Minda Pengarang: Kenaikan kos di luar kawalan Tabung Haji

Minda Pengarang: Kenaikan kos di luar kawalan Tabung Haji


KRISIS kegawatan ekonomi global sudah masuk tahun kedua. Ketika krisis itu mula melanda tahun lalu, ada umat Islam di beberapa negara gagal menunaikan haji kerana kos yang meningkat secara mendadak. Bagaimanapun, bagi 27,000 jemaah haji kita yang menunaikan haji tahun lalu, mereka bernasib baik kerana kos mengerjakan haji tidak dinaikkan, bukan kerana Malaysia tidak terheret oleh fenomena global itu, tetapi berikutan kesediaan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) menanggung kos tambahan sebanyak RM2,350 bagi setiap jemaah. Tabung Haji memperuntukkan lebih RM75 juta daripada keuntungan pada tahun sebelumnya untuk menampung kos kenaikan tambang, penginapan dan makanan yang tidak dapat dielakkan. Pada 2007, Tabung Haji hanya membelanjakan RM36 juta sebagai bantuan menampung kekurangan perbelanjaan, termasuk membiayai kos kenaikan tambang jemaah akibat kenaikan harga minyak serta sewa penginapan yang tinggi. Tetapi bagi musim haji tahun ini, Tabung Haji terpaksa menaikkan juga kos berkenaan kepada RM9,980 seorang. Seperti dijelaskan oleh Tabung Haji dalam satu kenyataannya semalam, kenaikan minimum itu tidak dapat dielakkan berikutan peningkatan pelbagai kos, khususnya kos penginapan di Tanah Suci akibat kekurangan tempat penginapan disebabkan kerja-kerja pembesaran di sekitar Masjidil Haram yang menyebabkan beberapa hotel dan rumah penginapan bagi jemaah haji terpaksa dirobohkan. Keadaan ini menyebabkan kekurangan jumlah katil di kawasan berhampiran masjid, sekali gus menyebabkan harga bilik hotel di kawasan berkenaan meningkat. Kali terakhir kos menunaikan haji dinaikkan adalah pada 2002 iaitu dari RM8,585 kepada RM9,445. Bagaimanapun, pada musim haji 2004, bayaran haji itu dikurangkan lima peratus dan sejak itu jemaah haji kita hanya dikenakan RM8,973 saja.

Apapun, kita harus bersyukur kerana kesediaan serta pengorbanan Tabung Haji selama ini yang sanggup menyerapkan kenaikan kos dalam usaha untuk tidak menyebabkan kos mengerjakan haji terus meningkat. Sebagai contoh, bagi tahun ini saja anggaran kos haji bagi setiap jemaah adalah RM12,600. Ini bermakna, Tabung Haji perlu menampung sekurang-kurangnya RM70 juta bagi membolehkan bakal haji hanya membayar kos seperti ditetapkan, sekali gus mengurangkan beban mereka. Kita juga perlu menyedari bahawa Tabung Haji pada masa yang sama perlu menyediakan pelbagai kemudahan untuk keselesaan jemaah haji sama ada di Malaysia atau ketika di Arab Saudi, selain menanggung kos berkaitan persediaan jemaah haji sebelum menunaikan ibadat haji seperti bayaran penganjuran kursus haji bersiri, intensif dan perdana serta penyediaan buku panduan haji dan kos penghantaran petugas haji. Apa yang kita harapkan ialah Tabung Haji dapat terus berusaha menangani peningkatan kos ini, di samping meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kepada jemaah. Kita juga amat berharap Tabung Haji dapat mengkaji semula kos menunaikan haji ini untuk musim akan datang dan mengurangkannya jika keadaan semasa mengizinkan. Walaupun bayaran haji pada tahun ini meningkat, kita menyedari secara puratanya bayaran yang dikenakan kepada jemaah haji kita masih lagi yang terendah jika dibandingkan dengan kos yang perlu dibayar oleh jemaah dari negara lain di rantau ini.

0 comments: