Implikasi 'campur tangan' kes syariah

Implikasi 'campur tangan' kes syariah

Oleh SALLEH BUANG


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz memaklumkan media bahawa Jemaah Menteri telah memutuskan pada 22 April 2009 lalu bahawa seorang anak bawah umur itu kekal menganut agama asal ibu bapanya, walaupun salah seorang daripadanya (ibu atau bapa anak itu) kemudian telah memeluk agama lain (misalnya agama Islam) dan selepas itu mengislamkan anak itu.

Nazri berkata Jemaah Menteri telah juga memutuskan bahawa sekiranya suatu perkahwinan itu dilakukan di bawah undang-undang sivil, perkahwinan itu hanya boleh dibubarkan oleh mahkamah sivil, bukan mahkamah syariah.

Nazri juga menegaskan bahawa pertukaran agama (maksudnya memeluk agama Islam) tidak boleh dijadikan alasan suatu perkahwinan itu bubar secara automatik, atau asas bagi seorang bapa atau ibu mendapatkan hak jagaan anak.

Menteri itu tidak mahu agama digunakan sebagai alat untuk melarikan diri daripada tanggungjawab sebagai seorang bapa atau ibu kepada anak-anak.

Untuk memastikan keputusan Jemaah Menteri itu akan dilaksanakan seterusnya secara berkesan, Nazri menegaskan bahawa Jabatan Peguam Negara akan diarahkan mengkaji segala undang-undang berkaitan yang perlu dipinda, kecuali undang-undang Islam yang terletak di bawah kuasa Sultan atau Raja-raja Melayu.

Nazri menjelaskan kepada media bahawa keputusan Jemaah Menteri itu merupakan salah satu penyelesaian jangka panjang memandangkan lebih banyak kes seperti yang melibatkan Mohd. Ridzuan Abdullah dan isterinya Indra Gandhi dijangka muncul pada masa depan.

Mohd Ridzuan sebenarnya seorang saudara baru (mualaf). Nama asalnya K. Patmanathan, manakala agama asalnya ialah Hindu. Setelah memeluk agama Islam, dia telah mengislamkan tiga orang anaknya, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun).

Selanjutnya dia telah memohon hadanah (perintah jagaan anak) dari sebuah Mahkamah Syariah di Ipoh, Perak. Kes permohonan hadanah ini masih lagi berjalan. Mahkamah yang mendengar kes ini masih lagi belum membuat keputusannya.

Isteri Ridzuan (ibu ketiga-tiga anak itu), Indra Ghandhi,35, yang masih kekal menganut agama asalnya (Hindu) kemudian mendapatkan pertolongan Hindu Sangam di Ipoh. Dia mendakwa Mohd. Ridzuan telah mengislamkan ketiga-tiga anaknya tanpa pengetahuan dan persetujuannya.

Kalau anda rajin melayari Internet, anda akan melihat betapa kes Indra Ghandhi ini mendapatkan sokongan daripada pelbagai pihak, termasuk parti politik pembangkang di negara ini.

Menyedari bahawa keputusan Jemaah Menteri akan pasti menyentuh kes mahkamah yang sedang berjalan dan belum lagi diputuskan, Nazri turut menyatakan bahawa dia telah meminta Senator Datuk Jamil Khir Baharom (Menteri yang bertanggungjawab atas hal-hal agama di Jabatan Perdana Menteri) untuk menemui Mohd. Ridzuan dan menasihatinya.

Kenyataan mengejut Nazri ini telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada banyak pihak di negara ini.

Apa yang hendak ditekankan di sini, kes Mohd. Ridzuan ini adalah suatu kes mahkamah yang sedang berjalan dan masih belum diputuskan. Sementara itu, perlu ditekankan juga bahawa Mahkamah Syariah di negara ini adalah suatu mahkamah yang sah, berwibawa dan mempunyai kedudukannya yang diiktiraf dan dijamin oleh undang-undang negara.

Putrajaya pastinya tahu bahawa apabila suatu kes itu (sama ada mal atau jenayah) telah difailkan di mahkamah dan masih lagi belum diputuskan, apa jua tindakan oleh mana-mana pihak (termasuklah oleh badan eksekutif) yang disifatkan mengandungi unsur campur tangan dalam hal pentadbiran keadilan adalah sesuatu penghinaan mahkamah (contempt of court).

Sementara penulis terus meneliti perkembangan selanjutnya mengenai hal ini dalam media cetak dan elektronik arus perdana atau blog dan laman web, belum ternampak atau terdengar apa-apa usaha atau tindakan telah diambil oleh Mahkamah Syariah berkenaan, walaupun jelas sekali kewibawaannya telah dipersoal dan kemuliaannya tercalar dengan kenyataan yang dibuat oleh Nazri minggu lalu.

Tidak hairanlah mengapa seorang Ahli Parlimen, yang juga seorang peguam, telah menyatakan dalam blognya bahawa tindakan menteri berkenaan secara jelas melambangkan niat untuk meletakkan Mahkamah Syariah ke satu tempat yang amat rendah sekali.

Penulis teringin melihat dan mendengar apa yang akan dilakukan oleh Sultan atau Raja atau Majlis Raja-Raja dalam hal ini.

SALLEH BUANG ialah Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia, Johor

0 comments: