DUN ke bulan Jun dengan alasan demi meredakan ketegangan politik Perak sekarang.

Nanyang.com juga menyiarkan perjumpaan pemimpin pakatan pembangkang dengan pihak polis, dan menafikan gabungan parti itu akan mengadakan perhimpunan besar.

Berkaitan dengan perkara tersebut ChinaPress dotCom. pada 4 Mei 2009 petang menyiarkan berita bertajuk Pakatan rakyat bertemu Ketua Polis Perak nafikan rancangan perhimpunan besar.

Satu perjumpaan antara pihak polis dengan wakil-wakil dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti Pas, Parti Keadilan Rakyat dan Barisan Nasional telah diadakan di Ibu Pejabat Kontinjen Perak.

Lima orang pemimpin pakatan pembangkang tidak termasuk DAP hadir dalam pertemuan khas dengan Ketua Polis Perak, Datuk Zulkefli Abdullah.

Ketua Penerangan Pas, Mahfuz Omar yang ditemu ramah akhbar China Press menjelaskan mereka telah menerima surat daripada polis bertarikh 30 April 2009 yang meminta mereka menghadiri pertemuan khas Ketua Polis Perak dengan ADUN dan wakil parti politik.

Beliau berkata, Ketua Polis Perak dalam pertemuan itu meminta mereka memberi kerjasama dan menasihati mereka jangan mengadakan perhimpunan besar kerana Sultan Perak akan berangkat ke Bangunan Kerajaan Negeri bagi merasmikan sidang DUN.

Selain itu, pihak polis turut menawarkan perlindungan andainya ADUN daripada pakatan pembangkang berasa keselamatan mereka terancam.

Bagaimanapun, mereka semua menafikan ada rancangan mengadakan perhimpunan raksasa.

Malaysia masih tiada kes jangkitan H1N1

Pada 4 Januari 2009 di halaman muka hadapan Guang Ming Daily dengan tajuk beritanya, Malaysia masih tiada kes jangkitan H1N1 melaporkan Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai menyeru rakyat jangan bimbang dan menegaskan Malaysia selamat daripada kes jangkitan H1N1 atau penyakit yang dikenali influenza jenis A.

Jika berlaku kes jangkitan yang disyaki sah, pihak kerajaan tidak akan berlengah-lengah melaporkan terus kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Tiong Lai menerangkan, pada masa ini 16 negara diisytihar berlaku kes jangkitan itu dan kerajaan Malaysia telah mengambil langkah pencegahan menjauhi jangkitan penyakit itu.

Dalam berita nanyang.com tajuknya, Menteri Pertanian: hanya 19 pusat khinzir melaporkan kerajaan mula melakukan pemeriksaan pencegahan jangkitan H1N1 terhadap 775 buah pusat ternakan khinzir di seluruh negara.

Jabatan Haiwan yang diberi tanggungjawab menjalankan pemeriksaan itu telah memeriksa sebanyak 205 pusat setakat ini.

Sebanyak 19 buah pusat ternakan khinzir di kawasan sekitar negeri Selangor dan Melaka hanya dijangkiti penyakit selesema biasa.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar berkata, khinzir juga sekali-sekala boleh terkena selesema, tetapi pihak kerajaan tetap mengambil tindakan mengatasinya.

Bagaimanapun khinzir yang merupakan sasaran pemeriksaan, hidungnya akan diperiksa dan darahnya juga diambil untuk diuji. Beliau menambah lagi, dalam menangani kes jangkitan H1N1 ini, pihak kerajaan menganggar kos tidak kurang RM1 juta untuk membiayai gaji petugas perubatan secara kontrak dan sewa pusat-pusat pemeriksaan swasta.

Kelolaan HAFIZAH MOHD. YUSOF

0 comments: