Penyakit ancam keselamatan

Penyakit ancam keselamatan

Oleh MOHD NA'EIM AJIS


Baru-baru ini dunia dikejutkan dengan suatu ancaman virus H1N1 atau dikenali sebagai penyakit Selesema Babi (Swine Flu) yang dikesan boleh membawa maut dan jangkitannya adalah sangat mudah iaitu melalui udara.

Akibat daripada wabak ini banyak negara termasuk Amerika Syarikat telah mengisytiharkan ia sebagai suatu ancaman keselamatan negara dan tumpuan kepada aspek kesihatan telah dijadikan agenda utama ketika banyak negara sedang bergelut dengan krisis ekonomi.

Persoalannya adakah penyakit ini boleh mengancam keselamatan negara atau ia sebagai isu sosial? Mungkin sebelum ini masyarakat dunia hanya melihat penyakit sebagai ancaman sosial yang lebih berbentuk individu dan tidak sampai mengancam keselamatan negara.

Dalam konteks keselamatan pada hari ini, ia sebenarnya tidak hanya menumpukan kepada ancaman peperangan semata-mata, tetapi ancaman-ancaman yang bukan berbentuk ketenteraan atau dikenali sebagai bukan tradisional seperti penyakit, pendatang tanpa izin, pengedaran dadah, keganasan, penyeludupan dan perdagangan manusia adalah dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negara.

Dalam masalah penyakit berjangkit, dunia sebelum ini telah dikejutkan dengan serangan pelbagai penyakit yang berjangkit dan membawa maut seperti AIDS, Ebola, Sistem Pernafasan Akut Teruk (SARS), kolera, malaria, penyakit tangan-kaki-mulut (HFMD) dan lain-lain lagi sehingga setiap negara yang mengalaminya akan menanggung kesengsaraan sama ada dari segi sosial, ekonomi dan politik.

Kesan-kesan inilah akan ditanggung oleh pihak kerajaan, masyarakat atau individu sehingga ia menjadi beban dalam mengawal dan menguruskannya.

Globalisasi, alam sekitar, perubatan moden, urbanisasi dan perubahan aktiviti sosial dilihat antara punca kepada penyebaran penyakit-penyakit berjangkit. Faktor-faktor ini dilihat sukar dielakkan terutama ketika dunia sedang menuju ke arah kemodenan dan dunia tanpa sempadan.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah menganggarkan sebanyak 26 peratus daripada kes kematian di Asia Tenggara adalah berpunca daripada jangkitan penyakit berjangkit. Kebanyakan kes jangkitan penyakit ini adalah disebabkan penyakit seperti Malaria, Tuberculosis (TB), SARS dan AIDS yang banyak menyumbang kepada kematian terutama di negara-negara membangun dan miskin.

Menurut pertubuhan tersebut sejumlah 3.3 bilion masyarakat dunia iaitu separuh daripada jumlah populasi dunia berisiko untuk terkena jangkitan malaria. Setiap tahun sebanyak 250 juta kes malaria dilaporkan dan hampir satu juta berakhir dengan kematian.

Dalam isu AIDS pula, dianggarkan lebih 42 juta masyarakat dunia menghidapi HIV\AIDS dan kematian yang dicatatkan adalah sebanyak 3.2 juta orang. Antara faktor utama yang menyumbang kepada masalah ini ialah perubahan sosial dan tingkah laku masyarakat dunia yang terikut-ikut arus kemodenan dan ditambah dengan kurang keprihatinan kepada penyakit ini.

Akibat daripada penyakit ini, ia bukan hanya mengancam nyawa manusia tetapi boleh mengganggu institusi keluarga dan keharmonian masyarakat. Seseorang yang mengidap AIDS akan sentiasa didiskriminasi sama ada dalam konteks hubungan masyarakat atau persekitaran kerja.

Di samping itu, institusi kekeluargaan juga boleh terancam jika penyakit ini berjangkit kepada ahli keluarga dan akan mengalami trauma yang sangat buruk.

Dari sudut ekonomi, penyakit juga boleh dilihat sebagai suatu ancaman keselamatan bukan tradisional. Ini kerana kesan daripada sesuatu wabak penyakit telah menyebabkan peningkatan bukan sahaja kepada kos rawatan, tetapi ia juga melibatkan kos pencegahan, penguatkuasaan undang-undang dan kesedaran kepada masyarakat.

Di Malaysia, kerajaan pernah mencadangkan kondom dan jarum suntikan diberikan secara percuma kepada penagih tegar supaya penularan wabak HIV/AIDS dapat dikawal daripada terus menjadi parah.

Walaupun, ia dipandang sinis oleh sesetengah masyarakat, namun pada hakikatnya ia dianggap langkah yang berkesan kerana penyalahgunaan dadah merupakan penyakit sosial yang tradisional dan sukar untuk dibanteras dengan cepat dan menyeluruh.

Oleh itu, suatu langkah yang lebih realistik dan praktikal perlu dilakukan supaya wabak ini tidak menjadi barah kepada masyarakat. Di samping itu, kerajaan juga telah membelanjakan RM1.6 juta untuk memberikan dadah metadone kepada penagih dadah untuk menggantikan heroin di kalangan penagih tegar terbabit.

Pada tahun 1997, wabak selesema burung yang membawa virus H5N1 telah menyerang beberapa negara seperti Hong Kong, Taiwan, Vietnam, Indonesia, Malaysia dan Singapura yang dikesan berpunca daripada bahagian selatan negara China telah menyebabkan banyak aktiviti dan sumber ekonomi terjejas.

Bank Pembangunan Asia (ADB) melaporkan bahawa krisis SARS telah menyebabkan negara-negara di Asia Tenggara kerugian sebanyak $50 bilion sehingga tahun 2003 dan negara Hong Kong telah kerugian sehingga $11 bilion ketika wabak tersebut melanda negara tersebut. Sementara itu di Singapura, saham Singapore Airlines dikatakan jatuh sebanyak 4.4 peratus apabila ramai di kalangan penumpang telah membatalkan penerbangan mereka pada saat-saat akhir kerana kebimbangan terhadap wabak SARS yang telah menular dengan teruk di negara terbabit.

Baru-baru ini Pengarah Pelaburan di Steven Investment Management iaitu Justin Urquhat Stewart menggangap kejatuhan saham-saham di dunia ketika ini adalah akibat pasaran diselubungi dengan ancaman selesema babi dan ia juga telah berjaya mengingatkan kembali pemegang saham kepada isu SARS.

Ancaman penyakit juga boleh menjejaskan kestabilan politik di sesebuah negara dan akibatnya ia akan mewujudkan konflik dalaman atau luaran. Selalunya apabila sesuatu ancaman penyakit berlaku pihak kerajaan dilihat akan menjadi sasaran utama masyarakat jika penularan penyakit itu tidak berjaya dikawal.

Di samping itu, ancaman daripada negara luar yang memberi tekanan juga akan menyebabkan hubungan diplomatik akan terjejas dan seterusnya ia memberi kesan kepada negara penyumber penyakit terbabit dari segi politik dan ekonomi antarabangsa.

Semasa krisis SARS di China, kerajaan negara tersebut telah gagal mengesan lebih awal mengenai virus tersebut dan tindakan segera tidak diambil untuk mengawal virus SARS daripada merebak.

Oleh itu, banyak pihak dari negara-negara luar telah menggangap bahawa punca utama penularan virus tersebut adalah kegagalan Beijing untuk mengambil tindakan awalan dan mengenal pasti punca penyakit daripada terus merebak.

Akhbar China Business Times mendakwa, pihak berkuasa tempatan negara tersebut telah memalsukan laporan kesihatan dan memberikan maklumat yang tidak lengkap mengenai wabak tersebut supaya mereka tidak dipersalahkan oleh masyarakat awam.

Akibatnya ramai pemimpin-pemimpin dunia telah mengkritik kerajaan China dan mereka mendesak supaya kerajaan pada masa itu dibubarkan dan diganti dengan sebuah kerajaan yang lebih efisien dan telus.

Kesimpulannya, ancaman penyakit berjangkit ini adalah sangat berbahaya bukan sahaja dari sudut kesihatan atau aspek sosial. Tetapi ia juga akan memberi ancaman kepada keselamatan negara dan menjejaskan keharmonian masyarakat dunia seluruh.

Ancaman ini bukan hanya memberi kesan kepada individu atau kumpulan tertentu, bahkan ia juga akan 'menyerang' kepentingan-kepentingan negara sama ada dari sudut kestabilan politik, keharmonian sosial dan keutuhan ekonomi.

PENULIS ialah Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia

0 comments: